Ya Allah, sungguh ia mengoyakkan hati dan perasaan kerana kehilangan seorang yang kita kenali dan pernah bersama-sama menimba ilmu di Matrikulasi UKM dahulu.
Selama dua tahun kami sekelas, saya masih boleh nampak dengan jelas wajahnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman. Dia begitu baik, sangat mesra dan tidak pernah marah-marah.
Tamat matrikulasi kami sama-sama terpilih ke Fakulti Sains Matematik dan Komputer, tetapi hanya sebulan sahaja arwah belajar di Fakulti ini kerana minat mendalam arwah untuk menjadi doktor menyebabkan arwah menerima tawaran kursus Perubatan di India (yang mana saya juga ditawarkan tetapi saya menolak kerana minat mendalam saya kepada Matematik).
Pada usia 48 tahun, Allah memanggilnya pulang ke sisi asbab Covid19 dan saya yakin arwah sedang tenang dan bahagia di sana. Mengenang arwah, hanya yang baik-baik sahaja tertera di bayangan, kerana sememangnya arwah terlalu baik dan dikasihi ramai.
Semoga keluarga arwah tenang dan tabah menghadapi kehilangan ini.
No comments:
Post a Comment