Friday, March 06, 2020

Layu

Khamis semalam, hari pengumuman keputusan SPM 2019. Saya seperti biasa bertanggungjawab di bahagian analisis bersama Cikgu Norma. Tahun ini menyaksikan kejatuhan pencapaian keseluruhan SPM sekolah kami. Kejatuhan yang teruk, dan di luar jangka iaitu GPS 5.26 berbanding 4.94 pada 2018 dan 4.57 pada 2017.

Sedihkah?

Saya terima seadanya. Apa yang penting bukan nombor-nombor itu, kerana kita sebagai guru sudah memberi sehabis daya, dan murid juga sudah berusaha seupaya mereka. Raikanlah biar apa pun nilainya. Semangat jangan punah dek nilai GPS yang tidak indah.

Cuma, saya kepenatan sungguh. Usai menganalisis, saya berkejar ke kelas yang tamatnya pada jam 2. Tiba-tiba saya mengalami pendarahan yang banyak dan tidak selesa yang menyebabkan saya lesu dan layu. Pulang ke rumah saya tidur.

Terjaga petang itu, terasa masih tidak selesa. Perut saya menegang, badan pun menjadi sengal. Tidak mampu saya melakukan kerja rumah yang bertimbun itu. Untuk makan malam, saya meminta suami belikan sate apabila pulang dari masjid nanti.

Begitu yang saya alami. Pendarahan ini menjadi begitu menekan dan menakutkan. Saya tidak tahu sampai bila saya harus menghadapinya. Doa saya sentiasa bertali arus agar penyakit ini akan berakhir jua nanti, dan saya tahu Allah maha mendengar.

Semoga saya akan sembuh juga dari segala kesakitan ini.

Amin.

1 comment:

  1. semoga semuanya okay kak ti. i love you..(dikdah)

    ReplyDelete