Tuesday, March 17, 2020

Makcik

Makcik.

Panggilan mesra ini sudah saya terima sejak 22 tahun yang lalu, apabila saya mengahwini suami saya. Anak-anak saudaranya diminta menyapa saya dengan panggilan itu dan saya tiada masalah apa-apa. Suka juga kerana terasa dimesrai tanpa batas. Apatah lagi saya belum punya anak saudara sendiri jadi terasa indahnya memiliki anak-anak saudara yang mendekati saya sebegitu.

Di tempat awam, tiada pula yang menyapa saya makcik. Yang selalu saya terima selain 'cikgu' ialah 'kakak' atau 'puan' pada situasi yang lebih formal. Panggilan 'adik' pun ada juga kadang-kadang.

Tetapi akhir-akhir ini telinga saya kerap benar menerima panggilan 'makcik' dan sungguh panggilan ini tidak sedap didengar jika bukan dari anak-anak saudara sendiri. Kenapa ya?

Mungkin kerana panggilan itu menggambarkan usia yang begitu ranum. Jika yang menyapa itu kanak-kanak tidaklah saya terasa sangat, tetapi jika ia dari kalangan adik-adik yang berusia lebih dua puluh lima tahun, aduhai! Pedih juga.

Saya sebenarnya sedang mencuba untuk menerima kenyataan. Saya sedang melatih diri untuk membahasakan diri dengan panggilan makcik kepada orang-orang yang sesuai.

Tiada sudahnya untuk saya terus-terusan menafikan panggilan itu kerana tidak sampai dua tahun pun lagi saya bakal melangkah ke usia separuh abad.

Maka sedarlah wahai diri!

No comments:

Post a Comment