Masih jelas segalanya ayah. Hari Ahad 26 Mac 2000 itu, sehabis sekolah Yati tidak pulang ke rumah sewa kami di Kuala Krai tetapi terus menuju ke rumah di Batu 8 untuk bertemu ayah. Kesihatan ayah yang merosot sejak beberapa minggu ini menyebabkan Yati tidak sampai hati berjauhan dari ayah. Setiba di rumah, ke sisi ayahlah yang pertama Yati tuju.
Wajah ayah suram benar, tetapi Yati tak pernah jemu untuk menatap juga mengusap, walaupun ayah hanya memejamkan mata.
Malam itu ayah kesakitan yang terlalu, dan Isnin 27 Mac esoknya Yati dan suami mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah kerana mahu bersama ayah. Di sisi ayah yang sudah tidak sedar, Yati berdoa, Yati mengaji, dan Yati berada di situ sehinggalah ayah menghembuskan nafas ayah yang terakhir.
Allahuakbar!
Seperti hilang separuh jiwa menerima kenyataan ini. Pedih, pilu dan sakit sekali, tetapi Yati reda. Ayah pergi dengan sungguh tenang, sungguh mudah. Segala urusan Allah permudahkan, jam 1.15 petang ayah tiada, jam 5.00 petang sudah dibawa ke pusara. Begitu Allah tidak sabar mahu bertemu ayah yang mulia.
Saat azan Subuh berkumandang pada pagi keesokan hari, Yati menangis sepuas hati kerana Yati sudah ketiadaan ayah tetapi hati Yati masih tidak mampu mempercayainya.
Masa berlalu, dalam tidak sedar sudah dua puluh tahun ayah pergi. Dalam dua puluh tahun ini ayah, kami anak-anak ayah sentiasa kuat dan cekal menempuh hidup kerana dalam darah kami mengalir darah ayah yang penuh dengan semangat, jua ketabahan dan keyakinan.
Alhamdulillah, emak masih sihat dan sentiasa ada di sisi kami adik beradik dan menjadi perangsang untuk kami terus berjuang dalam dunia yang semakin membingungkan.
Semoga ayah tenang di sana. Kami akan menyusul nanti, dan in shaa Allah kita akan sama-sama berkumpul di syurga.
No comments:
Post a Comment