Rakyat Malaysia memang terkenal sangat suka balik kampung. Pantang ada ruang sedikit pastilah mereka mahu pulang bertemu keluarga di kampung. Jika bukan musim wabak, ia amat terpuji. Pun pada waktu sebegini fikir-fikirlah sedikit. Tingkatkan EQ, dan carilah rasional. 14 hari sahaja kita diminta untuk berada di tempat kita sekarang, selepas itu in shaa Allah semuanya akan kembali normal. Susahkah untuk berkorban sebentar? Demi kesejahteraan rakyat Malaysia juga, iaitu keluarga dan sahabat-sahabat kita.
Juga kepada yang terlibat dengan perhimpunan yang ada risiko wabak ini, buatlah saringan. Usah terlalu yakin yang kita tidak dijangkiti. Ada saja kes yang pesakit yang tiada langsung simptom tetapi apabila diuji ternyata positif. Langkah yang diambil, kuarantin. Bukankah itu sebaiknya daripada terus yakin tanpa bukti?
Saya sendiri pun curiga pada kesihatan diri. Bersalam dan mencium bayi atau anak kecil seboleh mungkin saya elakkan. Saya takut jika saya turut memiliki virus tetapi tidak sedar. Manalah saya tahu sewaktu saya di kedai, saya memegang barang yang telah disentuh oleh pembawa? Walaupun setiap kali pulang dari mana-mana pun saya akan mencuci tangan, saya masih berjaga-jaga.
Tolonglah. Kita boleh hentikan wabak ini daripada terus menular jika kita patuh pada arahan pencegahan. Janganlah terlalu pentingkan diri sendiri pada waktu sekalut ini.
Dan saya tidak akan pernah berhenti berdoa. Kepada Allah saya semai segala pengharapan dan keyakinan.
No comments:
Post a Comment