Sejak YB Menteri mengumumkan tarikh keputusan SPM 2020 ialah pada Khamis 10 Jun, saya mula bersiap-siap.
Bersiap bukan mental yang dikhuatiri parah apabila menerima keputusan Matematik Tambahan (kerana itu sudah terlalu biasa dan sudah boleh dijangka situasinya) tetapi bersiap untuk memaku diri menganalisis dengan penuh perasaan.
Saya tertunggu-tunggu untuk itu, kerana saya sangat seronok melakukannya.
Pagi 10 Jun itu, tepat jam 7 pagi apabila keputusan dilepaskan untuk Setiausaha Peperiksaan memuat turun, saya terus melakukannya. Ada kecewa kerana apa yang diberi tidak seterperinci yang saya harapkan. Hanya keputusan pencapaian gred calon dan analisis sahaja yang dikeluarkan, tiada keputusan individu. Bagaimana analisis terperinci boleh saya lakukan?
Rupanya nanti 14 Jun baru ada.
Saya mulakan analisis dengan membuat perbandingan antara target, percubaan dan keputusan sebenar. Juga saya mencari calon-calon terbaik yang memperoleh 5A ke atas. Dan saya mengongsi analisis itu tepat jam 10 pagi di kumpulan WhatsApp sekolah.
Kemudian bertubi-tubilah pesanan peribadi juga panggilan telefon yang saya terima bertanya tentang mana gred setiap mata pelajaran? Pelajar terbaik ini B nya subjek apa? Pada hal saya tiada maklumat itu.
Dalam berfikir, terlintas di hati untuk mencapai keputusan setiap calon sekolah saya menggunakan no kad pengenalan dan angka giliran mereka. Eh, 170 orang, mampukah saya?
Mampu!
Bermula jam 10.30 pagi saya capai semuanya satu persatu dari pelajar pertama hingga ke seratus tujuh puluh, dengan menyalin dan menampal no kad pengenalan juga angka giliran mereka di laman yang disediakan. Saya key in satu persatu ke sheet Microsoft Excel saya dengan penuh hati-hati dan menyemak berkali-kali. Jam 3.45 petang barulah selesai, selepas berhenti beberapa kali untuk memasak, makan dan solat.
Kepala saya rasa berat. Mata pun berpinar. Saya perlu rehat.
Saya baringkan badan, pejamkan mata, mahu legakan fikiran sebentar tetapi segalanya tidak menjadi apabila asyik berfikir lagi. Masih saya ternampak-nampak apa yang perlu saya lakukan selepas ini dengan data-data itu. Saya gagal tidur, terasa masih mahu mengetuk kekunci laptop saya.
Pun saya tahu saya tidak boleh memudaratkan diri. Saya tahan perasaan saya itu tetapi pada jam 6.30 petang, saya tidak mampu bertangguh lagi. Saya hadap juga sehingga selesai 90%.
Saya buat analisis mengikut kelas dan analisis mengikut subjek. Dan saya berhenti sebaik Maghrib menjelang.
Malam ini saya mahu tidur lena.
Pagi Jumaat, saya hadap lagi laptop saya untuk kesekian kali. Saya murnikan analisis saya, dan pada jam 7.54 pagi saya kongsikan di kumpulan WhatsApp sekolah. Alhamdulillah.
Lalu saya menerima kata-kata semangat dan pujian daripada rakan-rakan yang sedang menanti analisis terperinci itu. Tahukah apa perasaan saya?
Seronok, bangga dan akan terus melakukannya lagi.