Pelbagai catatan saya baca dan banding, saya hadam dan cerna, sehingga berminggu-minggu saya memikir. Yang bermain di fikiran saya cuma satu - ketetapan.
Kita selalu merutinkan perjalanan kehidupan seolah-seolah semua orang perlu melalui takdir yang serupa. Jika berbeza, maka kita pun mula menyoal. Usah pergi jauh, lihat saja diri saya. Tidak direzekikan anak, salah sayakah? Tentu tidak, tetapi mereka menyoal seumpama jawapan itu ada, dan saya yang tidak berusaha.
Untung saya ini bukan sensitif dalam bab ini. Ya, sejak lama saya positifkan diri dengan memikirkan Tuhan itu Maha Baik, dan segala kekurangan itu ialah satu anugerah yang sentiasa saya syukuri. Datanglah apa pun soalan, tidak lagi ada rasa tersentuh selain syukur dengan anugerah-Nya.
Itu saya, orang lain tentunya berbeza. Hairan, perlukah soalan begini ditanya? Tentang jodoh dan rezeki sudah kita pelajari sejak anak-anak lagi tetapi mereka tetap tidak mahu mengerti. Tajuk ini susah barangkali, lebih susah daripada Matematik Tambahan yang digeruni itu.
Tidak terkecuali mereka yang berpengaruh ini, apabila berkata-kata kedengaran 'macam bagus' pula. Pada hal mereka boleh sahaja menenangkan hati si penanya dengan mengalih perhatian kepada kurnia-kurnia lain yang tidak terhingga, usah disebut-sebut yang tidak punya. Tips lah, petua lah, itu hanya di atas kertas. Itu hanya kata-kata orang yang tidak melaluinya. Yang merasainya, terus-terusan dihambat pilu.
Di sini, masyarakatlah yang perlu berperanan, jangan hanya mencari penyelesaian dengan mendengar motivasi. Ubahlah persepsi, cukup-cukuplah membanding rezeki. Dunia ini luas, kurnia-Nya tidak terhingga, mengapa dihitung yang tiada?
Saya sudah lama meninggalkan semua penceramah motivasi. Saya lebih meyakini kebijaksanaan sendiri. Itukan anugerah, bersyukurlah.
No comments:
Post a Comment