Bukankah menjadi guru ini pilihan kita sendiri? Lalu mengapa tidak memberi yang terbaik? Hati saya selalu berdetik begini, tertanya-tanya.
Pagi ini saya seperti biasa tiba di sekolah pada jam 6.47 pagi, paling awal. Belum ada guru lain di sini yang menjadikan suasana sangat tenang. Saya memulakan hari dengan tugas pertama - menyediakan jadual ganti. Sekejap sahaja, jam 7.15 selesai.
Seterusnya saya menanti guru yang menyelaras peperiksaan Percubaan SPM hari ini. Mata pelajaran Pendidikan Islam bermula jam 7.45 sebentar lagi, tetapi penyelaras masih belum tiba untuk mengambil soalan dari bilik kebal. Saya sabar menanti. Ustazah N datang menjenguk sambil bertanya, "pukul berapa periksa hari ni kak Ti? Siapa penyelaras?" Saya menjawab sambil sedikit berpesan, kenapa di sekolah baru mahu bertanya? Bukankah dari rumah lagi kita perlu bersedia dengan perancangan kerja kita hari ini? Oh ya, nada saya indah, bukan marah-marah.
Dia berlalu begitu sahaja tanpa mengambil soalan pun. Dia bukan penyelaras, buat apa ambil? Begitu fikirannya agaknya. Saya terus menanti. Jam sudah melebihi 7.30. Kenapa penyelaras belum datang lagi ni?
Saya menghubungi nombor ustaz penyelaras itu. Tiada jawapan.
Tidak lama, Ustazah M pula datang dan berkata, "Ti, Ustaz A kan yang patut ambil soalan pagi ni?" Ya, sahut saya. "Dia baru sampai tu.." ujarnya lagi sambil mengambil soalan untuk dibawa ke dewan. Serentak, Ustaz A muncul sambil memohon maaf atas kelewatannya. Lupa, katanya.
Ya, lupa. Itulah alasan terbaik yang siapa pun tidak boleh pertikaikan. Jam sudah ke angka 7.40, pastinya kertas akan bermula lewat dari jadual, tetapi biasalah masyarakat kita, mana pernah mahu peka dan menghormati masa?
Saya benar-benar panas. Mulut saya mula bising. Ustaz A dan Ustazah M sudah bergerak ke dewan tetapi saya masih terus berleter. Dua orang rakan guru yang baru tiba tersenyum dan tergelak dengan leteran saya. Mungkin lucu bagi mereka, tetapi sungguh saya serius. Apa yang saya leterkan?
Saya kata, sebagai guru kita kena peka dengan tugas. Sepatutnya sebelum datang ke sekolah kita sudah siapkan dalam minda kita apa yang akan kita lalui hari ini - kelas mana akan kita masuk, subjek apa akan kita ajar, pukul berapa perlu ke dewan. Semua itu biar sudah jelas dalam fikiran sebelum kita melangkah turun dari tangga rumah menuju ke sekolah. Itu namanya perancangan. Bukan kena catat atau tulis pun, simpan dalam minda sedar kita sahaja.
Entahlah, semakin lama saya semakin risau dengan apa yang guru-guru ini fikirkan. Kualiti semakin merosot, hanya menunggu masa untuk pencen sahaja agaknya.
Selalunya saya tidak suka berleter, tetapi untuk kali ini saya tidak mampu menahan.
No comments:
Post a Comment