Pada kedinginan sebegini, tidak terjangka akan ada kisah kehilangan menyayat hati. Pilu dan tidak terbayang pedihnya ditinggal insan-insan tersayang, bukan seorang dua tetapi lapan. Allahuakbar! Hebatnya dugaan untuk insan terpilih.
"Saya terlalu sayangkan ibu." Hanya itu mampu diluahkan anak ketiga mangsa kemalangan maut membabitkan 10 kematian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 11.45 malam tadi, ibu Faiz, Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama lapan anaknya iaitu Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3 dan Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, selepas Proton Wira dinaiki keluarga itu terperosok di bawah sebuah treler.
Turut maut ialah seorang pemuda, Muhamad Rahimi Rolex, 27.
Suami Norul Naziah, Abd Razak Majit, 50, terselamat dan tiga lagi mangsa lain hanya mengalami kecederaan.
Sementara itu, adik kepada Norul Naziah yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, seminggu sebelum meninggal dunia, kakak ada bertanyakan soalan pelik kepadanya.
"Dia tanya sama ada saya sedih atau tidak jika dia tiada. Tak sangka pertanyaan itu bayangan dia akan pergi buat selamanya," katanya.
Menurutnya, Norul Naziah ada menghantar kiriman mesej dan audio di WhatsApp kepadanya jam 10.18 malam tadi memaklumkan kereta dinaikinya rosak selepas dimasuki air akibat banjir
Katanya, kakaknya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah daripada menghadiri kenduri kahwin di Melaka.
Dia berkata, dia bagaimanapun tidak dapat datang ke lokasi dan kakaknya memaklumkan mahu mendapatkan bantuan dua rakan kepada anaknya.
"Saya katakan padanya (Norul Naziah) supaya hubungi saya jika ada apa-apa berlaku namun tidak lama selepas itu, saya terima panggilan daripada bomba mengatakan kakak terbabit dalam kemalangan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tersentak saya ketika itu apabila diberitahu lapan anak saudara saya turut meninggal dunia dan hanya abang ipar saja terselamat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.
Nurul berkata, dia tiba di tempat kejadian jam 12.46 malam tadi dan tidak sanggup melihat keadaan kakaknya sebaliknya terus bergegas ke Unit Forensik Hospital Shah Alam.
Menurut Nurul, hubungannya dengan Norul Naziah agak akrab jadi berasa sedih yang teramat dengan pemergian kakaknya.
"Saya baru kehilangan adik yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Julai lalu dan kini, kakak dan anak saudara pula meninggal dunia.
"Sedih sangat kerana tahun ini saja, 10 ahli keluarga saya meninggal dunia.
Sumber: Harian Metro
Semoga Faiz dan ayahnya diberi kekuatan, ketabahan hati. Berat mata memandang; berat lagi bahu yang menanggungnya.
Moga roh mereka dicucuri rahmatNYA dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.
Hati-hati terutama pada musim hujan tengkujuh, banjir. Banyak kenderaan dinaiki air dan jalan agak licin serta penglihatan agak terhad semasa hari hujan. Sekiranya kenderaan dinaiki berlalu kerosakan; keluar dari kenderaan dengan segera ke tempat yang lebih selamat. Semoga kita semua dilindungiNYA sentiasa.
Kisah mekanik yang terkorban semasa membantu rakannya yang kereta mengalami kerosakan:-
"Saya sempat berbual dengan abang kira-kira jam 10 malam tadi ketika dia pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya," kata Muhamad Farhan Rolex.
Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, iaitu seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam di sini, malam tadi.
Dia berkata, bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah 12.30 tengah malam.
"Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau," katanya kepada Bernama di bilik mayat Hospital Shah Alam, di sini.
Ya Allah, ampunilah mereka dan kurniakan ketabahan buat ahli keluarga yang ditinggalkan.
Amin.
No comments:
Post a Comment