Tuan Pengetua kami merancang untuk mengadakan mesyuarat guru hujung tahun 2021 ini di Langkawi, bersekali dengan pakej percutian. Kebetulan ada guru sekolah kami ini yang sudi untuk menaja dua buah bas yang boleh memuatkan lebih kurang 80 orang, maka kami dibenarkan untuk membawa ahli keluarga. Sungguh mengujakan bagi saya!
Saya memang teruja, tetapi saya mahu pergi tanpa keluarga. Saya mahu membawa diri sendiri sahaja. Suami saya sudah diajak tetapi dia menolak dan saya ok sahaja. Kali ini saya cukup seronok untuk ke Langkawi bersama-sama rakan guru yang saya kasihi.
Ada pelbagai reaksi dari kalangan kami terhadap cadangan Pengetua ini. Maklumlah, latar belakang yang berbeza mencipta suasana penerimaan yang berbeza. Ada segelintir yang tidak dapat menyertai rombongan ini dek kekangan yang pelbagai dan pihak pentadbir sangat memahami. Mereka dibenarkan untuk menarik diri walaupun mesyuarat guru adalah agenda wajib.
Saya tidak pula mahu membuat penilaian kepada segelintir ini. Mereka tentunya lebih maklum tentang keutamaan dan bukan sekadar mahu menarik diri tanpa alasan. Saya tahu itu. Apa yang mahu saya kongsi ialah saya teruja sungguh untuk ke sana.
Kenapa?
Sudah lama kita terkurung bukan? Walaupun saya bukanlah seorang yang suka sangat melancong tetapi ada waktu-waktunya saya mahu mengulang perasaan bebas saya seperti saat saya bercuti dengan rakan-rakan guru di Bangkok lima tahun lepas. Juga seperti riangnya kami bercuti di Cameron Highlands pada 2017. Lama saya menanti ruang sebegitu tetapi terhalang oleh PKP yang mengurung saya di rumah.
Idea Pengetua ini saya sambut gembira. Tanggal 27 Disember nanti kami akan bertolak beramai-ramai ke sana dan akan pulang pada 30 Disember, in shaa Allah. Semoga Allah menjaga kami dalam jagaan terbaik selama di sana, dan memberi kami keselamatan di dunia dan di akhirat.
Amin.
No comments:
Post a Comment