Ini kisah beberapa minggu lepas.
Kadang-kadang, tidak perlu hari istimewa pun untuk mengingati dan menghadiahi. Juga, tidak perlu perancangan pun untuk memberi sesuatu kepada yang dikasihi.
Saat saya membelek-belek kedai shopee melihat-lihat santai barang-barang di situ, mata terpandang dan tertarik dengan beg tangan ini. Cantik. Simple. Rasa seperti mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Saya jarang berfikir lama, apabila berkenan tentunya saya memasukkan item itu ke bakul dan meneruskan proses seterusnya. Saya tidak berniat apa-apa, hanya membeli sesuatu yang berkenan pada harga berpatutan.
Selang beberapa hari sahaja, beg itu sampai. Demi memandangnya hati semakin jatuh cinta. Comel. Boleh dipadan dengan semua warna baju.
Entqh kenapa, hati saya tiba-tiba teringat Ma. Seperti sesuai sangat beg ini dengan Ma. Nampak cantik juga jika Ma yang menggayakannya.
Tetapi saya rasa saya mahu untuk saya. Eh, bagi Ma lah! Begitu hati berbolak balik.
Akhirnya saya putuskan untuk menghadiahkan beg itu kepada Ma walaupun hati saya suka sungguh. Saya tidak tahu Ma akan suka atau tidak, mungkin Ma menolak, tetapi saya tetap mahu memberi.
Lalu pada Jumaat 26/11 itu, saya membawa beg itu ke rumah Ma dan memberitahu Ma, "Ma, ini hadiah untuk Ma."Tahu apa reaksi Ma?
Ma terkejut. Kata Ma, baru sebentar tadi Ma menonton saluran Go Shop yang sedang mempromosi beg tangan yang sangat serupa dengan beg yang saya beri itu. Ma berkenan, tetapi kata Ma, Ma bukan nak pergi mana-mana pun, duduk rumah saja. Tak payah belilah.
Apabila saya menghulur hadiah beg ini, Ma berasa sangat takjub. Seumpama lintasan hati Ma dikabul Tuhan! Ma terharu dan sebak.
Patutlah hati saya begitu kuat mahu memberi beg ini kepada Ma walaupun asalnya saya beli untuk diri sendiri. Allahuakbar!
Semoga Ma gembira, dan semoga segala impian Ma selepas ini akan terkabul juga.
Amin.
No comments:
Post a Comment