Saturday, November 27, 2021

Masih


Apabila soalan begini dikemukakan, dan melihat reaksi para guru yang majoriti membuat pilihan bersara awal, hati saya sedih. Sungguh sedih.
 
Terasa rendahnya semangat juang para guru, dan mudahnya mereka tercalar dengan cabaran pendidikan masa kini. Ketara benar sewaktu mereka memohon untuk menjadi guru dahulu, mereka mengharapkan segala yang mudah dan indah sahaja. Mereka tidak bersedia untuk menempuh sesuatu yang lebih mencabar, apa lagi untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Jika saban hari waktu senggang mereka diisi dengan berbual kosong, atau berbincang tentang resipi dan gubahan bunga, sampai bila-bila pun dunia pendidikan tiada ruang untuk inovasi. Benar ada pincangnya sistem pendidikan kita tetapi memilih untuk meninggalkannya kerana tidak tahan tekanan, seumpama lari dari sebuah peperangan.

Nampak jelas mereka masih menjadi guru kerana mahukan gaji bulan-bulan. Jika mereka ada pendapatan lain tentu sudah lama bersara. Di mana jiwa guru mereka?

Saya sedih.

Pun saya tidak akan menjadi seperti mereka. Saya mahu terus berjuang. Menatap wajah anak-anak didik saya adalah penawar paling mujarab untuk saya. Pandangan mata dan senyuman penuh harap yang mereka ukirkan setiap hari adalah kekuatan untuk saya terus berjuang. Pedulikan segala arahan yang mengarut - saya akan lawan dengan cara saya - asal saya mampu bersama anak-anak ini yang nanti bakal menjadi pemimpin masa depan.

Saya akan terus kuat. Saya akan terus bertahan. Saya mahu menjadi guru selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment