Tadi kami ada mesyuarat, semua guru tingkatan lima dan pentadbir.
Pengetua memulakan bicara dengan pesanan agar kami tidak rasa terbeban kerana perlu hadir mengajar setiap hari sedangkan guru-guru lain boleh duduk di rumah.
Panjang lagi bicaranya tetapi isi pentingnya itulah, agar kami berlapang dada.
Hati saya berdetik sendiri, kenapa Pengetua perlu timbulkan isu begini? Sekuman pun saya tiada rasa iri dengan guru-guru yang tidak perlu datang ke sekolah itu, malah saya rasa mereka yang sepatutnya iri dengan kami.
Kenapa?
Satu, walaupun mereka tidak perlu datang ke sekolah, mereka tetap perlu mengajar secara PdPR. Mana lebih mudah? Saya sudah rasa mahu muntah dengan PdPR. Banyak yang tidak sampai daripada sampai. Murid tidak selesa belajar, guru tidak puas mengajar. Apa seronoknya begitu?
Dua, berada di sekolah lebih memberi rasa untuk saya bekerja. Di rumah, saya galak mengadap hobi sendiri berbanding menyiapkan tugas hakiki. Tidak wajar bukan? Sedangkan gaji masuk bulan-bulan tanpa sangkut. Risau saya.
Tiga, guru tingkatan lima dikecualikan daripada segala tugas lain. Kami diminta untuk fokus pada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, dan tugas-tugas lain diagihkan kepada guru-guru tingkatan 1-4 secara berjadual. Bukankah itu yang saya harapkan selama ini? Hadir ke sekolah hanya untuk mengajar, bukan menjaga pintu pagar atau merawat budak di bilik sakit. Apatah lagi mengurus murid di asrama dan kantin yang begitu menekan perasaan.
Empat, saya rindu benar anak-anak murid saya. Kali ini saya dapat rasakan betapa berkualitinya pengajaran saya kerana sempat bersedia dengan baik sebelum masuk kelas. Terasa semangat yang membara itu hadir kerana rindu saya kepada mereka tidak bertepi. Semoga mereka juga begitulah, lebih positif untuk menyerap setiap ajaran saya.
Banyak lagilah jika mahu ditulis tetapi cukuplah setakat empat itu. Kesimpulannya, anda rasa saya ada masa untuk merasa iri? Jika saya di tempat mereka, barulah saya akan iri dengan guru-guru tingkatan lima.
No comments:
Post a Comment