Perbualan tentang mitos pendaratan di bulan.
Pelajar : Cikgu, betul ke dah ada orang pergi ke bulan?
Saya : Ya betul. Orang pertama mendarat di bulan bernama Neil Armstrong. Selepas itu ada lima lagi ekspedisi membawa angkasawan yang berjaya mendarat di bulan. Jumlah manusia yang pernah menjejakkan kaki ke bulan ialah 12 orang. Manusia terakhir bernama Harrison Schmitt.
Pelajar : Betul ke Neil Armstrong mendengar azan semasa di bulan kemudian dia masuk islam.
Saya : Tidak benar. Neil Armstrong tidak mendengar azan semasa di bulan, dia juga menafikannya. Bunyi memerlukan medium untuk merambat. Angkasawan menggunakan gelombang radio untuk berhubung sesama mereka. Untuk berkomunikasi dengan stesen bumi mereka menggunakan gelombang mikro. Gelombang elektromagnet tidak memerlukan medium untuk bergerak. Dia juga menafikan pernah memeluk agama islam.
Pelajar : Kenapa gambar bendera yang dipacak di permukaan bulan kelihatan berkibar sedangkan di sana tiada angin?
Saya : Bendera tersebut tidak berkibar tetapi bergetar dengan frekuensi yang lebih kecil berbanding di bumi kerana pecutan graviti bulan yang jauh lebih kecil berbanding bumi. Selain tiang bendera yang menegak ada tiang mendatar(palang) di bahagian atas bendera. Apabila tiang bendera dipacak ia bergoyang kiri dan kanan kerana tenaga keupayaan kenyal yang bertukar kepada tenaga kinetik. Kesan inersia menyebabkan bendera kelihatan berkibar. Apabila tiang bergerak ke kiri, bendera seperti bergerak ke kanan dan begitulah sebaliknya. Goyangan bendera lebih lama berbanding di bumi kerana di bulan tiada geseran udara, jadi hanya pelembapan dalaman (internal damping) yang berlaku. Tiada pelembapan luaran akibat geseran udara kerana tiada udara.
Pelajar : Perlu ke meneroka hingga ke angkasa?
Saya : Surah Ar Rahman ayat 33.
"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah! Kamu tidak akan mampu menembusnya kecuali dengan kekuatan (dari Allah Swt.)".
Ayat ini menjelaskan pentingnya ilmu pengetahuan bagi kehidupan umat manusia. Dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mengetahui rahsia benda-benda di langit dan di bumi. Dengan ilmu pengetahuan manusia dapat menjelajahi angkasa raya.
Pelajar : Macam mana kapal angkasa yang tiada sayap seperti kapal terbang tetapi boleh bergerak hingga ke bulan?
Saya : Kapal terbang menggunakan prinsip Bernoulli yang memerlukan perbezaan tekanan udara untuk menghasilkan daya angkat untuk naik. Roket menggunakan hukum Newton ketiga atau prinsip keabadian momentum. Sayap tidak diperlukan kerana di luar atmosfera bumi sudah tiada udara.
Pelajar : Dalam masa seminit pertama selepas pelancaran, roket dah gunakan sebahagian besar bahan api yang dibawa sedangkan bulan masih jauh. Cukup ke bahan api untuk ke sana?
Saya : Bahan api yang banyak hanya diperlukan semasa pelancaran roket untuk mencapai halaju 28 ribu kilometer sejam untuk 'melepaskan diri' daripada tarikan graviti bumi. Selepas itu hanya sedikit bahan api atau bahan api tidak diperlukan lagi kerana berdasarkan hukum Newton pertama sesuatu objek akan kekal bergerak selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya.
Pelajar : Maksud cikgu jika kita sedang bergerak meninggalkan bumi di angkasa, kita akan terus bergerak selama-lamanya.
Saya: Ya, selagi kita tidak menghampiri mana-mana planet atau objek bergraviti yang akan menarik kita kepadanya.
Pelajar : Terima kasih cikgu, sekarang saya percaya.
(Disalin dari tulisan Mohd Hamidi https://www.facebook.com/mohd.hamidi.752)
No comments:
Post a Comment