Friday, November 19, 2021

Jadual SPM

Semalam saya sudah melihat dan mentelaah jadual peperiksaan SPM 2021. Saya sudah meringkaskannya untuk lebih senang difahami dengan memetik mata pelajaran yang sekolah saya tawarkan sahaja. 

Peperiksaan akan bermula dengan mata pelajaran Geografi pada 2 Mac 2022 dan berakhir dengan Ekonomi pada 20 Mac 2022. Sembilan belas hari sahaja. Padatlah juga.

Jadi?

Ramailah yang sedang meriuhkan tentang ini di media sosial. Kasihan murid, jadual sangat padat nanti tertekan.

Benar, kasihan juga pada mereka kerana tiada rehat yang panjang. Jumaat dan Ahad pun ada kertas. Hari-hari perlu menjawab. Begitulah.

Pada SPM 1989, saya mendudukinya bermula 31 Oktober dan selesai pada 14 November. Lagi pendek dan padat, tetapi tiada masalah pun. Kami menduduki juga peperiksaan pada hari Jumaat walaupun itu hari minggu bagi kami di Kelantan dan Terengganu.

Sebelum sijil SPM terbuka diperkenal pada tahun 2000, tempoh peperiksaan SPM memang pendek begini. Hanya apabila SPM terbuka yang membenarkan murid mengambil jumlah mata pelajaran sesuka hati, tempoh peperiksaan menjadi panjang kerana mengelakkan pertindihan. Dan pada 2004 pula, peperiksaan SPM menjadi sangat panjang seumpama dua sesi kerana dicutikan hampir dua minggu di tengahnya bagi sambutan Aidilfitri. Semuanya bergantung pada suasana.

Untuk tahun ini, usahlah kita besar-besarkan tentang tempoh pendek dan padat ini. Ia berlaku kerana kita sedang berhadapan dengan Covid yang sentiasa mengganggu aturan dan perancangan. Saya yakin KPM sudah memikirkan segala aspek, dan apa yang diberi ini kita terimalah walaupun berat. 

Tentang tekanan pada murid, rasanya ia boleh diatasi. Kita sebagai guru berilah semangat dan motivasi agar mereka positif menghadapi saat-saat mencabar. Saya yakin mereka mampu, kerana jiwa mereka sudah kerap kali tercabar sejak melangkah ke darjah satu, tetapi tidak pernah tercalar. Kita yakinlah dengan upaya mereka.

Buat guru pengawas yang kehilangan cuti, apalah yang boleh saya katakan selain bertabahlah. Mungkin akan ada gantian cuti yang akan diberi oleh KPM, mana tahu? Dan saya yakin keadaan begini hanya berlaku sekali ini. Tahun hadapan tentu KPM mengambil maklum dengan situasi yang mendera ini.

Bukan mudah berkorban, tetapi fikirlah yang mereka di atas sana juga payah mencari penyelesaian yang menggembirakan semua orang. Kekangan-kekangan yang ada kali ini, mudah-mudahan akan pulih pada tahun mendatang.

Sentiasalah positif. Sentiasalah berdoa. Sentiasalah reda.

No comments:

Post a Comment