Friday, November 05, 2021

Kecil Tapi Indah

Saya ini sangat sukar mencari ruang meninggalkan suami saya di rumah. Kedengaran bagai dikongkong - dan mungkin begitulah bagi orang lain - tetapi bagi saya biasa sahaja. Cuma, apabila adik-adik pulang bercuti, saya mahu juga mencuri masa berlibur bersama mereka di rumah ma.

Deepavali yang hadir ini memberi lima hari cuti, dan adik-adik saya yang jauh di perantauan mengambil peluang pulang ke rumah ma. Betapa terujanya seorang kakak yang selalu menyimpan rindu ini untuk bertemu mereka, tetapi susahnya mencari masa.

Ada-ada sahaja aktiviti kami, walaupun cuma di rumah. Musim-musim Covid begini, lagilah suami saya mahu berhati-hati walaupun dengan keluarga sendiri. Lidah saya seperti kelu untuk memohon izin berada di rumah ma barang seketika.

Sayu jiwa saya, Allah jua maha tahu. Melihat gambar anak-anak saudara yang dikongsi, makin meronta rasanya. Allahu Akbar!

Kepada Allah saya mengadu, saya rindu dan mahu ke sana tetapi saya tidak punya upaya. Saya mohon agar Allah tenangkan hati saya dan beri saya redha. Saya cuma mampu mengirim doa lewat angin lalu, agar mereka semua bahagia dan terjaga sebaiknya. Walau saya tiada di situ, doa saya mengiringi selalu.

Sebentar tadi, suami saya pulang dari kedai memberitahu saya esok dia mahu membantu beberapa orang rakan sekampung kami membeli barang di Tok Bali. Mereka memerlukan khidmat Hilux suami saya. Tanpa lengah, terus saya bersuara, "saya ke rumah ma ya?" dan dia pun terus membenarkan.

Saya terasa seperti menerima kejutan hadiah daripada Allah. Baru tadi saya mengadu padanya, kini dia memberi saya apa yang saya hajatkan. Baiknya Allah! Terasa malu pula, dan tidak putus-putus saya ucapkan syukur pada-Nya.

Sepertinya kecil sahaja apa yang saya lalui ini, malah mungkin biasa sahaja bagi orang lain tetapi bagi isteri yang patuh seperti saya ini, ia rahmat yang indah.

Mungkin esok ada adik saya yang pulang ke rumah mertua, tidak mengapalah. Ma tentu ada. Dapat berada di sisi ma juga rahmat yang indah, kerana bukan mudah untuk saya memisahkan diri dari suami dan bertempel dengan ma!


No comments:

Post a Comment