Friday, January 14, 2011

Hipertiroidisme

Hipertiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid mengeluarkan hormon tiroid secara berlebihan. Keadaan ini sering disebut sebagai "tiroid yang terlalu aktif."

Punca
Kelenjar tiroid adalah organ penting dalam sistem endokrin. Kelenjar ini terletak di bahagian depan leher tepat di bawah kotak suara. Ia menghasilkan hormon tiroksin (T4) dan triiodothyronine (T3), yang mengendalikan cara setiap sel dalam tubuh menggunakan tenaga. Proses ini disebut metabolisme.

Hipertiroidisme terjadi ketika tiroid melepaskan terlalu banyak hormon dalam tempoh yang singkat. Keadaan yang boleh menyebabkan masalah ini antaranya:

* berlebihan yodium
* Keradangan tiroid akibat jangkitan virus atau penyebab lain
* Bersifat kanser pertumbuhan dari kelenjar tiroid atau kelenjar pituitari
* Mengambil sejumlah besar hormon tiroid
* Tumor testis atau indung telur

Gejala
* Sukar memberi tumpuan
* Keletihan
* Kerap buang air besar
* Gondok (tampak pembesaran kelenjar tiroid) atau nodul tiroid
* Tidak tahan panas dan mudah berpeluh
* Nafsu makan meningkat
* Tempoh menstruasi tidak teratur pada wanita
* Gementar
* Gelisah
* Kehilangan berat badan yang banyak

Gejala lain yang boleh berlaku dengan penyakit ini:
* Payudara membengkak (pada lelaki)
* Lembap kulit
* Cirit birit
* Rambut gugur
* Tangan terketar-ketar
* Tekanan darah tinggi
* Gatal - keseluruhan
* Kurangnya tempoh menstruasi pada wanita
* Mual dan muntah
* Denyutan jantung tidak teratur
* Menonjol mata (exophthalmos)
* Rapid kuat, atau tidak teratur denyut jantung (jantung berdebar)
* Kulit memerah
* Sukar tidur

Ujian dan Pemeriksaan
Pemeriksaan fizikal boleh mendedahkan pembesaran tiroid, tremor, refleks hiperaktif, atau peningkatan denyut jantung. Tekanan darah sistolik (nombor pertama dalam pembacaan tekanan darah) mungkin tinggi.

hipertiroidisme subklinis adalah bentuk hipertiroidisme ringan yang didiagnosis dengan kadar hormon tiroid abnormal, sering tidak adanya gejala.

Ujian darah juga dilakukan untuk mengukur kadar hormon tiroid.

* TSH (thyroid stimulating hormone) level biasanya rendah
* Tingkat T3 dan T4 tidak biasanya quality

Penyakit ini juga boleh mempengaruhi keputusan ujian berikut:

* Ujian kolesterol
* Ujian glukosa
* Serapan yodium radioaktif
* T3RU
* Trigliserida
* Vitamin B12

Rawatan
Rawatan hipertiroidisme bergantung pada penyebab dan beratnya gejala. Hipertiroidisme biasanya dirawat dengan satu atau lebih hal berikut:

* Ubat-ubatan antitiroid
* Radioaktif yodium (yang menghancurkan tiroid dan menghentikan kelebihan pengeluaran hormon)
* Pembedahan
Jika tiroid harus dihilangkan dengan pembedahan atau dihancurkan dengan radiasi, anda harus mengambil pil hormon gantian thyroid untuk sisa hidup anda.

Beta-blocker seperti propanolol digunakan untuk mengubati beberapa gejala, termasuk denyut jantung yang cepat, berpeluh, dan kecemasan sampai hipertiroidisme dapat dikawal.

Thursday, January 13, 2011

Karamah Pulang Dari Makkah

(Petikan dari Majalah Solusi Isu # 27)

Pulang dari masjid malam itu perasaan saya berkecamuk pelbagai rasa. Fikiran ligat berputar mencari suatu pencerahan. Masih terngiang-ngiang apa yang dibualkan oleh sekumpulan ahli kariah yang baru pulang dari Makkah.

"Banyak keajaiban berlaku semasa aku di sana. Kau macam mana? Berapa kali dapat kucup Hajarul Aswad?"

"Aku dapat sekali sahaja. Itu pun puas berasak-asak dan bertolakan. Kalau tidak, tak merasalah. Aku dengar kau dapat banyak kali. Betulkah?"

"Dah rezeki aku. Bila aku bergerak sahaja menujunya, macam ada sahaja orang yang menolak aku dari belakang. Aku teruskan saja. Mudah. Kucup berapa kali yang aku hendak." Jawabnya agak bangga.

Tak lama kemudian dia menambah, "Insya Allah, tahun hadapan aku akan sekali lagi ke sana."

Mereka berdua memang kaya. Saya tidak berapa pasti apa profesionnya. Sekali sekala sahaja mereka muncul di masjid. Tidak sempat mengenali lebih dekat. Namun perbualan yang singkat itu mengingatkan pengalaman sendiri bagaimana saya melihat "pergaduhan" di tepi Kaabah akibat berebut-rebut untuk mencium batu hitam itu.

Dalam hati saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya jika golongan Muhajirin dan Ansar melihat perlakuan umat yang menggadaikan soal ukhuwwah yang wajib hanya kerana amalan sunat mencium Hajarul Aswad. Teringat pula teguran Dr. Yusuf Al-Qaradawi tentang susunan keutamaan amal dalam 'Fiqh al-Awlawiyyat'nya. Betapa tidak tepatnya sikap kebanyakan orang yang mengerjakan haji berkali-kali sedangkan masih ramai umat Islam miskin yang melarat, pelajar yang kekurangan dana dan institusi Islam yang goyah kerana ketandusan biaya. Itu lebih utama dibantu!

Aneh
"Aku mengalami satu kejadian ajaib. Ketika aku letih dan haus selepas tawaf, tiba-tiba ada seorang lelaki berwajah jernih menghulurkan aku segelas air zam zam. Peliknya dia kemudian hilang secara tiba-tiba."

"Tentu itu wali Allah. Kau bertuah dapat minum air zam zam yang diberikan wali Allah itu," balas kawannya.

"Kalau kau pergi lagi tahun depan, tunggulah di tempat minum air zam zam selepas tawaf. Mana tau rezeki kau pula dapat jumpa wali macam aku," balas kawannya itu.

Dialog itu saya dengar beberapa tahun yang lalu. Terasa aneh dalam hati. Betapa tersilapnya pemahaman masyarakat tentang kebaikan. Seringkali apa yang didakwa "keajaiban" menenggelamkan kebaikan yang didasarkan oleh nas yang lebih jelas dan sahih. Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan tangan yang di atas (memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima)?

Pada pandangan saya, tentulah menghulur air kepada manusia lain yang keletihan dan kehausan itu lebih utama berbanding menerima daripada orang lain (tidak kira siapa pun) yang menghulurkan untuk kita.

Sepatutnya kita berazam untuk menjadi pemberi, bukan penerima.

Misteri di Tanah Suci
Di kedai-kedai buku sekarang ini masih terjual majalah atau buku yang memuatkan pelbagai kisah misteri yang berlaku di Tanah Suci. Kisah penzina yang tidak nampak Kaabah. Kisah orang ego yang tersesat dalam masjid Nabawi. Insiden orang celupar kehilangan suara. Cerita orang yang makan rasuah terasa panas membahang dan meminta pulang. Macam-macam cerita lagi.

"Aku takut hendak ke Makkah," kata kenalan saya seorang usahawan yang berjaya satu ketika dahulu.

"Kenapa? Bukankah semua orang bercita-cita hendak ke sana?"

"Kau tahulah aku dulu. Hidup bergelumang macam-macam maksiat."

"Pergilah ke sana. Baiki diri sekarang dan bila di sana nanti, perhebatkan langkah taubat. Insya Allah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita."

"Aku takut... aku takut tak nampak Kaabah nanti!"

"Masyaallah! Inilah akibatnya terlampau banyak baca kisah misteri. Kau mesti 'delete' semua anggapan itu. Baca al-Quran dan hadis-hadis yang mendorong kita ke Makkah dan Madinah."

Itu satu cerita. Seorang kenalana saya membawa satu cerita lagi. Tetapi cerita ini berlawanan dengan cerita tadi.

"Aku kenal seorang ahli perniagaan yang kaki rasuah. Dapat projek ikut jalan tak betul. Macam-macam hal negatif yang dia buat. Baru-baru ini dia pergi mengerjakan haji setelah bertahun-tahun berhujah yang dia belum sampai seru."

"Alhamdulillah, dia sampai seru akhirnya," balas saya sambil tersenyum.

"Tapi malang..."

"Apa yang berlaku? Dia tak nampak Kaabah?" kata saya sekadar memeriahkan perbualan dengan input-input yang selalu dikatakan orang apabila orang "seumpama itu" pergi ke Makkah.

"Dia nampak. Segala-galanya macam biasa saja. Balik dari Makkah dia semakin 'confident' dengan perbuatan negatifnya. Sikap buruknya malah makin menjadi-jadi."

"Kenapa dia jadi begitu?"

"Dia kata, kau tengok aku. Aku nampak Kaabah. Tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku baca dalam kisah-kisah misteri dan aneh itu. Itu menunjukkan aku ok lah.. Tuhan pun merestui aku. Kalau aku jahat dah tentu aku ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah misteri itu. Ini tidak. aku ok... ok saja!"

Saya menggeleng kepala. Inilah gugusan kisah misteri yang sepatutnya dikupas dan dijelaskan berdasarkan wahyu dan sunnah. Betapa roh ibadah dan tujuan sesuatu amalan sudah terlalu kabur akibat diselubungi pelbagai kepercayaan, kecenderungan dan amalan yang jauh tersasar. Maka terciptalah "topeng-topeng" agama yang menyembunyikan wajah kejahatan dan kemungkaran yang semakin sukar dikesan dan dikenali.

Dan itu semua membenarkan apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjawab soalan seorang sahabatnya Abu Huzaifah tentang kebenaran yang akan muncul semula pada akhir zaman. Rasulullah menjawab: "Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan." Maksudnya kebenaran akan muncul buat kali kedua tetapi kali ini di tengah-tengah banyaknya kesamaran!

Demikianlah kisah-kisah 'karamah' dari Makkah. Manusia ghairah mencari yang luar biasa sehingga terlupa yang luar biasa itu sebenarnya adalah sikap ikhlas, istiqamah, sabar, khidmat dan iltizam dalam beragama. Ramai yang lupa bahawa roh daripada mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci adalah bangunnya jiwa perjuangan untuk menyucikan semua tanah yang kita pijak sekembalinya kita dari sana.

Ulama tersohor zaman ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berkata: "Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga!"

Tanamlah benih itu di sini, di sana dan di mana-mana jua. Itulah semangat jihad tiga perempat daripada 124 ribu sahabat Rasulullah yang meninggal dunia di luar Makkah dan Madinah!

(Imam Global)

Wednesday, January 12, 2011

Dia

Saya sedang mencari-cari diri, yang terasa bagai hilang. Ada waktu-waktunya terasa sukar menempuh ujian walau diri sangat sedar, ia bukan datang tanpa hikmah di sebaliknya.

Melihat insan yang dekat dengan diri saya melalui kesakitan dan kesulitan, mengundang rasa sayu dan pilu yang tidak mampu diungkap dengan kata. Dia umpama diri saya. Berbelas tahun berkongsi segala yang sulit dan rahsia dengannya, bukanlah tempoh yang singkat. Saya bagai ada dalam dirinya, sebagaimana saya merasai dirinya di dalam saya. Kini dia berperang dengan kesukaran. Simpati saya padanya melimpah. Saya jadi buntu kadang kala, kerana tidak tahu tindak laku yang sewajarnya tatkala dia menahan diri dimamah ketidakselesaan yang semakin menular hari ke hari.

Saya tidak jemu memanjat doa agar dia pulih dan kembali mewarnai hari-hari saya dengan senyum dan tawa.

Saturday, January 08, 2011

Banjir

Sejak petang Rabu, hingga hari ini hujan masih belum mahu berhenti. Matahari menyembunyikan dirinya di balik awan kelabu. Sejuk mencengkam, menikam hingga ke tulang hitam.

Pagi Khamis 6hb Januari, hujan sungguh lebat. Di sekolah, air hujan bertakung di depan bangunan, di koridor juga di sekitar bilik guru. Cuaca begini bukan sekadar menyejukkan luaran, malah mengundang kebekuan dan kelembapan dalaman yang menghadirkan keinginan berhibernasi yang tinggi! Mujurlah esok Jumaat, bolehlah keinginan itu direalitikan.

Hmmm.... Januari tiba bersama banjir rupanya. Apa pun, alhamdulillah!


Pemandangan di hadapan SMK Kadok, pada jam 3.00 petang, 6hb Januari 2011.

Bekerjalah wahai wanita!

Seorang wanita mengadu kepada seorang kaunselor.

“Puan, saya bermasalah dengan suami saya. Tidak berapa lama lagi, sekolah akan bermula tetapi dia masih enggan membeli pakaian sekolah, beg dan kasut untuk anak-anak saya. Saya kasihankan budak-budak. Baju lama sudah lusuh sangat. Kasut apatah lagi. Suami saya bukan tidak berduit tetapi terlalu berkira dengan isteri dan anak-anak. Padahal, pakaiannya selalu berganti baru. Saya tidak bekerja dan tiada pendapatan sendiri. Apa harus saya lakukan?”
Saya terbaca luahan ini di status seorang rakan facebook saya yang juga seorang kaunselor.

Jawapan yang diberi ialah, “Sebab itulah saya sentiasa mengingatkan, wanita kena ada pendapatan sendiri!”

Saya terdiam, dan berfikir sejenak.

Benar, menyediakan segala keperluan anak-anak dan rumahtangga adalah kewajipan suami. Tetapi pada era ini, siapa pun tidak berani menjamin sejauh mana lelaki sekarang peka dan sedar dengan tanggungjawabnya. Jika mendapat suami yang baik dan beriman, alhamdulillah. Tetapi siapa yang mampu meramal masa depan?

Saya sedih mengenang situasi begini. Lelaki yang tidak terdidik dengan ilmu, meletakkan ego diri sebagai raja. Mereka juga memandang wanita sebagai makhluk kelas kedua. Konon wanita lemah, tidak kuat emosi dan suka membesarkan perkara remeh. Mereka anggap isteri sebagai orang suruhan - diguna bila perlu, dibuang bila jemu. Padahal semua manusia sama di sisi Allah, yang berbeza ialah ketakwaan diri. Mereka lupa, tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak adalah milik mereka. Jika isteri dan anak-anak mereka tidak berada pada landasan syariah, bersedialah menjawab di padang Mahsyar nanti!

Justeru, beringatlah wahai wanita. Sediakan diri anda secukupnya dengan bekalan. Walaupun Allah telah menetapkan wanita sebagai jagaan lelaki tetapi lelaki zaman sekarang sangat sukar ditelah. Berdasarkan bancian terbaru negara kita, bilangan lelaki lebih ramai daripada bilangan wanita tetapi kenyataannya, di manakah mereka semua? Jika kita ke universiti, yang ramai ialah pelajar wanita. Mungkin jika kita ke pusat serenti barulah nampak ramai lelaki. Sungguh, lelaki Malaysia kurang yang berkualiti. Kenapa agaknya? Kerana mereka dirajakan keluarga, dan merajakan ego diri. Wanita tidak begitu.

Lalu saya berpesan di sini, bersedialah selengkapnya wahai wanita. Bekerjalah, carilah pendapatan sendiri kerana sekarang bukan waktunya untuk kita bergantung pada lelaki. Seterusnya, bijaklah dalam mengurus diri dan keluarga. Jangan biar kita dipijak, diperbodoh dan diperguna. Jangan sampai segala harta benda kita menjadi harta benda mereka juga.

Bukan maksud saya untuk menghasut wanita membenci dan tidak mempercayai lelaki. Saya tidak begitu kerana saya tahu masih ramai lelaki yang baik dan bertanggungjawab di luar sana. Cuma saya tekankan tentang persediaan diri bagi wanita yang masih mencari dan menanti kehidupan berkeluarga. Andai bertemu lelaki yang tidak seperti dihajati, sekurang-kurangnya kita punya persiapan diri.

Satu lagi, jika anda seorang ibu yang memiliki anak lelaki, didiklah mereka dengan betul mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, supaya mereka tergolong lelaki bertanggungjawab yang tahu menghormati wanita.

Monday, January 03, 2011

Hari pertama di sekolah tahun 2011

Bermulalah hari pertama persekolahan bagi tahun 2011 ini.

Jam sudah berbunyi seawal 5.30 pagi tetapi kantuk saya masih bersisa! Entah mengapa malam tadi sukar benar melelapkan mata. Berpusing ke kiri, ke kanan masih enggan lena. Baru sahaja terlena sekejap, sms pula berbunyi. Hmm, Celcom ini tak mengira masakah? Jam 3.45 pagi menghantar sms kredit percuma! Lambat pulalah mata saya mahu lena kembali…

Apa pun, tanggungjawab wajib dilaksanakan. Jam 6.45 pagi saya dan suami bergerak ke sekolah. Memang suasana masih gelap dan sejuk. Awal tahun begini subuh memang lambat, maka tentu sekali matahari hanya muncul menjelang 7.30 pagi. Tiba di sekolah, saya menuju ke bilik saya dan mengemas apa yang patut. Bersandar di kerusi, fikiran menerawang ke serata alam. Mencari dan menaakul, menimbang dan mengukur. Semoga kali ini saya lebih cekal, berwawasan dan positif dalam tugas. Amin.

Jam 7.40 pagi, perhimpunan berlangsung di Dewan Chengal Perdana. Sekejap sahaja, hanya 40 minit. Memang Tuan Pengetua kami sangat menepati masa. Pesanan beliau, agar pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti biasa walaupun hari ini hari pertama persekolahan.

Akur dengan arahan, saya menuju ke kelas pada jam 9.00 pagi sebaik selesai sarapan di kantin. Kali ini saya berdepan dengan pelajar tingkatan 5 Ibnu Sina, mengajar mereka Matematik Tambahan. Sebagai permulaan, saya perkenalkan tajuk-tajuk yang bakal mereka pelajari pada tahun ini. Seterusnya saya kemukakan sembilan soalan sebagai ulangkaji tajuk-tajuk tahun lepas.

Kelas mereka tamat pada 10.20 dan saya punya waktu cuma 20 minit untuk berehat sebelum kelas seterusnya. Saya ke pejabat, mengbil buku rekod 2011 dan buku kedatangan pelajar 4IBN.

10.40 pagi, saya menuju ke kelas 5 Ibnu Rushd pula untuk subjek Matematik. Tanpa banyak cerita, saya meminta mereka menjawab soalan kertas 2 SPM 2004, dari nombor 1 hingga nombor 7, dan juga nombor 9 sebagai latihan awal. Bukan apa, lama bercuti tentu memberi sedikit impak kepada kecekapan memori mereka. Saya sekadar ingin mendiagnos sahaja.

Alhamdulillah, mereka tekun menurut arahan saya, dan tepat jam 12 tengah hari saya tamatkan kelas dan berjanji untuk memberi jawapan soalan-soalan tersebut pada esok hari.

Kelas seterusnya untuk masa 12.00 hingga 12.40 tengah hari ialah tingkatan 4 Ibnu Khaldun tetapi semua pelajar tingkatan empat terlibat dengan orientasi di Dewan, maka saya bolehlah buat kerja lain.

Saya mengambil ruang waktu yang ada ini untuk mengagihkan cenderahati yang saya beli sewaktu di Makkah baru-baru ini kepada guru-guru di sini. Tidak mahal, hanya seutas tasbih, seutas rantai kunci dan sebotol kecil minyak attar sebagai tanda ingatan. Buat kaki tangan di pejabat dan makmal pula, saya merancang untuk mengagihkannya pada esok hari.

Jam 12.45, bersama-sama dengan cikgu Haslinah saya ke kantin untuk makan tengah hari. Suami saya akan datang menjemput saya agak lewat hari ini kerana dia terpaksa menghantar Toyota Camrynya untuk diservis. Mungkin sekitar jam 3 petang baru saya dapat pulang, maka saya selesaikan makan tengah hari saya di sekolah sahaja. Menunya, nasi putih dengan sup tulang dan telur mata lembu, beserta segelas teh o ais. Hanya RM5.00, dan saya kekenyangan.

Sekarang, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.19 petang. Saya bersendirian di bilik saya ini kerana rakan-rakan sebilik sudah pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah, saya tidak bosan bersendirian kerana ditemani laptop kesayangan saya ini…

Saturday, January 01, 2011

Kamera Digital

Pertama kali saya memiliki kamera digital ialah pada Jun 2004. Saya di Langkawi waktu itu, dan berhajat sangat untuk memiliki satu kamera digital. Ketika itu saya belum begitu kenal dan faham tentang spesifikasi kamera digital ini menyebabkan saya beli sahaja apa yang ditawarkan oleh kedai kamera di sana.Kodak Easyshare. Itulah kamera pertama saya dan ia langsung tidak memuaskan hati saya. Harganya RM400, tetapi kualiti gambarnya sangat teruk. Rasa menyesal juga kerana membeli tanpa ilmu! Tapi nak buat macam mana jika sudah rezeki saya mendapat kamera sedemikian rupa.

Lama saya menyimpannya. Diguna jarang-jarang. Sakit hati melihat gambar yang terhasil. Akhirnya pada Ogos 2005, sewaktu mengikuti kursus di Kuala Lumpur saya meronda-ronda kedai kamera di sekitar hotel saya. Waktu itu saya sudah tahu apa itu megapixel, apa itu optical zoom, digital zoom, AF assist dan macam-macam lagi. Saya juga rajin membaca forum di internet tentang kamera digital yang bagus, murah dan berkualiti. Saya sudah pun tahu jenis kamera yang saya ingini sebelum saya membelinya. Canon PowerShot A400. Itulah yang saya cari berdasarkan maklumat dalam internet. Dengan penuh keyakinan saya melangkah ke kedai kamera, dan meminta kamera tersebut. Waktu itu ia berharga RM650 dan saya mendapat kad memori, camera stand dan payung percuma. Kali ini saya sangat berpuas hati. Kamera itu memang bagus. Gambarnya jelas, saiznya sederhana dan senang dioperasi. Saya turut membeli kamera yang sama untuk adik saya Husna.

Saya menggunakan kamera ini semaksimumnya dan ia tidak pernah meragam. Walaupun sudah bertahun-tahun, ia tetap setia berkhidmat pada saya dan saya rasa sangat sayang untuk mengabaikannya. Pada waktu orang lain memiliki kamera yang lebih terkini, saya masih menggunakan Canon saya. Saya rasa kualiti gambarnya masih yang terbaik berbanding kamera jenama lain, yang terbaru di pasaran yang diguna oleh adik-adik saya.

Masa berubah. Kamera juga turut berubah. Kini, ada rasa segan juga bila menggunakannya di khalayak kerana rupanya yang tidak secanggih kamera sekarang. Ia kelihatan tebal, berat dan out of date.

Kasihan Canon saya itu, dia tidak bersalah.

Tetapi saya cuma manusia biasa yang punya keinginan mencuba sesuatu yang baru. Saya mahu perubahan. Sudah lama saya membaca tentang Canon IXUS dan mengimpikannya. Pun, harganya mahal. Lebih seribu ringgit.

Rabu baru-baru ini, di KB Mall bersama-sama Ismah, kami melewati kedai kamera Foto Mesra. Tiba-tiba hati saya tergerak untuk berhenti di situ dan meninjau-ninjau kamera yang ada. Hmm. Canon IXUS impianku ada di situ. Rupanya kedai tersebut mengadakan jualan penghabisan stok dan kemera Canon IXUS 200 IS itu cuma berharga RM899 berbanding harga asal RM1299. Aduh! Saya tergoda...

Walaupun tidak merancang, tetapi saya nekad membelinya. Oh! Gambarnya sungguh cantik. Skrinnya lebar, malah skrin sentuh lagi. Mengoperasinya juga senang kerana saya sudah biasa menggunakan Canon. Dengan kad memori 4GB, saya mampu menyimpan beribu-ribu keping gambar. Sungguh, saya sangat puas hati.

Kini, saya memiliki dua buah Canon dan saya sayang kedua-duanya. Semoga mereka setia berkhidmat dengan cemerlang pada saya untuk tempoh yang lebih lama lagi!

KB Mall 29 Disember

Hari Rabu.
Hujan turun renyai-renyai, sekejap lebat sekejap berhenti. Suami saya ada mesyuarat guru di sekolahnya, yang tentu sekali memakan masa berjam-jam. Saya bakal keseorangan di rumah, bakal kesunyian tanpa teman. Saya pohon keizinan suami untuk keluar ke KB Mall bersama-sama adik Ismah saya yang juga kebosanan di rumah emak. Alhamdulillah, dia tidak melarang malah memberi galakan... hehe!!

Jam 8.30 suami menghantar saya ke rumah emak. Hujan masih belum berhenti, namun saya berdoa agar ia tidak terlalu lebat. Saya ingin benar ke KB Mall, ingin meredakan tekanan dan kepenatan berhari-hari dengan membeli-belah. Hm, wanita tipikal!

Jam 9.35 saya dan Ismah keluar ke KB Mall menaiki teksi. Jalan agak sesak, dan kami tiba pada jam 10.25 pagi.

Kami mula meronda ke sana ke mari, melihat dan memantau apa yang perlu. Di kedai buku, kedai CD, kedai makanan segera, kedai komputer, kedai kamera, kedai pakaian, farmasi dan juga pasar raya pacific.

Memang melegakan sekali!

Jam 2.30 petang kami pulang menaiki kereta prebet yang bertaburan di hadapan KB Mall.


Januari tiba lagi...

...untuk kali yang ke-39 dalam hidup saya. Dua peristiwa penting mengisi bulan ini, hari jadi dan hari ulangtahun perkahwinan yang berselang seminggu cuma. Tetapi bukan itu yang ingin disentuh, kerana ia telah disentuh berkali-kali.

Saya mengharap Januari ini membawa sinar nan gemilang.

Isnin ini saya akan memulakan tugas saya sebagai guru SMK Kampong Chengal untuk tahun 2011, tahun ketiga di sekolah ini. Berbekalkan semangat yang membara, saya akan meredah Januari dan bulan-bulan seterusnya dengan keazaman yang tinggi. Saya sudah menerima senarai tugas saya untuk sesi kali ini dan saya bersedia. Bersedia mental, bersedia fizikal. Semoga perancangan saya pada tahun ini direstui Allah.

Januari, satu permulaan. Moga ada peningkatan. Insya Allah.

Friday, December 31, 2010

Salam Tahun Baru

Salam tahun baru.

2010 pun berlalu dan tidak akan kembali lagi. Pahatlah kenangan manis sepanjang tahun menjadi sejarah di ruang hati. Selitkan pengajaran dari setiap kepahitan, ambillah iktibar dari setiap kegagalan, agar 2011 yang tiba membawa erti. Kita tidak punya upaya menyekat perjalanan masa. Itu peraturan alam, ketetapan Tuhan. Kita hanya mampu menyimpan ingatan.

Sematkan azam untuk menjadi lebih baik terhadap insan, terhadap Tuhan.
Selamat tinggal 2010 dan kita tidak akan bertemu lagi.
Selamat datang 2011. Semoga sinarmu bercahaya gemilang.

Tuesday, December 28, 2010

Hati yang tergores

Maaf.

Ada waktu-waktunya kita melukai hati orang yang kita sayang tanpa kita sedari. Apa yang berlaku tempoh hari memang salah saya. Tidak sepatutnya saya berlalu begitu sahaja tanpa mengirim walau sepatah kata lewat talian telefon. Saya sebenarnya lalai, tapi bukan saya lupa padanya. Dia saudara saya, dan saya mengasihinya. Saya bukan sengaja. Sungguh!

Sekali lagi maaf.

Dia memang berkecil hati. Saya tidak salahkannya kerana saya tahu saya yang bersalah. Dia berhak berasa begitu dan saya pula, gagal memberi jawapan yang baik. Sungguh benar saya minta maaf.

Walaupun dia tidak membaca tulisan ini, jauh di sudut hati saya mengharap kemaafannya. Saya mengakui salah saya dan saya berjanji untuk tidak mengulanginya. Saya tahu dia tidak menyimpan rasa. Semoga kita kekal bersaudara hingga akhirat.


Minggu yang padat

Sepulangnya kami dari berehat di Dungun, kami kembali melalui rutin hari yang penuh dengan agenda. Saya yang selalunya santai bersendirian di rumah, melayan hobi sendiri dan seringnya tanpa sebarang gangguan tiba-tiba menjadi sentiasa sibuk setiap hari.

Hari Rabu, saya dan suami keluar membeli belah barang keperluan dapur di kedai berhampiran dan singgah juga di Pesona Anggun untuk menghantar batik-batik Terengganu yang dibeli semalam. Janji tukang jahit itu, minggu hadapan baju-baju saya itu bolehlah diambil untuk digayakan di sekolah sempena tahun baru…

Pulang ke rumah, saya menyediakan diri untuk masak makanan tengah hari. Kali ini saya sediakan kari kepala ikan, sayur pucuk paku goreng campur sotong dan ikan kerisi goreng. Selesai makan, saya berehat panjang hingga ke malam. Kebetulan malamnya suami saya dijemput bertahlil di rumah jiran, maka saya tidak perlu menyediakan makan malam. Hanya kue teow goreng saya sediakan untuk diri sendiri.

Khamis tiba tanpa mungkir. Suami saya ada mesyuarat di sekolahnya lalu saya minta dia hantarkan saya ke rumah emak untuk bersantai di sana pula. Sebenarnya, kerja di rumah sangatlah banyak. Kain yang belum berbasuh penuh bakul, yang belum berlipat juga sama. Bilik tetamu masih belum dikemas, sedangkan saya akan menerima tetamu dari KL pada Sabtu nanti. Beranda dan kawasan luar rumah juga masih begitu, belum dibersihkan sepenuhnya. Tetapi, saya rasa rindu dan teruja untuk berada bersama keluarga di rumah emak. Jika saya tidak pergi hari ini, susah pula untuk mencari masa lain nanti sedang adik-adik sudah pun mahu pulang ke negeri masing-masing.

Di rumah emak pun bukannya lama sangat, jam 1.00 tengah hari suami saya pulang dan menjemput saya, bersama-sama dua bungkus nasi untuk santapan tengah hari. Dia juga membawa khabar, esok (Jumaat) kami dijemput Kak Zan ke rumahnya, menyiapkan apa yang patut sempena majlis pertunangan anaknya.

Waktu malam tiba, kali ini bersama temujanji suami saya dengan tukang urutnya. Jam 8 malam, tukang urut tiba untuk mengurut suami dan saya ke dapur menyediakan makan malam. Saya sediakan ikan kerisi goreng, ayam halia dan sayur petola masak air campur udang. Jam 8.40 malam, sahabat kami dari Kuala Krai menelefon dan memberitahu mereka dalam perjalanan ke rumah kami. Jam 9.15 mereka tiba dan berada di sini hingga hampir 11 malam. Mujurlah makan malam yang saya sediakan itu mencukupi untuk mereka sekeluarga juga.

Pagi Jumaat, kami berdua ke rumah Kak Zan dan saya berada di sana hingga petang. Majlis berjalan baik dan saya pulang pada jam lima. Hmm, rumah belum berkemas juga.

Menjelang malam, saya berhasrat untuk mengemas rumah kerana esok pagi sahabat-sahabat saya akan tiba. Apa pun, rancangan tidak menjadi kerana suami saya mengajak saya menemannya ke klinik di Ketereh. Jam 8.00 kami pergi, jam 10.30 baru balik. Mata mengantuk, tetapi saya mesti kemaskan juga bilik tetamu, bilik air dan bahagian dapur yang bersepah itu. Lalu bekerjalah saya dalam kemengantukan sebegitu.

Sabtu, jam 10.15 pagi tiga orang sahabat saya pun tiba seperti yang dijanjikan. Saya sudah siapkan mihun goreng untuk mereka. Seronok berbual sambil makan, tidak sedar jam menghampiri 12 tengah hari. Kami keluar untuk makan tengah hari di KB, bersama dua orang lagi sahabat kami yang menanti di sana. Seterusnya, kami meronda bandar KB, dan menghantar mereka ke airport pada jam 6 petang. Dua orang lagi sahabat saya menghantar saya pulang ke rumah dan meneruskan agenda berbual kami hingga jam 10 malam.

Ahad, saya kira saya bakal bersendirian kembali tetapi ia tidak begitu. Jam 10 pagi, kakak ipar saya datang bersama empat orang anaknya. Seronok melayan keletah Afnan, Aisyah, Ain dan Anis yang jarang-jarang dapat berjumpa. Jam 11.30, mereka ingin pulang tetapi Afnan mahu terus bersama saya. Emaknya membenarkan, dan meminta Ain dan Aisyah turut bersama. Lalu mereka bertiga menemani saya di rumah sehingga jam 5 petang.

Apabila mereka pulang, suami menerima panggilan telefon dari sahabatnya yang tinggal di Dungun. Dia dan keluarganya dalam perjalanan dari Penang dan ingin singgah di rumah kami. Jam 6.45 petang mereka tiba. Saya sediakan karipap goreng dan kuih tradisional Kelantan – jala emas dan kaya – yang saya beli di bandar semalam. Selepas maghrib, kami bawa mereka ke rumah Kak Zan dan kami dihidangkan dengan sate dan nasi himpit. Jam 9.30 malam, mereka pulang ke Dungun.

Isnin, saya dan suami keluar ke kedai dan ke pejabat pos pada jam 9.30 pagi. Tiba di rumah semula pada jam 10.45 pagi. Saya terus masuk dapur untuk masak tengah hari – ayam halia, ikan bawal pedas, pucuk paku celur, ikan tawar dan budu. Jam 12 tengah hari siap masak dan kami terus makan. Jam 12.45, keluar ke rumah mek untuk menghantar adik ipar saya ke airport. Di sana, suami menerima panggilan daripada sahabatnya yang tinggal di Cameron Highland. Dia dan isterinya berada di Machang, dan ingin datang ke rumah kami petang nanti.

Sebaik selesai urusan di airport, saya dan suami bergegas pulang. Tiba di rumah, dengan kadar yang segera saya siapkan mi goreng dan karipap goreng untuk dihidangkan pada mereka nanti. Mujurlah sempat siap. Mereka tiba pada jam 3.30 petang dan pulang pada jam 5 petang.

Malam, selepas Isya saya dan suami ke rumah saudara kami yang juga jiran kami untuk majlis solat hajat. Kami pulang jam 10.20 malam.




Thursday, December 23, 2010

Keputusan PMR 2010

Hari ini 23hb Disember 2010, keputusan PMR diumumkan. Ramai yang berdebar-debar, dari calon PMR, ibu bapa hinggalah guru-guru.

SMK Kg Chengal (SMKKC), sekolah tempat saya mengajar sekarang dibuka pada tahun 2006. Kali pertama pelajar-pelajarnya menduduki PMR ialah pada tahun 2008. Apabila keputusan diumumkan, 18 orang pelajar berjaya mendapat semua A. Ia satu rekod baik kerana sekolah-sekolah sekitar tiada yang dapat menandingi pencapaian SMKKC. waktu itu Nama SMKKC harum semerbak secara tiba-tiba. Ramai ibu bapa berhajat menghantar anak mereka ke sekolah ini kerana pencapaian yang sebaik itu.

2009, kali kedua PMR berlangsung di SMKKC dan keputusan yang diperoleh agak mengecewakan. Hanya 2 orang pelajar mendapat semua A dan ia jauh ketinggalan dengan sekolah-sekolah sekitar. Bukan hanya ibu bapa, guru-guru juga berasa terhantuk dengan keputusan ini. Mujurlah kepercayaan ibu bapa pada sekolah tidak pudar. Masih lagi mereka berebut-rebut menghantar anak mereka ke sini. Malah, ada yang datang ke rumah meminta bantuan saya menempatkan anak mereka di SMKKC. Apalah daya saya yang ada kerana penempatan di SMKKC dibuat oleh pihak PPD, bukan pihak sekolah.

Hari ini debaran di hati guru-guru SMKKC tiada terkata. Sebaik keputusan diterima, syukur pada Allah melimpah ruah. 19 orang pelajar berjaya mendapat semua A dan ini mengatasi rekod 2008. Kali ini kami mampu bernafas lega. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, keputusan yang baik dalam apa-apa peperiksaan pun adalah terletak pada usaha yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak - pelajar, guru dan ibu bapa. Saya rasa sedih apabila kedengaran suara-suara sumbang menyalahkan guru apabila keputusan tidak seperti disasarkan. Kata mereka, "cikgu tak bersungguh!" apabila anak mereka tidak mendapat keputusan baik. Kasihan guru. Apabila keputusan jatuh, guru yang tidak bersungguh. Jika keputusan baik pula, anak mereka yang bijak.

Tak mengapalah, kami redha...

Wednesday, December 22, 2010

Mencari Kerehatan di Dungun

Jam 9.00 pagi Isnin 20hb Disember, saya dan suami bertolak ke Terengganu. Tujuan hanyalah sekadar berjalan-jalan makan angin sambil mencari batik Terengganu sehelai dua. Perjalanan memang nyaman kerana hujan di beberapa tempat. Kami sebenarnya ingin menuju ke Dungun, bandar kecil di hujung negeri Terengganu yang belum pernah kami kunjungi. Kenapa Dungun ya? Tiada alasan atau sebab, mungkin untuk menambah koleksi pengalaman merantau di tempat orang.

Jam 12.40 tengah hari kami pun tiba di bandar Dungun. Ia tidak sebesar mana tetapi serba lengkap juga. Kami menuju ke hotel UiTM untuk menginap di sana tetapi malang nasib kami, bilik sudah penuh. Hmm, kami tidak berapa tahu hotel-hotel lain tetapi dengan keyakinan diri kami berpatah balik ke bandar, dan mata kami meliar membaca setiap papan tanda di tepi jalan.

Kami terpandang papan tanda hotel Mayang Sari dan segera mengikut arah yang diberikan. Kira-kira jam 1.30, kami pun tiba di hotel tersebut dan disambut mesra pelayan tetamunya. Kami menginap di bilik C2, Water Villa yang cuma berharga RM75.00 untuk satu malam beserta sarapan.

Selesai solat, kami keluar mencari kedai makan. Suami saya berkenan untuk singgah di Restoran Saujana di hadapan Hospital Daerah Dungun dan kami menikmati hidangan Nasi Ayam Saujana yang boleh tahan sedap rasanya, dan harganya pun murah, cuma RM3.80.

Sambil menanti hidangan tiba, suami saya menghubungi sahabat sebiliknya sewaktu di Mekah baru-baru ini iaitu Hj Ruslan dan menjemputnya datang ke restoran. Tidak lama kemudian, Hj Ruslan tiba dengan kereta Citra kelabunya.

Selesai makan, Hj Ruslan membawa kami ke rumahnya untuk berjumpa isterinya, Hjh Zaharah dan anak-anaknya. Apabila mengetahui hajat saya ingin membeli batik, beliau dan isteri membawa saya dan suami ke kilang batik berhampiran. Saya beli sepasang kain batik berharga RM170.00 dan sehelai kaftan berharga RM25.00.

Jam 5.00 petang kami pulang ke Mayang Sari untuk berehat seketika. Selepas solat, kami keluar pula. Kali ini kami keluar bersama-sama dengan keluarga Hj Ruslan dan keluarga Hj Razali, iaitu seorang lagi sahabat sebilik suami saya ketika di Mekah. Hj Razali datang bersama isterinya Hjh Rohani dan tiga orang anaknya.

Kami menuju ke restoran Batu 50 dan menikmati makan malam di situ. Banyak juga Hj Ruslan memesan makanan - tom yam campur, ikan tiga rasa, kerabu sotong, kailan ikan masin, ayam halia, telur dadar dan sotong celup tepung. Kami makan dengan berselera dan sungguh kenyang sekali. Terima kasih banyak-banyak Tuan Haji kerana sudi belanja kami.

Selesai makan, kami berkunjung ke rumah Hj Razali pula yang terletak di belakang hospital. Lama juga berbual-bual di rumahnya sambil menikmati kopi Radix, tapai pulut dan buah limau. Jam 11.00 malam baru kami pulang.

Esoknya, selesai sarapan di restoran Sari Bayu, kami bertolak pulang. Kami tiba di bandar Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi dan singgah di Pasar Payang untuk mencari batik lagi. Kali ini saya berkenan dengan tiga pasang kain batik yang masing-masing berharga RM190, RM200 dan RM230. Risau juga saya kalau-kalau suami membebel kerana berbelanja sebegitu rupa, tetapi suami saya seperti memahami keinginan saya dan membiarkan sahaja saya membeli belah tanpa banyak cerita. Sebagai hadiah, saya belikan sehelai kemeja batik berharga RM120 buatnya.

Jam 11.30 pagi, kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Dalam perjalanan kami singgah di Batu Rakit untuk membeli keropok lekor sebagai buah tangan kepada keluarga dan jiran, dan singgah makan tengah hari di gerai makan di Penarek. Kami makan banyak juga, nasi putih dengan gulai ikan tongkol, sayur lemak, daging goreng dan budu. Air pula teh o ais. Harganya? Cuma RM11.00! Murah, bukan?

Lebih kurang jam 2.45 petang, kami tiba di Batu 8. Alhamdulillah, percutian kami walaupun cuma satu hari, cukup memberi kepuasan diri.

Saturday, December 18, 2010

Makanan di Mekah

Sebelum ke Mekah lagi, kami sudah dimaklumkan oleh banyak pihak yang makanan pakej haji Tabung Haji (Muassasah) diagih secara bungkus, diberi dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Makan pagi beli sendiri, tapi teh dan gula disediakan.

Saya sebenarnya kurang berkira sangat bab makan ni. Tekak saya mudah menerima makanan. Orang lain kata tak sedap pun saya selalunya boleh habiskan. Arwah ayah pernah kata, saya ni nasi dengan kicap pun lalu, maklumlah budak asrama. Emak pula cakap, senang nak bela orang macam saya ni, semua benda boleh makan!

Hmm, di Madinah dan Mekah pun begitu. Nasi yang disediakan bagi saya boleh tahan juga rasanya. Jika lauk ayam atau ikan saya selalu makan sampai habis. Tetapi bila lauk daging, kurang lalu sedikit. Di Malaysia pun saya kurang makan daging.

Semasa di Arafah dan Mina, makanan disediakan oleh pihak Muassasah, jadi rasanya berbeza sedikit daripada yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Saya yang sentiasa berselera ini pun tiba-tiba jadi tidak lalu. Mungkin kerana saya diserang batuk dan selesema semasa di sana menyebabkan kurang selera makan.

Apabila kembali ke Mekah, selera saya pulih semula. Alhamdulillah. Tetapi tidak lama, kerana beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia saya demam teruk. Mujurlah ia tidak berlarutan.

Setiba di Malaysia, ramai yang menegur saya kurus. Hmm, ini sudah bagus! Saya teruja juga hendak mengetahui berat badan terkini saya. Kebetulan Selasa baru-baru ini saya ada temujanji di HUSM, jadi sempatlah saya menimbang berat badan saya.

Tahu berapa? 76 kg! Itu berat badan saya 5-6 tahun yang lalu, sewaktu masih di Kuala Krai. Sejak berpindah balik ke Kota Bharu, berat saya melebihi 80kg malah pernah menjangkau 86 kg pada 2007. Saya rasa seronok sangat tetapi saya tidak tahu sampai bila berat ini bertahan. Tambah-tambah lagi bila berada di rumah sendiri ini, kerja saya asyik makan sahaja!

Berbalik kepada cerita makanan di Mekah, pada saya ia tidaklah seteruk mana. Beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Mekah, saya terbaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar tahun lepas yang mengkritik keterlaluan makanan Tabung Haji sehingga saya jadi bimbang. Rupanya ia tidak begitu. Mungkin selera manusia berbeza-beza, tetapi bagi saya ia tetap sesuai dengan kita jemaah haji Malaysia.

Friday, December 17, 2010

Demam

Sewaktu di Mekah baru-baru ini saya mengalami demam yang teruk. Sebelum itu saya hanya mengalami batuk sahaja, tetapi bermula Khamis 2 Disember, saya mula berasa tidak sedap badan. Saya telan panadol, kebah sebentar, kemudian demam balik. Malam Sabtu adalah kemuncak demam saya. Sejuk yang menikam hingga ke tulang hitam, saya menggigil dan tidak dapat tidur lena. Terjaga pagi hari, tekak saya perit amat. Suami belikan nasi goreng dan mihun, saya cuma makan dua sudu sahaja. Itu pun kerana takut perut terlalu kosong. Makanan yang ditelan tiada rasa langsung. Semua tawar. Hidung tersumbat dan tidak dapat menghidu. Tekak perit dan pedih. Saya terlantar seharian. Jam 4.30 petang, suami temankan saya ke klinik. Doktor berikan panadol, antibiotik, ubat selesema dan multivitamin. Ubat batuk sudah habis di klinik Tabung Haji! Dua, tiga hari seterusnya saya masih tidak mampu bergerak banyak dan tidak lalu makan. Kebetulan saya uzur, maka tidaklah perlu saya keluar ke masjid.

Sehinggalah hari Isnin 6 Disember, iaitu hari terakhir saya di Mekah. Saya berdoa agar uzur saya segera selesai kerana saya ingin sekali bersolat dan bertawaf di masjidilharam sebelum pulang ke Malaysia. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana terkilannya saya jika tidak dapat ke sana.

Alhamdulillah, Allah mengizinkannya. Saya suci pada waktu maghrib dan sempat bersolat di masjidilharam sebelum bertawaf wada’ bersama suami. Syukur sungguh rasanya kerana diberi Allah kesempatan itu. Demam saya sudah baik sedikit, walaupun badan masih lemah.

Kami keluar ke masjid untuk tawaf wada’ pada jam 11.00 malam. Tiba di masjid, saya solat sunat tetapi tidak sempat lama kerana tiba-tiba perut saya memulas. Bukan sekali bahkan berkali-kali. Terpaksalah suami saya berulang alik temankan saya ke tandas. Dua kali kami ke sana, perut saya masih belum lega. Akhirnya saya tawakkal untuk meneruskan tawaf walaupun kesakitan. Kasihan suami saya yang terpaksa melayan karenah saya tetapi dia sangat sabar, sedikit pun tidak merungut walaupun berulang alik ke tandas itu bukanlah dekat!

Jam 12.35 malam kami mulakan tawaf kami. Alhamdulillah perut saya tidak sakit lagi dan kami selesai tawaf dalam tempoh 25 minit sahaja kerana orang tidak seramai mana. Sayu di hati kerana ini tawaf terakhir kami buat musim ini. Jam 1 pagi kami berjalan pulang ke hotel. Di hotel perut saya kembali memulas!
Jam 2.30 pagi kami turun ke lobi dan menaiki bas untuk ke Jeddah. Jam 3.00 pagi bas bertolak, dan air mata saya bercucuran lagi. Selamat tinggal Mekah. Saya akan merinduimu… semoga nanti saya punya kesempatan untuk kembali menyusurimu. Tunggulah saya!!

Kami kemudian tiba di Madinatul Hujjaj, Jeddah pada jam 5.00 pagi. Kami berehat di sana sehingga dibawa ke airport pada 8.30 malam, dan bertolak ke Malaysia pada jam 1.30 pagi Rabu 8 Disember.

Dalam pesawat, saya sangat tidak selesa. Batuk yang tidak henti-henti, ditambah dengan kepala yang sakit dan demam yang masih bersisa. Lapan jam setengah terasa sangat lama. Pun saya cuba bersabar dan bertahan. Ini ujian buat saya.

Hari ini, sudah sembilan hari saya pulang ke Malaysia. Dua, tiga hari pertama saya masih lagi penat dan lemah. Jiran, rakan dan saudara pula ramai yang datang bertandang, menziarah kami yang baru pulang ini. Biasalah itu, mengambil berkat kata mereka. Kami terima dengan hati terbuka dan menghulur pula sedikit buah tangan sebelum mereka pulang, sebagai kenang-kenangan. Bukan apa pun, sehelai sejadah atau sebiji kopiah sahaja.

Apabila tiada tetamu, saya terbaring lesu. Badan terasa penat dan tekak sakit. Suami ajak ke klinik tetapi saya tidak mahu. Saya cuma minta dia belikan ubat batuk sahaja. Batuk saya sangat teruk. Belum pernah dalam hidup saya mengalami batuk sebegini. Rasa sakit sampai ke kepala. Mujurlah sekarang sudah semakin berkurangan.

Alhamdulillah, saya hari ini sudah semakin sihat. Rumah pun sudah dikemas sekadar termampu. Tetamu yang berkunjung sudah berkurangan. Saya rasa ingin berehat di tempat peranginan pula. Insya Allah esok, Sabtu 18 Disember saya dan suami akan bertolak ke Tanjung Jara, Dungun dan berehat di sana barang semalam dua.
Semoga pulang nanti saya mendapat semangat baru untuk meneruskan rutin kehidupan.

Thursday, December 16, 2010

Manusia Berubah

Dulu lain, sekarang lain. Tidak perlu sebab, tidak perlu punca, manusia boleh berubah bila-bila masa.

Berubah itu biasa. Semua perkara di dalam dunia ini tidak akan dapat lari dari perubahan. Baik manusia, bangunan, pokok-pokok atau apa saja. Semua berubah. Cuma yang berbeza ialah perubahan itu. Ada yang negatif menjadi positif, ada pula sebaliknya.

Saya merenung diri saya. Saya yang dulu berbeza dengan saya yang sekarang. Dulu saya simple dan kurang berfikir sebelum bertindak. Dulu saya buat perkara yang saya ingin buat tanpa berfikir panjang. Dulu saya hanya fikir diri saya, jarang fikir orang lain.

Sekarang? Sekarang saya ingin berubah. Saya mahu menjadi saya yang lebih baik. Saya yang lebih berwaspada dalam segenap hal. Saya yang mendahulukan niat yang baik, saya yang ikhlas dan saya yang sentiasa bersangka baik pada semua orang. Insya Allah, saya akan cuba menjadi sebegitu demi masa depan dan akhirat.

Apabila saya melihat manusia lain berubah, saya tidak layak menghakimi mereka. Walaupun ada waktunya saya tertanya-tanya juga, "eh! Dulu dia tidak begitu, kenapa sekarang jadi begini?" tetapi biarlah ia menjadi rahsia Tuhan.

Manusia berubah. Saya juga berubah.

Wednesday, December 15, 2010

Tabung Haji vs Pakej Swasta

Awalnya dahulu, kami berhasrat untuk menunaikan haji melalui pakej swasta. Kata orang, ia lebih selesa dan banyak kemudahan berbanding pakej Muassasah. Tetapi apabila nama kami terpilih sebagai jemaah haji 1431H, kami mula berkira-kira. Ditambah lagi dengan kata-kata pegawai TH yang berurusan dengan kami, "Dah terpilih ni tak payahlah ikut pakej ya.."

Kebanyakan jemaah yang ke Mekah melalui pakej swasta adalah disebabkan nama mereka belum terpilih dalam senarai jemaah haji tahun tersebut, lalu mereka menggunakan kuota pakej swasta kerana enggan menunggu lama.

Setelah berbincang, saya dan suami sepakat untuk mengambil pakej Muassasah sahaja. Rasionalnya, kami masih muda dan kuat, jika menginap jauh pun tidak terlalu membebankan. Bab makan kami tidak kisah sangat kerana boleh dibeli di mana-mana. Perbezaan harga juga menjadi salah satu sebab. Jika setakat berbeza dari empat ke lima ribu rasanya masih berbaloi. Tetapi maklumat yang kami dapat, pakej swasta termurah ialah RM18 000, berbeza RM8 000 dengan pakej Muassasah. Rasa sayang juga untuk menambah duit sebanyak itu yang apabila dikali dua, sudah menjadi RM16 000. Tidak mengapalah, kami muktamad meneruskan dengan pakej Muassasah yang cuma RM9 980 seorang.

Apabila tiba di Madinah, kami menginap di hotel yang sama dengan jemaah yang datang dengan pakej TH Travel. Apa yang membezakan kami cuma makanan. Mereka makan secara buffet di restoran hotel, kami pula mendapat makanan yang dibungkus. Rasanya itu sahaja. Bilik kami sama, jarak ke masjid juga sama.

Di Mekah barulah kami dapat rasakan perbezaan dengan jemaah pakej ini. Selain makanan, perbezaannya ialah kami ditempatkan di hotel yang agak jauh dari masjid, sekitar 700 - 800 meter. Walaupun begitu, bukan semua jemaah pakej bernasib baik kerana ada yang ditempatkan sedikit jauh dari masjid. Sebenarnya bagi orang yang masih muda dan kuat, jarak 700 - 800 meter bukanlah jauh mana. Apatah lagi bila berjalan beramai-ramai, sambil meronda kedai pula....

Di Arafah dan Mina pula, semua jemaah dilayan sama oleh pihak Muassasah. Ketika ini TH dan syarikat haji swasta tidak punya banyak peranan kerana pihak Muassasah mengambil alih. Dari khemah hinggalah makanan, kami dilayan serupa selama lima hari.

Jadi pada pandangan saya, sekiranya nama telah terpilih sebagai jemaah haji, tidak perlulah bersusah-susah mencari pakej swasta kerana dengan Tabung Haji ini pun kami tidak rasa sesukar mana. Lainlah kalau belum terpilih dan ingin segera ke Mekah, bolehlah menggunakan pakej swasta ini.

Apa yang dapat saya simpulkan, saya berpuas hati dengan apa yang saya dapat daripada pihak TH. Biasalah, ada sedikit lompang di sana sini tetapi ia berbaloi dengan apa yang kami bayar. Syabas TH, semoga kecemerlangan ini berterusan.

Original?

Setiap kali saya keluar membeli belah bersama suami di kedai-kedai di Mekah, kami sering ditanya dari negara mana. Bila kami jawab, "Malaysia", dengan dahi berkerut peniaga itu akan bertanya lagi, "Original?" Mulanya kami tidak faham apa maksudnya. Rupanya dia bertanya asal keturunan kami. Kami tetap menjawab "Malaysia" tapi ditanya lagi, "father? mother"? Hmm, dia kurang puas hati hingga mahu tahu keturunan ibu bapa kami pula! Kami tetap berkata "Malaysia". Akhirnya dia sendiri menjawab, "No, not original Malaysia. You (dituju pada suami saya) India and you (dituju pada saya pula) Pakistan!"

Sewaktu saya menunggu suami di luar kedai, seorang jemaah wanita menyapa saya, "Pakistan?" Saya senyum saja, dan menjawab, "No, Malaysia." Dia mengangguk dan menyatakan yang dia dari Libya. Hmm..

Bukan sekali atau dua kali, tetapi berkali-kali ia berlaku begitu. Aduh! Paras kami tidak kemelayuan rupanya hingga menerbitkan kekeliruan di kalangan mereka. Tak mengapalah, kami bangga dengan rupa kami ini... hahaha!!!

Tuesday, December 14, 2010

Kenangan Madinah Makkah 1431H

Madinah, sebuah bandar yang nyaman dan tenang. Kami tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan, Selasa 19/10/2010. Lama menanti urusan imigresen yang selesai pada sekitar jam 5 pagi. Seterusnya kami menaiki bas ke hotel , dan perjalanan mengambil masa hampir sejam.

Kalut juga kami mencari bilik kerana tersilap bangunan. Mujur ada petugas TH yang membantu kami menaiki lif yang betul dan alhamdulillah, akhirnya kami tiba juga di bilik kami di hotel Movenpick itu.

Lapan hari menyusur waktu di kota Madinah, rasa tidak puas. Indah sekali perasaan di sini. Aura nyaman dan tenangnya menyelinap ke segenap ruang rasa. Tiada tekanan, tiada kesukaran. Saban waktu solat kami turun ke masjid Nabawi yang hanya 50 meter dari hotel kami. Manusia memang sangat ramai. Jika kami lambat sedikit, kami terpaksa bersolat di luar masjid. Inilah pengalaman pertama saya berada dalam lautan manusia yang hampir jutaan jumlahnya.

Hari ketujuh di Madinah, kami melakukan ziarah wada’. Sayunya hati untuk meninggalkan ketenangan kota ini, meninggalkan Raudhah dan Makam Rasulullah. Doa tidak putus-putus dipanjatkan pada ilahi agar memberi lagi ruang dan peluang buat saya untuk ke mari suatu hari nanti.

Rabu, 27/10/2010 jam 8.45 pagi, bas kami bergerak ke Mekah. Selamat tinggal Madinah. Semoga kita bertemu lagi. Kami berihram umrah hari ini kerana kami bakal melaksanakan haji tamattu’.

Jam 5.30 petang, kami tiba di kota Mekah. Kota yang menggamit pelbagai rasa. Menginap di Abraj Reman mulanya mendatangkan sedikit rasa janggal di hati namun kami cuba menyesuaikan diri dan redha dengan ketetapan ini. Lama-lama kami betah juga.

Jam 8.30 malam, taklimat tawaf di lobi oleh petugas TH dan kami dibawa oleh mutawwif ke masjidilharam untuk menyelesaikan tawaf, saie dan bercukur. Jarak 750m bukanlah jauh mana, rasanya sedang-sedang elok buat saya. Hanya 15 minit berjalan kaki.
Kali pertama memasuki masjidilharam melalui pintu Bani Syaibah (Babussalam) dan dibawa ke dataran ka’abah menerbitkan rasa sayu yang tidak terucap. Demi terpandang Ka’abah di depan mata, air mata tanpa dipaksa mengalir di pipi. Ya Allah! Betapa kukagumi kebesaran-Mu dan kusyukuri rahmat-Mu…

Kami bertawaf, bersaie dan bergunting. Selesailah umrah wajib kami sekitar jam 11.30 malam. Alhamdulillah.

Hari-hari seterusnya kami lalui dengan rutin yang serupa. Bersolat di masjidilharam lima waktu sehari. Subuh kami turun jam 3.30 pagi. Zohor pula sekitar 11.00 pagi, Asar 2.30 petang dan Maghrib kami turun pada 5.00 petang dan terus tunggu Isya’. Kami tidur awal setiap malam, sekitar jam 9.00 malam.

Hari wukuf jatuh pada 15/11/2010 iaitu hari Isnin. Kami ke Arafah pada Ahad 14/11/2010 jam 12.15 tengah hari dan tiba sekitar jam 2.00. Berada dalam khemah Arafah sememangnya satu pengalaman yang manis. Alhamdulillah tiada sebarang kesulitan yang timbul dan kami dapat melaksanakan ibadah wukuf dengan lancar.

Sebaik selesai solat maghrib dan Isya’ secara jamak tamam pada malam Selasa 16/11/2010, kami bertolak ke Muzdalifah. Waktu inilah saya mula rasa sakit tekak dan batuk. Di Muzdalifah kami Cuma berehat dan mengutip batu. Jam 1.30 pagi, bas tiba untuk membawa kami ke Mina pula.

Kami tiba di Mina pada jam 3.00 pagi dan dibawa melontar Jamrah Kubra pada jam 4.00 pagi. Walaupun penat, kami gagahi jua untuk berjalan kaki sejauh 6km pergi balik. Memang mencabar tetapi ia pengalaman bermakna. Jam 6.00 pagi kami tiba di khemah semula.

Tiga hari seterusnya, kami berulang alik dari khemah ke jamrah setiap hari untuk menyempurnakan lontaran. Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan rukun dan wajib haji dengan lancar, walaupun kesihatan sudah mula goyah. Batuk saya makin teruk, sehingga sakit kepala dan badan. Suami pula mula demam dan tidak lalu makan. Kami terima ujian ini dengan penuh kesyukuran kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Hari Jumaat 19/11/2010 kami pulang ke Mekah dan tiba di hotel sekitar jam 12.30 tengah hari. Kami selesaikan ibadah tawaf dan saie pada jam 2.00 pagi Sabtu 20/11/2010. Alhamdulillah, sempurnalah haji kami tahun ini dan semoga Allah menerima haji kami ini.

Sementara menanti hari pulang ke Malaysia, kami teruskan rutin kami bersolat di masjidilharam, berumrah dan bertawaf sunat. Sehinggalah hari terakhir kami di bumi Mekah, iaitu Isnin 6/12/2010 kami melakukan tawaf wada’. Jam 3.00 pagi 7/12/2010 kami menaiki bas ke Jeddah dan berehat di Madinatul Hujjaj sehinggalah kami dibawa ke lapangan terbang Jeddah pada 8.30 malam tersebut. Penerbangan kami berlepas pada 1.30 pagi 8/12/2010 dan kami selamat tiba di lapangan terbang Kuala Terengganu pada 2.56 petang, hari yang sama.