Friday, February 19, 2010

Demam...

Pagi Isnin 15/2 emak telefon ajak temankan dia ke rumah mentua Husna di Pengkalan Chepa. Kebetulan tiada apa-apa program, maka saya pun ok saja. Jam 10.30 emak sampai di rumah (dengan kereta Muhammad) dan kami pun bertolak ke sana.

Jam 12 lebih kami pulang. Saya singgah rumah emak dulu untuk ambil laptop yang tertinggal malam tadi dan menelefon suami minta dia datang jemput saya dari rumah emak.

Sampai rumah, saya masak untuk makan tengah hari. Menunya cuma hati lembu goreng, sayur bayam goreng dan sambal. Lepas makan tengah hari saya rasa penat sangat. Saya masuk bilik, hidupkan aircond dan baring hingga tertidur. Tiba-tiba saya rasa sejuk yang luar biasa. Menggigil dan tak selesa. Badan rasa lemah dan sakit-sakit. Sahlah saya sudah kena demam! Segera saya matikan air cond dan capai selimut untuk menutup badan yang kesejukan mengharapkan peluh akan keluar dan demam saya baik.

Malangnya sejuk saya makin menggila dan badan makin panas. Suami ajak ke klinik tapi saya tak larat benar nak bergerak. Maka saya telan je panadol dua biji dan teruskan meringkuk dalam selimut. Kebetulan saya uzur maka saya teruskan tidur hingga maghrib. Bukan lena sangat pun, tapi tidak punya upaya untuk buat kerja lain...

Mujurlah suami saya ada jemputan tahlil malam ini jaid saya tidak perlu sediakan makan malam. Saya cuma makan nasi yang masih berbaki dengan lauk tengah hari tadi.

Siksa juga demam-demam begini. Harap tidak berpanjangan.

Pagi Selasa 16/2, saya masih demam lagi. Tetapi mengingatkan saya sudah berjanji untuk menemani kawan saya Mahani ke JPN KB, saya gagahkan juga diri ke sana. Kasihan dia, suaminya sakit mengejut dan dia terpaksa menguruskan suami dan lima orang anaknya sendiri-sendiri. Mujur juga permohonan tukarnya ke Kelantan diluluskan jadi tidak lagi perlu berulang-alik dari Perak.

Lama juga berurusan di sana kerana kesnya agak rumit. Hampir 4 petang baru saya tiba di rumah dan terus menghempaskan badan ke katil! Memang lemah sungguh rasanya.

Rabu 17/2, saya ke sekolah. Sangka saya demam saya dah ok sedikit, rupanya tidak. Kepala mula berdenyut-denyut kuat, dan tekak bagai tak mahu makan. Rasa nak muntah. Saya kuatkan diri mengajar di Tingkatan 5 IBN, tetapi Tingkatan 4 IBS saya arahkan mereka ke perpustakaan. 5 IBS pula saya cuma beri soalan latihan. Bimbang perut masuk angin, jam 12.00 tengah hari saya makan nasi sedikit di kantin. Jam 2.30 petang pulang ke rumah.

Saya rasa tidak larat untuk ke sekolah besok. Saya maklumkan kepada suami saya akan mc saja dan ingin berehat di rumah ma. Dia izinkan dan saya rasa lega sedikit apabila berada di rumah ma. Petang kami ke klinik ambil ubat.

Hari ini, 19/2, alhamdulillah saya sudah sihat.


No comments:

Post a Comment