Wednesday, February 10, 2010

Realiti kehidupan ini

Setiap dari kita punya jalan cerita sendiri. Ada suka dalam duka. Ada sengsara dalam bahagia. Lahir sahaja kita ke dunia ini kita telah dijanjikan dengan pelbagai cabaran dalam liku perjalanan. Bekalan kita ialah iman. Jika iman kita teguh, insya Allah tidak akan gelincir dari landasan yang telah ditetapkan.

Cuma ada waktu-waktunya kita menghitung payah dalam sendu pilu. Kita menempuh ujian dalam tangis hiba. Ah! Kerana kita hanya manusia yang memiliki senipis ketabahan dan serapuh kesabaran. Kita berpaut pada takdir tanpa mahu memanjat doa. Sedang janji Allah amat nyata, doa ialah senjata.

Tanyalah manusia mana yang hidupnya sentiasa diwarnai bahagia? Carilah insan mana yang umurnya sentiasa dipenuhi sengsara? Allah maha adil lagi bijaksana. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Jika ujian bertimpa, itu anugerah. Itu hadiah daripada-Nya untuk menjadikan kita tabah. Itu petanda Allah kasihkan kita, hamba-Nya. Cuma kita, ada waktu lalai dari mengingatinya.

Sesungguhnya Allah tidak akan mungkiri janji.

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
yang memberatkan punggungmu?
Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
al-insyirah (94:1-8)


No comments:

Post a Comment