Sunday, February 07, 2010

Saya akan merinduimu...


Gambar ini dirakamkan pada petang Khamis, 8hb Oktober 2009. Habis sekolah saya balik rumah ma sebab suami saya tidak dapat menjemput saya (dia bertugas sebagai pengawas PMR). Apabila tiba di rumah ma, jam sudah hampir 4 petang dan saya tergesa-gesa untuk solat Zohor. Rupanya Mo' ma' ada di rumah ma. Dia baru pulang dari temujanji di HUSM, dan suaminya menghantar dia ke rumah ma sementara suaminya ke Machang atas urusan tugas. Husna ada di rumah waktu ini, dan Sufi baru berusia 9 hari.

Ma masak nasi lauk ikan bakar untuk Mo' ma'. Mo' ma' kata selera makannya baik walaupun kesihatannya agak merosot. Banyak juga kami berbual, dan dia bercerita pengalamannya menjadi ibu dan juga menyusukan anak kepada Husna yang agak bermasalah dalam menyusukan Sufi.

Semasa dia membelek-belek album gambar lama, dia terjumpa dua keping gambar anaknya Reda (mulanya dia menyangka gambar Nabil waktu kecil) yang dirakam pada 1999. Saya maklumkan gambar itu diambil pada majlis perkahwinan Aziah dan saya beri kedua-dua gambar itu padanya. Dia cuma ambil sekeping sahaja, dan meminta saya simpan sekeping lagi.

Selepas solat Asar, suaminya (Ayah Su) sampai dan mengambilnya pulang.

Seingat saya, Mo' ma' sentiasa mencari ruang untuk datang ke rumah ma. Dia memang sangat rapat dengan kami dan saya menyimpan terlalu banyak kenangan dengannya. Sejak dia remaja, saya sudah mengenali latar warna hidupnya, sudah memahami tingkah laku dan fikrahnya. Dia wanita istimewa yang Allah anugerahkan dalam hidup saya. Selain ma, dialah yang menjadi inspirasi saya.

Kini dia telah tiada. Saya tetap akan bawa kenangan di sisinya sampai bila-bila. Dingin dahinya waktu saya kucup, mudah-mudahan sedingin itulah persemadiannya. Penuh lapang dan indah bercahaya.

Selamat bersemadi Mo' ma'. Saya akan merinduimu....

No comments:

Post a Comment