Sunday, February 21, 2010

Hari sukan sekolah

Minggu ini saya akan berpenatan menguruskan acara-acara sukan yang sedang rancak berjalan di sekolah dan kemuncaknya ialah pada Khamis 25/02 ini. Setiap hari sukantara dan sukan terdahulu akan berlangsung pada jam 3.15 hingga 5.30.

Bercerita tentang sukan, saya punya pengalaman yang agak tawar dan tidak begitu memberangsangkan jasmani. Entah mengapa sejak sekolah rendah lagi saya tidak minat bersukan. Saya tidak tahu pun main bola jaring, apatah lagi sukan-sukan lain. Acara olahraga usah ceritalah. Saya cuma minat menonton dan menjadi tukang sorak. Saya seronok menjerit-jerit di tepi gelanggang dan ada waktunya menyanyi lagu pasukan kami. Memang seronok habis terutama jika pasukan saya menang.

Sewaktu sekolah rendah, saya tidak pernah merasai hari sukan sekolah kerana waktu itu sekolah kampung seperti sekolah saya tidak pernah menganjurkan hari sukan yang besar. Tetapi apabila bersekolah menengah, saya mula mengalaminya. Saya ingat lagi, ada empat rumah sukan di sekolah saya, Pluto (merah), Zurah (hijau), Jupiter (biru) dan Marikh (kuning). Saya diletakkan di rumah Pluto.

Pelajar-pelajar yang tidak menyertai sebarang acara sukan akan diarahkan menyertai perbarisan rumah. Oh ya, sukan di sekolah saya berlangsung sewaktu term-break seminggu, yang mana pelajar tidak dibenarkan pulang sebaliknya menjalani aktiviti sukan dan ko-kurikulum selama seminggu tersebut. Memang hitam legam kami waktu itu. Dari pagi sampai petang semua aktiviti berlangsung di padang. Tiada kelas, cuma aktiviti sepenuh masa.

Seperti biasa saya tidak menyertai apa-apa acara sukan maka tentunya terpaksa merelakan diri menyertai perbarisan. Maka jadilah saya peserta perbarisan dari tingkatan satu hingga empat. Sewaktu tingkatan lima, saya terlibat sebagai AJK menghias khemah jadi tidak perlu berbaris lagi.

Sukan di sekolah saya memang sentiasa meriah. Saya seronok kerana gemarkan warna warni dan keriuhannya. Segala urusan rumah sukan terpikul di bahu pelajar sepenuhnya, penglibatan guru hampir tiada. Kami memang berdikari, latihan perbarisan kami urus sendiri, hiasan khemah idea kami sendiri, malah makan minum kami juga guru tak perlu susah hati - semua ada di dewan makan! Urusan atlit, khemah, perbarisan semuanya diuruskan oleh AJK yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima. Guru hanya pegawai kejohanan yang memantau segala persiapan kami dan sesekali menjadi tempat rujukan kami.

Malangnya apabila menjadi guru sekolah harian, saya nampak suasana yang berbeza. Hari sukan menjadi beban guru yang tidak berkesudahan. Guru kena cari atlit, guru kena sedia makan dan minum pelajar, guru kena cari bahan hias khemah dan guru jugalah pegawai kejohanan. Sungguh penat. Tetapi apa nak buat, itu sudah jadi budayanya. Guru wajib redha...

No comments:

Post a Comment