Sunday, July 31, 2011

Ingin Cemerlang di sisi Ramadan

Tiap ibadah yang disyariatkan Allah kepada umat manusia pasti mengandung makna. Termasuk makna yang dimaksud adalah manfaat yang kembali kepada orang yang melakukannya, secara langsung atau pun tidak langsung, baik di dunia mahupun di akhirat.

Puasa merupakan salah satu dasar ajaran agama Islam. Sebagaimana disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi:

"Dirikanlah Islam itu atas lima dasar, mengakui bahwa tiada Tuhan kecuali Allah SWT, Muhammad itu Rasul Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan ibadah haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan." (HR.Bukhari dan Muslim)

Ertinya, keberadaan puasa disejajarkan dengan syahadat, solat, zakat, dan haji. Suatu hari seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Umamah bercerita:

"Aku datang kepada Rasulullah lalu mengatakan, 'Suruhlah aku mengerjakan sesuatu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.' Nabi bersabda, 'Tetaplah engkau berpuasa, kerana puasa itu tiada bandingannya.' Kemudian pada waktu yang lain aku mendatangi baginda lagi (untuk menanyakan hal yang sama), maka baginda bersabda, 'Tetaplah engkau berpuasa." (HR. Ahmad, Nasa'i, dan Hakim)

Bahkan Rasulullah menunjukkan sebuah janji yang pasti dari Allah tentang pintu masuk syurga khusus bagi orang yang melakukan puasa.

"Sesungguhnya di dalam syurga itu ada pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Pada hari kiamat diserukan dari pintu itu, 'Dimana orang-orang yang berpuasa?' apabila mereka semuanya telah masuk, maka pintu itu pun ditutup kembali." (HR. Bukhari dan Muslim)

Selain itu, orang yang berpuasa mendapat keistimewaan kerana Allah SWT sendiri yang mengganjarnya dengan balasan kebaikan tanpa hitung-hitungan sebagaimana ibadah yang lain.

Rasulullah S'AW bersabda:

Allah SWT berfirman: 'Semua amal perbuatan Bani Adam untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan kerana itu Akulah yang langsung membalasnya.'

Puasa itu ibarat perisai yang dengannya seorang hamba berlindung dari api neraka. Pada saat puasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor, tidak sopan, dan tidak enak didengar, dan jangan pula bertelagah dan bertengkar. Jika di antara kalian ada yang memaki atau mengajak berkelahi, hendaknya dikatakan kepadanya, 'Sesungguhnya aku sedang puasa.'"

Selanjutnya Nabi bersabda, "Demi Allah yang diri Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa tersedia dua kegembiraan, gembira ketika berbuka puasa dan gembira ketika kelak menemui Allah kerana menerima pahala puasanya." (HR. Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban).

Manfaat yang diperoleh daripada puasa tidak saja 'mendapat sesuatu' tetapi juga 'terhindar dari sesuatu.'

"Tiadalah berpuasa seseorang hamba pada suatu hari di jalan Allah, melainkan Allah menjauhkan neraka dari mukanya selama tujuh puluh tahun karena puasa hari itu." (HR. al-Jama'ah dari Abu Sa'id).

Selain mendapatkan syurga dan terhindar dari neraka, ibadah puasa juga istimewa kerana dapat menjadi pembersih bagi segala dosa dan penyakit tubuh. Rasulullah bersabda:

"Tiap-tiap sesuatu itu ada pembersihnya, dan pembersih badan (jasad) adalah puasa." (HR. Ibnu Majah).

Manfaat lain dari puasa adalah doa orang yang berpuasa pasti dikabulkan Allah. Untuk itu, ketika sedang berpuasa, banyak-banyaklah berdoa. "Tiga kelompok yang tidak akan ditolak doanya: orang yang berpuasa hingga ia berbuka, imam yang adil, dan orang yang dizalimi". (HR. Ahmad dan Tirmidzi).

Saturday, July 30, 2011

Sedang Sendiri

Saat ini saya sedang bersendirian di kamar. Suami saya bersama sahabat-sahabatnya melancong ke Sabah sejak Khamis lagi. Malam ini pulanglah dia, insya Allah sekitar jam 10.15 dia akan tiba di lapangan terbang, dan sekitar 11.00 malam akan sampailah di rumah ini.

Saya tidak kisah ditinggalkan. Apa hak saya menyekat dia untuk bersama-sama kawannya, kan? Lagi pun, saya dapat bersantai-santaian juga di sisi keluarga saya.

Khamis lalu, dia menghantar saya ke rumah emak pada jam 12 tengah hari. Saya seronok juga, dapat berehat dari tugas suri rumah untuk sehari dua...:-) Jam 3.30 petang hari yang sama saya keluar ke Wakaf Che Yeh dengan emak dan Aziah dan Zahidah. Sufi dan Muiz turut memeriahkan suasana. Malamya pula, bersantai lagi menonton filem "Sekali Lagi" di Astro First. Bolasepak antara Malaysia dan Singapura tidak menarik minat saya kerana saya sudah menjangkakan sebuah kekecewaan.

Apabila Jumaat tiba, saya keluar lagi. Kali ini dengan adik Ismah dan Zahidah. Kami ke Wakaf Che Yeh, ke Salem Aziz, Muda Osman dan ke DZ. Shopping lagi... Makan tengah hari pun kami beli je, malas betul!!

Petang, saya dan emak bertandang ke rumah mek. Sekadar singgah bertanya khabar dan berbual-bual. Ada Kak Zan, Kak Ini dan anak-anak mereka di rumah mek. Rupa-rupanya ada rezeki lagi, bila Kak Zan memberi nasi dan lauk kepada kami untuk makan malam. Selamat lagi dari memasak!

Hari ini, pagi-pagi lagi saya ke sekolah (dihantar Ismah) untuk hadir ke seminar kecemerlangan SPM. Jam 12.00 saya balik (dihantar kawan), Ismah dan Zahidah pula sedang dalam perjalanan pulang dari menghantar emak ke Rantau Panjang. Emak balik kampung untuk menyambut puasa di sana. Hmm, makan tengah hari tentunya beli di kedai lagi!

Selepas Asar, Ismah dan Zahidah menghantar saya pulang ke rumah, dan mereka pula menuju ke Balai Islam untuk menghadiri program di sana.

Sekarang, saya sedang sendiri menanti suami saya pulang. Semoga semuanya selamat......

Sekuntum Mawar di alam Maya

"Mood saya sejak akhir2 ini agak merundum... sangat mungkin!
selalu je rasa hiba, rasa kurang keyakinan, kurang motivasi..

Lihat saja entri saya beberapa minggu ini..
gaya bahasa seperti sama selepas kejadian tragis itu..
entahla..
kenapa ya?

Kadang2 saya rasa berputus asa dengan dunia..
rasa sakit nak bangun...
namun, ku gagah juga untuk anakanda berdua itu..
Embun si penyejuk mata, Kekwa si penghibur duka..

Tiap hari, bangun teruskan hidup..
buat kerja routine.. sbg ibu.. sbg anak...

hari-hari memikirkan hari esok..
kadang2 rasa letih untuk berfikir..
memikirkan hal yang belum settle lagi.. (kereta masih di gudang.. ah, banyaknya procedure)

Bila bangun juga, fikirkan kehidupan dunia..
terlalu banyak yang menakutkan.. lihat saja berita, penuh dengan cerita2 manusia hilang perikemanusiaan,
manusia hilang maruah, manusia hilang hak bersuara.. (ops!)..
fikir pula masa depan anak2..
aduh! sakit sungguh hati dan akal memikirkannya!

Fikir mahu mati saja?
Ah, cukupkah amalan ku? baik sangat ke nak mati awal?

Terus sajalah hidup selagi diberi hidup..
cuma nikmat kehidupan dunia kini sudah semakin tawar bagiku..
adakah rasa yang aku rasakan sekarang ini nikmat?
membenci dunia, mengharapkan akhirat?

bingung!

sahabat, bantulah aku,

jika kamu sahabatku, yang membaca luahan ini, berilah aku sedikit kata-kata supaya aku mampu terus berjalan di dunia ini dengan senyuman dan harapan.. supaya kehidupanku seimbang.. dunia dan akhirat..."

Saya membaca blognya, tetapi saya tahu dia tidak membaca blog saya. Kenapa saya membaca blognya? Kerana saya ingin menumpang semangat dan kekuatan miliknya.

Dia seorang ibu muda, lebih tepat lagi ibu tunggal muda. Belum pun mencapai 26 tahun, dia terpaksa menerima hakikat cinta hatinya dijemput pulang ke sisi Ilahi. Tinggallah dia, bersama dua orang puteri kecil yang belum mengerti apa-apa. Tinggallah dia menerajui hidup, menempuh dugaan, memikir masa depan sendiri-sendiri. Alangkah kuatnya dia, sekuntum Mawar di tengah belukar nan penuh duri...

Buat Mawar, walaupun kita tidak pernah saling mengenali, namun terasa bagai saya terlalu dekat dengan Mawar. Mengikuti kisah Mawar di blog Mawar sering meninggalkan rasa yang mendalam di sudut hati saya. Walaupun saya tidak melalui kesedihan seperti yang Mawar lalui, tetapi saya bagai dapat merasainya. Bagai dapat menyelami segala pahit getir dan keluh kesah dalam diri Mawar.

Saya doakan agar Allah melindungi Mawar dan anak-anak, menunjuk jalan tatkala Mawar kebuntuan, memberi kekuatan saat Mawar terasa lemah. Saya tidak pandai memberi nasihat, sekadar mengongsi rasa dan mendoakan yang baik-baik buat Mawar dan keluarga.

Tabahlah Mawar...

Berbelanja


Ada waktu-waktunya saya bagai terlalu mengikut nafsu. Berbelanja tanpa hemah, pada hal ia bukanlah satu keperluan. Sekadar berkenan pada rupanya yang indah, saya tega membayar tunai untuk barang yang hanya berfungsi sebagai perhiasan.

Setelah memiliki, timbul juga sesalan tetapi tidak mungkin ia dikembalikan kepada penjual. Aduhai, apa yang saya buat ini? Mengapa semudah itu mengikut kata hati? Jika setakat puluhan ringgit mungkin tidak terlalu menggores perasaan. Ini ribuan, tentu banyak lagi perkara lain dapat saya selesaikan dengan wang sejumlah itu...

Namun, kata orang dulu-dulu yang sangat banyak benarnya, menyesal tidak berguna.

Saya tidak ingin menyesal. Tidak mengapalah, kerana ia telah berlaku. Selepas ini saya akan pastikan untuk lebih berhati-hati dan berfikir sebelum bertindak. Wang walaupun banyak, biarlah dilaburkan pada sesuatu yang ada manfaat. Bukan sekadar mengikut kehendak dan trend semasa. Cukuplah satu ini. Ya.. sekali ini sahaja.

Friday, July 29, 2011

Sekali Lagi (Astro First)

Lama dah tau pasal Astro First ini tapi tak pernah ambil kisah. Belakangan ini filem-filem Melayu gagal membuka keinginan saya untuk menonton. Entah, mungkin saya sedikit sombong tetapi kenyataannya begitu.

Semalam, di rumah emak, adik saya menyuarakan keinginan untuk menonton filem "Sekali Lagi" lakonan Lisa Surihani dan Shaheizy Sam, arahan Hashim Rejab. Hmm, apa salahnya saya mengsmbil peluang menonton filem ini sekeluarga. Dengan RM15.00 cuma, kami boleh menonton berkali-kali dalam masa 48 jam, beramai-ramai. Jimat juga tu. Jam 6.38 petang, saya menerima SMS Astro yang meluluskan pembelian saya di Astro First.

Maka menontonlah kami.

Ceritanya ringkas tetapi manis dan adakala menyentuh hati. Subjek utama tumpuan saya tentunya Amy lakonan Mia Sara Nasuha yang begitu cute sekali. Pelakon-pelakon lain juga tidak kurang hebatnya. Penutup yang berbeza, mengundang rasa puas menonton kisah ini. Bukanlah terlalu sempurna, tetapi tetap menghiburkan.

Selepas ini nak order filem apa pula ya?



Wednesday, July 27, 2011

Sehari Selepas Kenduri

24hb Julai 2011

Penat. Betis dan kaki berdenyut-denyut. Mata mengantuk.

Itu yang saya rasa, tetapi jauh di sudut hati terpahat perasaan lega yang amat sangat. Jika sebelum kenduri baru-baru ini fikiran saya sentiasa risau dan bimbang, takut jika apa yang dirancang tidak menjadi tetapi hari ini saya lega sungguh, walaupun penat.

Seawal pagi saya bangun menyediakan sarapan nasi goreng dan teh o panas. Selesai menjamu selera bersama suami dan mek, saya memandang persekitaran yang begitu bersepah dan kelam kabut. Segala periuk, kuali, besen, pinggan mangkuk tidak terurus di ruang dapur saya. Di ruang tengah pula, beratus-ratus kilo gula, bertin-tin biskut dari pelbagai jenama bergelimpangan di sana sini. Cukup menyerabutkan pandangan, tapi upaya saya sangat minimum untuk menguruskan semua itu! Saya sangat penat. Sakit juga.

Apabila terpandang DBT8146 membelok masuk ke halaman rumah, saya menarik nafas bahagia. Oh emak dan adik-adikku! Aku sangat perlukan kamu!

Emak, Ismah dan Zahidah are always there for me... Thanks a million my dear! Lalu tanpa sebarang lengah, mereka memulakan operasi. Sejam kemudian, suasana agak terurus dan mereka bersedia untuk pulang. Saya pula bersedia untuk mencampakkan diri di atas katil, meminta sedikit lena!

Hampir tengah hari, saat Mek mengira dan menyusun segala gula dan biskut, saya menyusun dan mengatur segala periuk dan besen di dapur. Suami pula menguruskan bayaran bahan-bahan kenduri, dan membeli nasi untuk santapan tengah hari.

Hmmm, memang saya lega. Penat biarlah, asal hati tenang dan tenteram. Mujur Pengetua mengizinkan saya bercuti hari ini, sekurang-kurangnya saya dapat mengemas apa yang patut.

4.30 petang, khemah dibuka dan diambil pulang oleh tuannya. Saya membasuh beranda rumah, sementara suami menghantar Mek pulang. Hujan turun lagi, kali ini memberi suasana sejuk dan nyaman buat saya yang kepenatan.

Hari Kenduri

23hb Julai 2011

Usai solat subuh, saya menggosok pakaian untuk dipakai hari ini. Suami berbaju melayu biru gelap, berseluar hitam dan berkopiah. Saya pula dengan imej biasa, berbaju kurung dan bertudung bawal biru laut.

Jam 7.00 pagi, saya ke dapur menyediakan bihun goreng, sebanyak dua bungkus. Daging yang kami tempah dihantar pada jam 7.15. Betapa ramainya rakan dan jiran lelaki datang membantu menyiang dan memotong daging. Kata suami, sekitar 40 orang. Emak dan adik-adik saya tiba tidak lama kemudian. Turut sama membantu tentunya adik beradik suami - Kak Zan, Kak Ini, Kak Imah dan anak-anak mereka yang begitu setia dan tekun serta sangat memberi inspirasi dalam memastikan kelancaran kenduri pertama kami ini. Mek (mertua) juga tidak ketinggalan memberi sumbangan.

Dek kerana ramainya orang, maka lima bungkus lagi bihun digoreng oleh pakar goreng bihun - Ismah. Semuanya selamat dijamu dan tiada pembaziran berlaku.

Jurudapur-jurudapur semakin sibuk menyiapkan hidangan - daging singgang spesial, ayam goreng kunyit, ikan rebus goreng, ulam-ulaman (segar dan celur) dicecah budu, sambal dan tempoyak. Husna dan Hawari pula bermurah hati untuk berkongsi lauk kurma kambing (aqiqah Nasih) yang ditempah khusus dari caterer bertauliah yang lazatnya tidak terkira.

Jam 11.30 pagi, saya dan suami bersiap-siap untuk memulakan acara.

Khemah sudah siap dipasang sejak semalam. Meja juga sudah sedia beralas, kerusi, nasi, lauk pauk dan pinggan mangkuk telah tersusun di halaman.

Bermula dengan bacaan doa oleh Hawari tepat jam 12 tengah hari, majlis pun bermula. Tetamu pertama sudah pun tiba dan mereka dijemput menjamu selera. Maka bertebaranlah saya dan suami di halaman, melayan dan menyambut kehadiran jemputan yang tidak putus-putus sehingga ke petang. Hujan rahmat yang turun mengiringi kenduri kami tidak sedikit pun menggugat perjalanan kenduri ini.


Sekitar 7.00 petang, tetamu beransur kurang dan kami mula kepenatan.

Malam pula, ahli keluarga saya masih setia membantu mengangkat barang dan mencuci periuk dan kuali sementara tetamu masih lagi tiba bersilih ganti, membawa ke jam 11.00 malam.

Berakhir juga kenduri kami ini, tanpa sebarang cacat cela. Alhamdulillah.

Kepada semua yang membantu, terima kasih.

Emak, walaupun sering kalut tetapi tidak pernah jemu menghulur tenaga. Ismah dan Zahidah antara penggerak utama majlis ini disertai Aziah dan Husna. Terima kasih banyak-banyak. Tanpa kalian majlis ini mungkin banyak pincangnya.

Mek pula rela bermalam selama dua malam di sini bagi memastikan kami memberi komitmen yang sewajarnya. Kak Zan, Kak Ini dan Kak Imah tidak lokek menyumbang tenaga dan memberi banyak bantuan yang tidak mungkin terbalas oleh kami. Anak-anak saudara kami - Syahiran, Zulhusnie, Faris, Aiman, Afiqah, Ain, Zul dan Najmi, turut sama berkongsi rasa dan tenaga tanpa pernah jemu. Terima kasih, terima kasih, dan terima kasih!

Banyak pengalaman baru dapat kami kutip dari kenduri pertama ini, yang dapat kami gunakan pada waktu-waktu mendatang.

Terima kasih semua.

Monday, July 25, 2011

Sehari Sebelum Kenduri

22hb Julai 2011

Pagi Jumaat yang indah, hati saya penuh debaran. Bagaimana agaknya suasana kenduri saya esok. Bimbang jika tidak berjalan seperti yang diharapkan. Maklumlah, belum berpengalaman.. Persediaan pertama, saya goreng dua bungkus mi untuk hidangan para pekerja saya nanti.

Sekitar 9.00 pagi, Zahidah dan Aziah tiba, bersama-sama si kecil Muiz yang lengkap bercermin mata hitam. Segak betul jejaka ini! Mereka tiba untuk membantu saya membuat persiapan kenduri esok. Tidak lama, jurudapur-jurudapur bertauliah yang saya undang khusus untuk menyediakan menu kenduri saya pun tiba untuk memulakan proses masak memasak. Bahan-bahan telah pun kami sediakan, dengan bantuan jiran saya yang baik hati, Encik Awang namanya. Dialah yang membeli kesemua bahan-bahan dapur, berdasarkan senarai yang kami sediakan.

Emak dan Ismah pula tiba sekitar jam 10 pagi bersama kek coklat kurang gula yang lazat tidak terkata. Terima kasih Ismah ya...!

Apabila jurudapur-jurudapur itu memulakan tugas, saya mula memasak di dapur. Kali ini saya sediakan nasi goreng pula, sebagai 'back-up' kalau-kalau mi goreng tidak cukup. Pekerja-pekerja saya ni ramai - jurudapur sahaja enam orang, ditambah dengan emak dan adik-adik yang membantu, juga pemasang-pemasang khemah dan petugas-petugas am, rasanya lebih 20 orang. Zahidah si tukang mop telah selesai mengemop bahagian-bahagian tertentu dalam rumah saya, maka dia bersama-sama Ismah memulakan proses penggorengan nasi.

Aduh! Penat rupanya mengendalikan kenduri walaupun tidak sebesar mana.


Selesai menyediakan nasi goreng, kami memasak untuk makan tengah hari pula. Sup ayam, sayur goreng, ayam goreng, ulam-ulaman dan budu. Sewaktu kaum Adam bersolat Jumaat, kami berehat sebentar.

Sebelah petang, acara masak memasak diteruskan lagi. Kali ini bersila di belakang rumah, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa Malaysia, cukup mendamaikan jiwa. Santai juga ya, walaupun dalam kalut!

Sebelah malam, kami berehat sepenuhnya. Mata saya memang layu sungguh-sungguh. Tak larat nak celik. Jam 10 malam saya sudah lena, tetapi suami masih di halaman. Agaknya membersih apa yang patut.

Tiba-tiba suami kejutkan saya kerana ada tetamu datang. Aduh! Jam 11.05 malam mereka datang! Saya terpaksa bangun dan melayan mereka. Tak mengapa, saya tidak marah cuma segan sedikit kerana rupa saya memang nampak jelas baru bangun tidur...


Najah

Dia berdiri di penjuru meja, sewaktu para tetamu sedang mengambil makanan. Dia hanya diam. Matanya sesekali memerhati, tetapi lebih banyak menunduk sambil memandang jari jemari sendiri. Saya yang leka melayan tetamu, terpandang dia tiba-tiba.

Oh, baru saya teringat, dia datang dengan ayah dan saudara lelakinya. Tentu mereka menyuruh dia mengambil makanan di bahagian perempuan. Sendirian. Tetapi anak gadis yang baru berusia 9 tahun ini belum betah dengan majlis sebegini. Kerana itu dia berdiam sahaja. Benar-benar diam, kerana dia tidak mengenali sesiapa.

Saya mendekatinya. “Ambillah nasi dik!” pinta saya.
Dia menggeleng.
“Kenapa? Belum makan lagi kan?”
“Tak nak makan..” jawabnya perlahan.

Hati saya sayu tiba-tiba. Anak manja ini tidak sewajarnya berdiri sendirian di situ tanpa siapa-siapa. Anak seusia ini harusnya dilayan seorang ibu, tapi dia tidak punya!

Saya sebak, lalu meninggalkannya sebentar untuk mengambil nasi.

Saat nasi dihulur, dia menyambut tanpa suara. Ah! Wajahnya mengundang air mata saya. Dengan suara terketar-ketar, saya mengajaknya naik ke rumah. Saya memanggil adik perempuan saya untuk membawanya ke sofa dan menjaganya makan.

Saya teringat arwah ibunya. Jika Bonda Asma’ ada, tentu Amal Najah tidak sendirian begitu. Tentu dia dilayan penuh kasih sayang dan belai mesra oleh ibunya yang penyayang. Apakan daya, sekecil itu Najah sudah perlu menjalani hidup sendiri-sendiri. Anak bongsu, tentu manjanya lebih tapi siapa yang ada untuk dia? Dia masih belum mampu memahami tetapi sudah perlu melalui satu kehilangan!

Najah, dewasalah dengan penuh keperibadian, menyamai ibumu yang mulia. Semoga Allah melindungimu, di dunia dan di akhirat.

Adik Beradik Emak

Emak (Rahmah) mempunyai 9 orang adik beradik, daripada satu bapa dan tiga orang ibu. Emak lahir pada tahun 1952 dari ibu yang kedua bernama Tuan Kembang. Emak anak yang pertama, dan memiliki dua orang adik perempuan - Sharifah (1959) dan Rafeah (1962). Pada waktu itu, bapanya sudah memiliki empat orang anak dari arwah isteri pertamanya, iaitu Siti Hawa (1935), Muhammad (1937), Abu Bakar (1941) dan Mohd Yusof (1949).

Sewaktu emak berusia enam belas tahun, ibunya meninggal dunia. Bapanya menikahi seorang wanita bernama Khadijah dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Tahirah (1970) dan Kamaruddin (1972).

Pada tahun 1978, ketika berusia 72 tahun, bapa emak (Che Idris) meninggal dunia.

Inilah adik beradik emak, mengikut susunan umur.

1. Siti Hawa (1935 - 2010) - meninggal pada usia 75 tahun kerana sakit tua.
2. Muhammad (1937 - )
3. Abu Bakar (1941 - )
4. Mohd Yusof (1949 - )
5. Rahmah/emak (1952 - )
6. Sharifah (1959 - )
7. Rafeah (1962 - )
8. Tahirah (1970 - )
9. Kamaruddin (1972 - )

Adik Beradik Ayah

Ayah (Muhyiddin) mempunyai 11 orang adik beradik, daripada satu bapa dan empat orang ibu. Ayah lahir pada tahun 1944 dari ibu yang pertama bernama Halimah. Ayah anak yang ketiga, selepas dua orang abang - Muhammad (1929) dan Mahmud (1933). Pada waktu itu, bapanya memiliki seorang lagi isteri dan mempunyai tiga orang anak dari isteri tersebut iaitu Radhiah (1938), Ahmad (1941) dan Siti Hajar (1944, sebaya ayah).

Sewaktu ayah berusia enam tahun, ibunya meninggal dunia. Ayah menumpang kasih pada ibu tirinya, yang telah melahirkan dua orang lagi cahaya mata, Siti Aminah (1946) dan Latifah (1953).

Bapa ayah turut memiliki seorang anak perempuan bernama Saidah (1935) daripada isterinya yang ketiga.

Pada tahun 1957, ibu tiri ayah pula meninggal dunia. Bapa ayah seterusnya menikahi wanita dari Pasir Mas bernama Habsah, dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan - Zakiah (1960) dan Asma' (1963).

Pada tahun 1981, ketika berusia 80 tahun, bapa ayah (Mustapha @ Hj Walong) meninggal dunia. Pada tahun 1992, ibu tiri ayah (Hafsah) pula meninggal dunia.

Inilah adik beradik ayah, mengikut susunan umur.

1. Muhammad (1929 - )
2. Mahmud (1933 - 1978) - meninggal ketika sedang tidur, pada usia 45 tahun.
3. Saidah (1935 - 1988) - meninggal ketika berusia 53 tahun.
4. Radhiah (1938 - 1998) - meninggal ketika berusia 60 tahun, juga ketika tidur.
5. Ahmad (1941 - 1984) - meninggal pada usia 43 tahun, kerana serangan jantung.
6. Muhyiddin/ayah (1944 - 2000) - meninggal kerana kanser pankreas, pada usia 56 tahun.
7. Siti Hajar (1944 - )
8. Siti Aminah (1946 - )
9. Latifah (1953 - )
10. Zakiah (1960 - )
11. Asma' (1963 - 2010) Meninggal pada usia 47 tahun, kerana kanser payudara.

Tuesday, July 19, 2011

Salam Takziah dan Al Fatihah

Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut

“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:

“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:

“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:

“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘Ulama atau professional Jadi Pemimpin’ . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;

“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau ‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

(MINDA TAJDID - DR. MAZA)

*Saya bersama menangisi pemergian bonda Lo'Lo'. Benar, saya tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi saya cinta padanya atas perjuangannya yang tulus ikhlas. Semoga Allah mengurniakannya Syurga Firdaus

Tingkatan Enam

Kepada anak-anak didik saya yang terpilih melanjutkan pelajaran dalam bidang idaman masing-masing, sekalung tahniah dari saya. Doa saya, semoga kalian juga mampu meneruskan kecemerlangan di peringkat ijazah ini.

Saban tahun, selepas keputusan SPM diumumkan, ramailah anak-anak didik saya datang kepada saya bertanya pendapat. Kemana harus mereka tuju? Matrikulasikah, Diplomakah atau Tingkatan Enam?

Semua punya fikiran dan pendapat masing-masing. Saya bersuara bagi pihak saya, terpulang mereka membuat keputusan. Jika saya, ia tergantung keputusan SPM. Bagi yang cemerlang pastinya terpilih ke kursus Matrikulasi Kementerian Pendidikan atau Asasi di universiti tempatan. Bagi yang sederhana, akan menerima tawaran Diploma dalam bidang tertentu, atau Sijil di Politeknik, dan bagi yang tidak bernasib baik, tentu sekali hanya ditawarkan ke tingkatan enam.

Ya, hanya tingkatan enam.

Lalu, apabila sahabat dan saudara mara bertanya, “sekarang belajar di mana?” seringkali senyuman malu mendahului jawapan, “tingkatan enam je..”

Apa nak buat, itulah pandangan masyarakat dan mentaliti sesetengah pelajar yang memandang sepi pengajian tingkatan enam. Saya benar-benar sedih dengan kekeliruan sebegini.

Tahukah mereka, tingkatan enam adalah platform terbaik bagi memastikan tempat mereka di universiti pilihan? Berbanding Diploma dan Sijil, tingkatan enam lebih memberi jaminan ke peringkat ijazah, dengan syarat bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam STPM.

Banyak contoh yang telah saya lihat di hadapan mata. Seorang pelajar aliran sains mendapat keputusan SPM yang tidak memberangsangkan, dan natijahnya dia tidak ditawarkan apa-apa kursus pun baik peringkat diploma ataupun sijil. Memang awalnya dia sedih, tetapi cita-citanya untuk memanjat tangga menara gading tidak pernah terpadam.

Apabila namanya tersenarai sebagai pelajar Tingkatan Enam Sastera, dia menerima penuh redha. Dengan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah, Bahasa Melayu dan Pengajian Am, dia memberi tumpuan yang tidak berbelah bagi. Nyata dia sangat serasi dengan subjek-subjek tersebut dan akhirnya dia mendapat keputusan 3.85 dalam STPMnya. Muncul sebagai pelajar terbaik pula, dia telah menebus segala kekecewaan dalam SPM dua tahun lepas. Dengan kecemerlangannya itu, dia mendapat tempat di Fakulti Pendidikan di sebuah universiti tempatan yang terkemuka. Berbanding rakan-rakannya yang mendapat tempat di peringkat Diploma selepas SPM dahulu, dia telah mendahului. Dia telah melangkah ke peringkat ijazah, sedang rakan-rakannya masih bertungkus lumus menyelesaikan Diploma, dan belum tentu lagi mendapat tempat di peringkat ijazah.

Siapa yang lebih beruntung di sini?

Seorang pelajar yang lain, telah mendapat tawaran Diploma Pengurusan Pejabat selepas SPM. Dia sangat teruja untuk mengikuti kursus itu, kerana ramai rakan-rakan setingkatannya mendapat kursus yang sama. Malangnya, kakaknya melarang kerana mahu dia menyambung belajar di Tingkatan Enam. Marah sungguh dia pada kakaknya hingga tidak bertegur sapa berminggu-minggu, namun kakaknya tetap berkeras. Dia tiada pilihan kerana kakaknya umpama ibu yang menjaga dia sejak kecil. Dengan berat hati dia menolak tawaran Diploma dan menyambung belajar di Tingkatan Enam. Sayu hatinya melihat rakan-rakan bergembira belajar di universiti, sedang dia masih perlu berpakaian seragam sekolah setiap hari! Hatinya terasa ingin membawa rajuk…

Namun dia tidak merajuk lama, pelajaran tetap menjadi keutamaan kerana dia tahu, hanya dengan keputusan cemerlang dalam STPM sahaja yang akan membolehkannya melangkah kaki ke universiti idaman.

Apabila keputusan STPM diumumkan, dia berjaya cemerlang. Dengan keputusan 3.68, dia memohon Kursus Perakaunan dan permohonannya diterima. Kali ini dia mampu tersenyum lebar, dan sangat bersyukur kerana mengikut kehendak kakaknya dahulu. Jika tidak, tentu dia masih mengikuti kursus Diploma Pengurusan Pejabat yang belum tentu ke mana tujuannya selepas tamat nanti.

Jadi, apa kurangnya tingkatan enam?

Percayalah, kecemerlangan di tingkatan enam sebenarnya lebih mudah dicapai dan lebih memberi ruang untuk ke universiti. Mengapa mesti bersusah payah mengambil kursus diploma jika tingkatan enam boleh menjadi jalan pintasnya? Janganlah menidakkan peluang di hadapan mata…

Wednesday, July 13, 2011

Kenduri

Lama kami merancang, tapi tidak pernah terlaksana.

Februari 2005, kami akhirnya mendiami rumah sendiri setelah hampir enam tahun berkelana di rumah-rumah sewa. Hasrat hati, ingin membuat sedikit kenduri kesyukuran sempena mendiami rumah baru ini tetapi entah mengapa ia sering tertangguh. Ada-ada sahaja perkara yang menjadi sebab dan alasan, namun hakikatnya mungkin kebersediaan kami belum seratus peratus.

2010, apabila nama kami tersenarai sebagai jemaah haji, hasrat untuk berkenduri muncul lagi. Tetapi saya tidak mahu berkenduri sebelum ke Mekah, atas sebab-sebab tertentu. Jadi kami sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran sebaik kami pulang nanti.

Apakan daya, perancangan kami sekadar satu perancangan cuma. Allah jua penentunya. Kesihatan suami tiba-tiba merosot dan memerlukan rawatan di hospital yang agak kerap. Dari sebulan ke sebulan kami menangguhkan kenduri kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.
Alhamdulillah, suami kini makin pulih walaupun tidak seratus peratus. Kami kembali menyambung perancangan yang kerap terganggu itu dan benar-benar mahu melaksanakannya kali ini. Benar-benar mahu.

Lalu, kami memilih tarikh 23hb Julai 2011, bersamaan 21hb Syaaban 1432, hari Sabtu untuk mengadakan kenduri kesyukuran tersebut. Harapan kami agar Allah memberkati majlis ini dan memberi kemudahan dalam setiap urusan. Berdebar-debar juga, maklumlah kami tiada pengalaman. Tetapi saya mesti bersedia dalam segenap segi agar majlis ini berjalan selancar yang diharapkan.

Sesiapa yang membaca artikel ini, dan berasa punya upaya dan kemudahan untuk ke rumah saya pada hari tersebut, jemputlah datang memeriahkan majlis yang tidak seberapa ini.


Sunday, July 10, 2011

Lagu Kehidupan

Hati Yang Rapuh
(Rahimah Rahim - 1990,
dari filem Hati Bukan Kristal.
Ciptaan Ooi Eow Jin, Lirik Habsah Hassan)


Di hati kulakarkan
sebuah impian
yang aku namakan harapan
Apabila kutentukan
arah serta tujuan
rela kuhadapai cabaran.

Jalan ke puncak itu
beronak dan berliku
menyukarkan pendakianku
namun tetap kugagahi
hati yang rapuh ini
demi hasrat yang suci.

Aku sangkakan
harapan selembut impian
yang menguliti tidur insan
kiranya kehidupan tidak sedemikian
goyah hatiku oleh kenyataan.

Tak harus kuturuti
Kelemahan diri
Tak daya bertahan diuji
Lalu aku mengumpulkan
Semula kekuatan
Berlandaskan keimanan.

Gelombang
(Salamiah Hassan - 1978,
dari filem Tiada Esok Bagimu.
Ciptaan Kassim Masdor)


Nasibku dirundung malang
Sederas gelombang
Menghempas di pantai
Di malam ku ternoda
Dalam sinar cahaya di jendela

Tiada esok lagi
Kelam masa depan
Sinar hidup ini
tiada erti

Hidupku seperti badai
Tak henti gelora
Musnahlah segala
Perasaan dan harapan
Untuk hari esok
tiada lagi

Oh Tuhanku
KepadaMu ku pohon ampun
doa restu
Lindungilah daku yang tidak berdaya
Di bumiMu ini

Imam Muda 2011


Saya tidaklah menjadi pengikut yang setia. Ada juga waktu-waktunya saya terlepas menonton episod Imam Muda ini dek tuntutan tugas dan tanggungjawab. Pun, jika ada kesempatan saya tidak melepaskan peluang menontonnya. Nyata, ia banyak memberi pengisian.

Sukar memilih daripada sepuluh orang Imam Muda yang punya wibawa tersendiri itu. Apatah lagi tanpa undian SMS, memang kualiti Imam Muda tidak mampu dipertikaikan lagi. Markah diberi berdasarkan ujian bertulis, tugasan mingguan dan bagi peserta akhir, mereka membuat persembahan di pentas.

Selepas bersaing selama sembilan minggu, dua orang Imam Muda terpilih ke peringkat akhir iaitu Imam Muda Nazrul dan Imam Muda Hassan. Kedua-duanya sungguh hebat dan berkaliber.

Pada malam 1 Julai 2011 itu, saya buntu juga. Tidak dapat meneka dan memilih yang terbaik kerana keupayaan mereka setara. IM Nazrul sangat berkeyakinan, bersuara merdu kala mengaji Quran, serta sangat cekap menghurai soalan. IM Hassan pula sentiasa tenang, lancar dan fasih mengalun ayat Quran, juga bijak menjawab pertanyaan.

Siapa yang menang pun saya tidak kisah kerana mereka punya kualiti yang tersendiri.

Namun, rezeki berpihak pada IM Hassan, yang dianugerah gelaran Imam Muda Unggul 2011 dengan perbezaan lima mata cuma.

Tahniah buat mereka berdua. Semoga terus mencurah bakti dalam mendidik masyarakat yang semakin hari semakin luntur nilai-nilai kerohaniannya. Semoga Allah memberkati kalian.

Saturday, July 09, 2011

Kembali


Lumrah kehidupan, begitulah. Sering sahaja hati tersentuh dengan persekitaran yang menekan. Saya tidak terkecuali.

Apabila perasaan saya seumpama dipermainkan, hati ingin membawa rajuk. Namun sampai ke manakah rajuk saya itu? Ia umpama debu, berterbangan bila disapa bayu. Rajuk saya akhirnya sirna tanpa sesiapa memujuk.

Akan tertekankah saya?

Saya mahu menjadi seorang yang redha. Yang berpijak di bumi nyata. Sampai bila jiwa keanak-anakan saya ini harus dirajai? Saya tahu letak duduk seorang wanita dalam institusi keluarga. Saya diajar untuk menjadi hamba Allah yang patuh, dalam apa situasi sekali pun. Saya tidak mahu memalit dosa kering pada diri yang belum sempurna dan tidak akan pernah sempurna ini.

Saat ini, saya ingin sekali mengongsi apa yang saya rasai, namun saya tak punya upaya itu. Maka biarlah angin yang lalu membawa pergi segala rajuk dalam diri. Biarlah sepi yang saya lewati ini membawa pesan agar kembali pada yang hakiki. Kembali pada diri. Kembali menjadi yang azali.

Semoga diberkati.