Wednesday, July 13, 2011

Kenduri

Lama kami merancang, tapi tidak pernah terlaksana.

Februari 2005, kami akhirnya mendiami rumah sendiri setelah hampir enam tahun berkelana di rumah-rumah sewa. Hasrat hati, ingin membuat sedikit kenduri kesyukuran sempena mendiami rumah baru ini tetapi entah mengapa ia sering tertangguh. Ada-ada sahaja perkara yang menjadi sebab dan alasan, namun hakikatnya mungkin kebersediaan kami belum seratus peratus.

2010, apabila nama kami tersenarai sebagai jemaah haji, hasrat untuk berkenduri muncul lagi. Tetapi saya tidak mahu berkenduri sebelum ke Mekah, atas sebab-sebab tertentu. Jadi kami sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran sebaik kami pulang nanti.

Apakan daya, perancangan kami sekadar satu perancangan cuma. Allah jua penentunya. Kesihatan suami tiba-tiba merosot dan memerlukan rawatan di hospital yang agak kerap. Dari sebulan ke sebulan kami menangguhkan kenduri kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.
Alhamdulillah, suami kini makin pulih walaupun tidak seratus peratus. Kami kembali menyambung perancangan yang kerap terganggu itu dan benar-benar mahu melaksanakannya kali ini. Benar-benar mahu.

Lalu, kami memilih tarikh 23hb Julai 2011, bersamaan 21hb Syaaban 1432, hari Sabtu untuk mengadakan kenduri kesyukuran tersebut. Harapan kami agar Allah memberkati majlis ini dan memberi kemudahan dalam setiap urusan. Berdebar-debar juga, maklumlah kami tiada pengalaman. Tetapi saya mesti bersedia dalam segenap segi agar majlis ini berjalan selancar yang diharapkan.

Sesiapa yang membaca artikel ini, dan berasa punya upaya dan kemudahan untuk ke rumah saya pada hari tersebut, jemputlah datang memeriahkan majlis yang tidak seberapa ini.


No comments:

Post a Comment