Usai solat subuh, saya menggosok pakaian untuk dipakai hari ini. Suami berbaju melayu biru gelap, berseluar hitam dan berkopiah. Saya pula dengan imej biasa, berbaju kurung dan bertudung bawal biru laut.
Jam 7.00 pagi, saya ke dapur menyediakan bihun goreng, sebanyak dua bungkus. Daging yang kami tempah dihantar pada jam 7.15. Betapa ramainya rakan dan jiran lelaki datang membantu menyiang dan memotong daging. Kata suami, sekitar 40 orang. Emak dan adik-adik saya tiba tidak lama kemudian. Turut sama membantu tentunya adik beradik suami - Kak Zan, Kak Ini, Kak Imah dan anak-anak mereka yang begitu setia dan tekun serta sangat memberi inspirasi dalam memastikan kelancaran kenduri pertama kami ini. Mek (mertua) juga tidak ketinggalan memberi sumbangan.
Dek kerana ramainya orang, maka lima bungkus lagi bihun digoreng oleh pakar goreng bihun - Ismah. Semuanya selamat dijamu dan tiada pembaziran berlaku.
Jurudapur-jurudapur semakin sibuk menyiapkan hidangan - daging singgang spesial, ayam goreng kunyit, ikan rebus goreng, ulam-ulaman (segar dan celur) dicecah budu, sambal dan tempoyak. Husna dan Hawari pula bermurah hati untuk berkongsi lauk kurma kambing (aqiqah Nasih) yang ditempah khusus dari caterer bertauliah yang lazatnya tidak terkira.
Jam 11.30 pagi, saya dan suami bersiap-siap untuk memulakan acara.
Khemah sudah siap dipasang sejak semalam. Meja juga sudah sedia beralas, kerusi, nasi, lauk pauk dan pinggan mangkuk telah tersusun di halaman.
Bermula dengan bacaan doa oleh Hawari tepat jam 12 tengah hari, majlis pun bermula. Tetamu pertama sudah pun tiba dan mereka dijemput menjamu selera. Maka bertebaranlah saya dan suami di halaman, melayan dan menyambut kehadiran jemputan yang tidak putus-putus sehingga ke petang. Hujan rahmat yang turun mengiringi kenduri kami tidak sedikit pun menggugat perjalanan kenduri ini.
Sekitar 7.00 petang, tetamu beransur kurang dan kami mula kepenatan.
Malam pula, ahli keluarga saya masih setia membantu mengangkat barang dan mencuci periuk dan kuali sementara tetamu masih lagi tiba bersilih ganti, membawa ke jam 11.00 malam.
Berakhir juga kenduri kami ini, tanpa sebarang cacat cela. Alhamdulillah.
Kepada semua yang membantu, terima kasih.
Emak, walaupun sering kalut tetapi tidak pernah jemu menghulur tenaga. Ismah dan Zahidah antara penggerak utama majlis ini disertai Aziah dan Husna. Terima kasih banyak-banyak. Tanpa kalian majlis ini mungkin banyak pincangnya.
Mek pula rela bermalam selama dua malam di sini bagi memastikan kami memberi komitmen yang sewajarnya. Kak Zan, Kak Ini dan Kak Imah tidak lokek menyumbang tenaga dan memberi banyak bantuan yang tidak mungkin terbalas oleh kami. Anak-anak saudara kami - Syahiran, Zulhusnie, Faris, Aiman, Afiqah, Ain, Zul dan Najmi, turut sama berkongsi rasa dan tenaga tanpa pernah jemu. Terima kasih, terima kasih, dan terima kasih!
Banyak pengalaman baru dapat kami kutip dari kenduri pertama ini, yang dapat kami gunakan pada waktu-waktu mendatang.
Terima kasih semua.
No comments:
Post a Comment