Dia berdiri di penjuru meja, sewaktu para tetamu sedang mengambil makanan. Dia hanya diam. Matanya sesekali memerhati, tetapi lebih banyak menunduk sambil memandang jari jemari sendiri. Saya yang leka melayan tetamu, terpandang dia tiba-tiba.
Oh, baru saya teringat, dia datang dengan ayah dan saudara lelakinya. Tentu mereka menyuruh dia mengambil makanan di bahagian perempuan. Sendirian. Tetapi anak gadis yang baru berusia 9 tahun ini belum betah dengan majlis sebegini. Kerana itu dia berdiam sahaja. Benar-benar diam, kerana dia tidak mengenali sesiapa.
Saya mendekatinya. “Ambillah nasi dik!” pinta saya.
Dia menggeleng.
“Kenapa? Belum makan lagi kan?”
“Tak nak makan..” jawabnya perlahan.
Hati saya sayu tiba-tiba. Anak manja ini tidak sewajarnya berdiri sendirian di situ tanpa siapa-siapa. Anak seusia ini harusnya dilayan seorang ibu, tapi dia tidak punya!
Saya sebak, lalu meninggalkannya sebentar untuk mengambil nasi.
Saat nasi dihulur, dia menyambut tanpa suara. Ah! Wajahnya mengundang air mata saya. Dengan suara terketar-ketar, saya mengajaknya naik ke rumah. Saya memanggil adik perempuan saya untuk membawanya ke sofa dan menjaganya makan.
Saya teringat arwah ibunya. Jika Bonda Asma’ ada, tentu Amal Najah tidak sendirian begitu. Tentu dia dilayan penuh kasih sayang dan belai mesra oleh ibunya yang penyayang. Apakan daya, sekecil itu Najah sudah perlu menjalani hidup sendiri-sendiri. Anak bongsu, tentu manjanya lebih tapi siapa yang ada untuk dia? Dia masih belum mampu memahami tetapi sudah perlu melalui satu kehilangan!
Najah, dewasalah dengan penuh keperibadian, menyamai ibumu yang mulia. Semoga Allah melindungimu, di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment