Monday, July 25, 2011

Sehari Sebelum Kenduri

22hb Julai 2011

Pagi Jumaat yang indah, hati saya penuh debaran. Bagaimana agaknya suasana kenduri saya esok. Bimbang jika tidak berjalan seperti yang diharapkan. Maklumlah, belum berpengalaman.. Persediaan pertama, saya goreng dua bungkus mi untuk hidangan para pekerja saya nanti.

Sekitar 9.00 pagi, Zahidah dan Aziah tiba, bersama-sama si kecil Muiz yang lengkap bercermin mata hitam. Segak betul jejaka ini! Mereka tiba untuk membantu saya membuat persiapan kenduri esok. Tidak lama, jurudapur-jurudapur bertauliah yang saya undang khusus untuk menyediakan menu kenduri saya pun tiba untuk memulakan proses masak memasak. Bahan-bahan telah pun kami sediakan, dengan bantuan jiran saya yang baik hati, Encik Awang namanya. Dialah yang membeli kesemua bahan-bahan dapur, berdasarkan senarai yang kami sediakan.

Emak dan Ismah pula tiba sekitar jam 10 pagi bersama kek coklat kurang gula yang lazat tidak terkata. Terima kasih Ismah ya...!

Apabila jurudapur-jurudapur itu memulakan tugas, saya mula memasak di dapur. Kali ini saya sediakan nasi goreng pula, sebagai 'back-up' kalau-kalau mi goreng tidak cukup. Pekerja-pekerja saya ni ramai - jurudapur sahaja enam orang, ditambah dengan emak dan adik-adik yang membantu, juga pemasang-pemasang khemah dan petugas-petugas am, rasanya lebih 20 orang. Zahidah si tukang mop telah selesai mengemop bahagian-bahagian tertentu dalam rumah saya, maka dia bersama-sama Ismah memulakan proses penggorengan nasi.

Aduh! Penat rupanya mengendalikan kenduri walaupun tidak sebesar mana.


Selesai menyediakan nasi goreng, kami memasak untuk makan tengah hari pula. Sup ayam, sayur goreng, ayam goreng, ulam-ulaman dan budu. Sewaktu kaum Adam bersolat Jumaat, kami berehat sebentar.

Sebelah petang, acara masak memasak diteruskan lagi. Kali ini bersila di belakang rumah, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa Malaysia, cukup mendamaikan jiwa. Santai juga ya, walaupun dalam kalut!

Sebelah malam, kami berehat sepenuhnya. Mata saya memang layu sungguh-sungguh. Tak larat nak celik. Jam 10 malam saya sudah lena, tetapi suami masih di halaman. Agaknya membersih apa yang patut.

Tiba-tiba suami kejutkan saya kerana ada tetamu datang. Aduh! Jam 11.05 malam mereka datang! Saya terpaksa bangun dan melayan mereka. Tak mengapa, saya tidak marah cuma segan sedikit kerana rupa saya memang nampak jelas baru bangun tidur...


No comments:

Post a Comment