Tuesday, July 19, 2011

Tingkatan Enam

Kepada anak-anak didik saya yang terpilih melanjutkan pelajaran dalam bidang idaman masing-masing, sekalung tahniah dari saya. Doa saya, semoga kalian juga mampu meneruskan kecemerlangan di peringkat ijazah ini.

Saban tahun, selepas keputusan SPM diumumkan, ramailah anak-anak didik saya datang kepada saya bertanya pendapat. Kemana harus mereka tuju? Matrikulasikah, Diplomakah atau Tingkatan Enam?

Semua punya fikiran dan pendapat masing-masing. Saya bersuara bagi pihak saya, terpulang mereka membuat keputusan. Jika saya, ia tergantung keputusan SPM. Bagi yang cemerlang pastinya terpilih ke kursus Matrikulasi Kementerian Pendidikan atau Asasi di universiti tempatan. Bagi yang sederhana, akan menerima tawaran Diploma dalam bidang tertentu, atau Sijil di Politeknik, dan bagi yang tidak bernasib baik, tentu sekali hanya ditawarkan ke tingkatan enam.

Ya, hanya tingkatan enam.

Lalu, apabila sahabat dan saudara mara bertanya, “sekarang belajar di mana?” seringkali senyuman malu mendahului jawapan, “tingkatan enam je..”

Apa nak buat, itulah pandangan masyarakat dan mentaliti sesetengah pelajar yang memandang sepi pengajian tingkatan enam. Saya benar-benar sedih dengan kekeliruan sebegini.

Tahukah mereka, tingkatan enam adalah platform terbaik bagi memastikan tempat mereka di universiti pilihan? Berbanding Diploma dan Sijil, tingkatan enam lebih memberi jaminan ke peringkat ijazah, dengan syarat bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam STPM.

Banyak contoh yang telah saya lihat di hadapan mata. Seorang pelajar aliran sains mendapat keputusan SPM yang tidak memberangsangkan, dan natijahnya dia tidak ditawarkan apa-apa kursus pun baik peringkat diploma ataupun sijil. Memang awalnya dia sedih, tetapi cita-citanya untuk memanjat tangga menara gading tidak pernah terpadam.

Apabila namanya tersenarai sebagai pelajar Tingkatan Enam Sastera, dia menerima penuh redha. Dengan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah, Bahasa Melayu dan Pengajian Am, dia memberi tumpuan yang tidak berbelah bagi. Nyata dia sangat serasi dengan subjek-subjek tersebut dan akhirnya dia mendapat keputusan 3.85 dalam STPMnya. Muncul sebagai pelajar terbaik pula, dia telah menebus segala kekecewaan dalam SPM dua tahun lepas. Dengan kecemerlangannya itu, dia mendapat tempat di Fakulti Pendidikan di sebuah universiti tempatan yang terkemuka. Berbanding rakan-rakannya yang mendapat tempat di peringkat Diploma selepas SPM dahulu, dia telah mendahului. Dia telah melangkah ke peringkat ijazah, sedang rakan-rakannya masih bertungkus lumus menyelesaikan Diploma, dan belum tentu lagi mendapat tempat di peringkat ijazah.

Siapa yang lebih beruntung di sini?

Seorang pelajar yang lain, telah mendapat tawaran Diploma Pengurusan Pejabat selepas SPM. Dia sangat teruja untuk mengikuti kursus itu, kerana ramai rakan-rakan setingkatannya mendapat kursus yang sama. Malangnya, kakaknya melarang kerana mahu dia menyambung belajar di Tingkatan Enam. Marah sungguh dia pada kakaknya hingga tidak bertegur sapa berminggu-minggu, namun kakaknya tetap berkeras. Dia tiada pilihan kerana kakaknya umpama ibu yang menjaga dia sejak kecil. Dengan berat hati dia menolak tawaran Diploma dan menyambung belajar di Tingkatan Enam. Sayu hatinya melihat rakan-rakan bergembira belajar di universiti, sedang dia masih perlu berpakaian seragam sekolah setiap hari! Hatinya terasa ingin membawa rajuk…

Namun dia tidak merajuk lama, pelajaran tetap menjadi keutamaan kerana dia tahu, hanya dengan keputusan cemerlang dalam STPM sahaja yang akan membolehkannya melangkah kaki ke universiti idaman.

Apabila keputusan STPM diumumkan, dia berjaya cemerlang. Dengan keputusan 3.68, dia memohon Kursus Perakaunan dan permohonannya diterima. Kali ini dia mampu tersenyum lebar, dan sangat bersyukur kerana mengikut kehendak kakaknya dahulu. Jika tidak, tentu dia masih mengikuti kursus Diploma Pengurusan Pejabat yang belum tentu ke mana tujuannya selepas tamat nanti.

Jadi, apa kurangnya tingkatan enam?

Percayalah, kecemerlangan di tingkatan enam sebenarnya lebih mudah dicapai dan lebih memberi ruang untuk ke universiti. Mengapa mesti bersusah payah mengambil kursus diploma jika tingkatan enam boleh menjadi jalan pintasnya? Janganlah menidakkan peluang di hadapan mata…

No comments:

Post a Comment