Sejak lama, saya menerima dan meraikan hukum berpoligami dalam Islam tanpa prejudis. Sejak lama juga, saya telah mempersiapkan diri saya untuk mendepani segala kemungkinan, kerana yang saya mahu hanya satu - redha Allah.
Apabila perkahwinan saya semakin berusia dan zuriat pula belum mahu tiba, saya semakin serius memikirkan hal yang satu ini.Apatah lagi diagnosis mengesahkan suami saya sempurna dan masalah berpunca dari kesihatan saya, maka saya menjadi bertambah serius. Benarlah, ada seribu satu hikmah tersimpan di sebalik kebenaran berpoligami ini yang hanya segelintir manusia mampu merasainya.
Lalu saya bersuara.
Mulanya, hanya pada teman-teman rapat. Ada yang diam, ada yang setuju, ada yang kagum. Pun, tidak kurang yang meragui keikhlasan saya. Katanya, "sekarang bolehlah cakap macam tu. Redhalah, tak kisahlah. Tetapi bila betul-betul jadi nanti, entah-entah berubah perasaan. Entah-entah cemburu melampau-lampau sampai suami pun tak tahan."
Saya mengambilkira semuanya. Mungkin ada kebenaran di sebalik setiap pendapat kerana saya tidak tahu masa depan saya. Pun, ada yang menjadi teladan, ada juga menjadi sempadan. Saya muhasabah diri, dan berdoa siang malam agar ada kekuatan menghadapinya andai itulah takdirnya nanti.
Kepada suami, saya suarakan dengan nada yang saya sendiri tidak pasti - ceria atau gundah. Dia terkejut. Tafsiran berbeza dilontarkan kepada saya. Katanya, saya tidak sayang dia lagi!
Itu lebih sepuluh tahun lalu, sewaktu saya baru mengetahui tentang kekurangan saya dan saya enggan membiarkan dia tersia-sia. Kini, tafsirannya mungkin berbeza. Kala berbicara dengannya, saya selitkan isu poligami dan dia tidak lagi melatah seperti dulu. Walaupun nadanya bergurau, saya tahu dia semakin positif.
Seharusnya, saya lebih bersedia.
Namun sebagai wanita bertaraf biasa, saya tahu segala kesedihan yang bakal saya rasai. Sekuat mana pun jiwa saya, mampukah saya tersenyum dan ketawa saat saya membayangkan suami saya sedang berbahagia diladeni isteri baru yang jauh lebih muda? Mampukah jiwa saya bahagia tatkala madu saya dibawa berbulan madu dan saya ditinggal sendirian? Tidak akan gugurkah air mata wanita saya apabila segalanya menjadi nyata? Sedang selama ini, dia adalah saya dan saya adalah dia. Tiada yang ketiga.
Aduhai! Memang sukar menghadapinya dan kerana itu saya sangat faham mengapa bermadu itu begitu pahit bagi wanita.Malah, saya juga sangat hairan jika ada wanita yang sengaja mahu mengganggu kebahagiaan rumah tangga wanita lain hanya kerana tertarik dengan peribadi si suami.
Saya bersedia, insya Allah sangat bersedia. Saya mohon pada-Nya, jika itu yang terbaik buat kami maka izinkanlah. Jika tidak, kami redha begini.
Jujur, saya sayu membaca entri kali ini. Komen saya kali ini penuh berhati-hati, agar tiada hati yang saya sakiti.
ReplyDeleteSememangnya demikianlah perasaan wanita. Tidak Allah melarang manusia bersedih, tidak Islam bantah merasa cemburu. Malah Islam mengiktiraf semua itu. Sedangkan isteri Nabi yang imannya hebat lagi merasa segala rasa itu. Wanita bertaraf biasa seperti kita apatah berat lagi untuk mengawalnya dengan senjata iman yang sedikit cuma. Tidak Allah letakkan dosa pada semua perasaan itu. Tidak.
Tidak pernah ada pihak yang menafikan hal ini. Kerana ingin meminimumkan kelukaan pada jiwa wanita, perlu seawalnya mendidik wanita supaya lama bersedia. Dengan itu moga jiwanya lebih kental.
Bahawa dari sudut yang lain, yakinlah, Allah tidak akan mensia-sia kan apa yang kita korbankan, apa yang kita sabarkan. Di sana pasti akan ada tuaiannya.
Pun, saya belum cukup wanita untuk merasa dan mengulas. Saya tahu tentang itu.
Kerana itulah dik, memilih untuk berpoligami sememangnya memerlukan kekuatan yang luar biasa. Selain kemampuan suami, keadaan isteri wajar juga diambilkira. Benar, didik wanita untuk bersedia adalah jalan terbaik tetapi mudahkah? Perasaan, ia sangat abstrak.
ReplyDeleteSememangnya janji Allah sentiasa benar. Cuma yang diragui ialah janji manusia, terutamanya janji lelaki. Itu sebenar-benarnya yang menjadi tembok pemisah.
Apa pun, bersedialah untuk apa sahaja yang bakal tiba. Dunia hanya sementara. Akhirat jua tujuan kita....