Sewaktu saya kecil dahulu, kerap kali saya menonton drama TV dan filem yang menggambarkan ustaz-ustaz dan tok-tok lebai Melayu dengan gambaran yang negatif. Watak mereka ini selalunya ego, degil dan kasar. Enggan berbincang dan mudah menghukum. Lihat sahaja filem Tsu-Feh Sofea arahan Rahim Razali, Fenomena arahan Aziz M. Osman, juga drama-drama Melayu seperti Guru Yahya dan terbaru, Tahajjud Cinta karya Erma Fatima.
Benar kisah yang dipapar sekadar rekaan dan khayalan, tiada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia. Namun hakikatnya, ia berdasarkan pengalaman mereka ini apabila berhadapan dengan golongan cerdik pandai agama.
Saya berasa terpanggil untuk berbicara tentang ini kerana bagi saya perkara ini masalah yang sangat besar dalam masyarakat kita. Mereka yang bergelar ustaz ini sangat gemar memperlekehkan orang-orang yang tidak tinggi ilmu atau jahil seperti saya ini. Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan para ustaz kita yang suka menampilkan imej sebegitu. Bukan semua, tetapi ramai.
Dalam rancangan soal jawab agama di radio, seorang bibik menelefon dan bertanya tentang masalahnya yang bermajikankan non Muslim. Majikannya melarang dia bersolat. Dia susah hati dan bertanya ustaz bolehkah dia menjamakkan solatnya kerana kesukaran tersebut.
Tahu apa jawapan ustaz itu?
Mahu majikan masam muka atau Allah masam muka? Kalau Allah masam muka pada kita, hidup kita tentu tidak berkat (Lebih kurang begitulah maksud ustaz itu).
Jika saya sebagai bibik yang bertanya itu, saya akan menjadi semakin bermasalah. Apa perlu saya buat sebenarnya?
Bukankah lebih elok jika ustaz itu memberi penyelesaian. Katakan sahaja, bersolat boleh dibuat di mana-mana. Tak perlu wirid panjang-panjang. Pastikan sentiasa berwuduk dan berpakaian menutup aurat. Masuk waktu terus solat, tentu majikan tidak akan sempat untuk marah. Atau apa-apa sahaja penyelesaian yang sesuai yang ada dalam ilmu pengetahuan seorang ustaz agar bibik itu tidak berasa menyesal menelefonnya!
Di surau berhampiran rumah saya baru-baru ini, seorang ustaz mengajar tentang cara memanggil nama anak dalam Islam. Katanya, panggillah dengan nama penuh agar makna namanya itu menjadi doa buatnya. Seorang hadirin bertanya, “jadi tidak bolehlah panggil nama pendek ya ustaz?”
Tahu apa jawapan ustaz itu?
Ditanyanya kembali kepada hadirin tersebut, “nak pahala ke tak nak? “ Aduh! Kasar bunyinya tu. Pendengar lain senyum dan ketawa. Si penanya tersipu-sipu. Mungkin malu dan menyesal bertanya.
Bukankah lebih elok jika ustaz itu menjawab dengan lebih sopan dan berhemah. Katakan sahaja, jika panggil nama pendek yang tidak punya makna, walaupun tidak berdosa tetapi tiada pahala. Kan tenang hati si penanya tadi mendengarnya!
Dalam laman sosial seorang agamawan, pernah terbit satu bicara tentang artis sebagai idola. Pelbagai kata-kata negatif dituju kepada artis, tanpa menyedari sememangnya ada artis yang membaca laman tersebut.
Tahu apa seorang artis kata?
Katanya, kamu semua memang seronok menghina dan mengata golongan artis. Artis tidak bermorallah, artis tidak layak dijadikan idolalah, artis tidak beragamalah. Memang, kamu bertuah kerana lahir dalam keluarga yang tahu hukum hakam. Yang memberi didikan terbaik pada kamu. Tetapi saya tidak begitu. Keluarga saya bukan tahu sangat pasal agama, dan didikan agama saya sangat sedikit. Hanya setelah dewasa dan berkeluarga sendiri baru saya mula mendekati majlis agama. Sedarlah, tak semua orang beruntung seperti kamu. Golongan kami sepatutnya diberi kesedaran, bukan dikutuk dihina. (Begitulah lebih kurang maksud artis itu, yang kini telah bertudung dan tidak lagi menyanyi).
Bagaimanalah agaknya orang ramai mahu mendekati golongan agama jika mereka berwatak seperti yang difilem dan didramakan itu?
Mujurlah kebelakangan ini saya nampak ada perubahan. Ustaz-ustaz sudah mula tahu menggauli masyarakat dan tidak lagi memandang rendah si jahil yang bertanya. Kemunculan ustaz-ustaz ini diharap memberi pengaruh besar dan menyedarkan ustaz-ustaz yang kasar dan ego tadi agar lebih lembut dan berhemah.
Maafkan saya jika terkasar bahasa.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment