"Adam! Jangan panjat, nanti jatuh! Eeei budak ni... berapa kali mama nak kena larang hah? Nak suruh mama naik hantu ke?"
Adam, empat tahun, yang sedang memanjat jeriji pintu, berpaling ke arah mamanya.
"Mama, mama nak ke mana naik hantu? Err.. hantu tu laju ke?"
Tidak jadi marah, mamanya tergelak.
Anak-anak sekarang, kreatifnya berganda-ganda. Bukan sekadar psikomotor yang bergerak, tetapi akal fikiran juga ligat berfikir. Tidak macam anak-anak zaman 70-an dulu yang sekali dilarang, terus takut untuk mengulang. Takut yang teramat sehingga untuk bertanya soalan pun berfikir berkali-kali.
Saya gemar membanding. Saat saya kanak-kanak, saya tergolong pasif. Jika bertandang ke mana-mana, di sisi emaklah tempat saya. Enggan berenggang jauh kerana tidak selesa dengan strangers. Takut barangkali. Tetapi melihat anak-anak kini, mereka sangat terbuka. Sangat cepat berkawan tidak seperti saya dahulu. Mereka gemar meneroka dan gemar bertanya.
Sayangnya, kelebihan yang ada pada mereka terhenti setakat zaman kanak-kanak sahaja. Jejak sahaja kaki ke alam persekolahan di sekolah kebangsaan, kongkongan alaf baru pun bermula. Belajar dan belajar, tiada selain itu. Daya imaginasi dan kreativiti mereka tersekat dek amalan spoon feeding dan drilling yang menguasai dunia pendidikan kita. Kasihan, saya sangat simpati.
Harapan saya agar segala ini cepat berakhir. Saya mahu lihat generasi baru yang punya keupayaan tinggi, imaginatif dan kreatif. Semoga ia terlaksana. Amin.
No comments:
Post a Comment