Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi
Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu
Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan
Selain sajak, saya sangat menggemari
pantun. Sajak memberi kita kebebasan menyusun perkataan tanpa sebarang pola
tertentu tetapi pantun tidak begitu. Pantun yang baik ialah seperti contoh di
atas. Ia pantun lama, tetapi sangat indah.
Lihat bilangan sukukatanya,
lihat pemilihan pembayang dan maksudnya, juga lihat pada rima pengakhirannya.
Sempurna.
Apa yang saya tahu, pantun yang baik mempunyai pengakhiran abab bukan aaaa. Bilangan sukukata pembayang dan maksud sama, dan perkataan di tengah pembayang berima sama dengan perkataan di tengah maksud.
Memang saya akui, membina
pantun seindah itu tidak mudah. Unsur-unsur alam, kehijauan dan ketenangan,
serta kesesuaian perkataan pembayang dengan perkataan maksud (seperti sumur
dengan umur, ladang dengan panjang) memang payah untuk digabungjalin menjadi
serangkap pantun yang punya kualiti. Dalam perkara ini, ilmu itu perlu. Jangan
ingat berpantun boleh sesuka hati. Nilainya wajar dijaga.
Sebagai seorang yang berbangsa
Melayu, saya bangga dengan warisan seni pantun ini. Kerana itu hati saya sebak
apabila mendengar pantun-pantun picisan yang tidak punya seni langsung.
Maafkanlah saya, jika pantun sebegitu diucapkan dalam rancangan Raja Lawak,
tidaklah saya kisah sangat kerana nilainya adalah lawak. Tetapi jika rancangan
itu berbentuk ilmiah seperti Semanis Kurma, carilah pantun yang punya nilai
seni dan berkualiti demi menghormati audiens yang pelabagai peringkat
pemikiran. Jika tidak, tidak perlulah berpantun. Ia hanya merosakkan suasana. Seperti pantun ini.
Suami isteri main kejar-kejar
Tajuk kita malam ini, kahwin ke belajar
Kalau yang ini, bolehlah diterima.
Ikan bawal kena pukat
Kahwin awal memang berkat
Saya tidak berniat serong dalam catatan ini, hanya sedikit teguran sahaja demi memartabatkan pantun warisan Melayu yang sungguh indah ini. Jangan kerana berpantun ini bukan ajaran Nabi, (bidaah?) maka kita memperlekehkan keseniannya. Islam bukan seperti itu. Islam tidak menghalang kita menjaga warisan seni yang tidak bertentangan dengan syari'at.
No comments:
Post a Comment