Friday, June 15, 2012

Percaya

Saya tahu dia mempercayai saya, kerana itu dia bercerita. Ada rasa yang menggigit hati nubarinya dek kelakuan dan tindakan segelintir rakan seperjuangan terhadap dirinya dan keluarga. Saya tahu dia tertekan, dan memerlukan tempat berkongsi rasa. Dia memilih saya, dan saya mendengar dengan setia
.
Bukan tiada simpati saya padanya. Jalanan hidupnya yang berliku telah membentuk dirinya yang sekarang. Pengalaman yang dibawa bersama-samanya banyak yang getir daripada indah, maka jiwanya sedikit memberontak. Saya tahu itu. Saya biarkan sahaja dia berkongsi.

Pun, saya salah tingkah juga. Isi ceritanya yang dia mahu saya rahsiakan, telah saya buka kepada seorang sahabat. Saya berniat suci, supaya sahabat itu tahu dan sedar dengan apa yang berlaku dan mengambil langkah berjaga-jaga. Apatah lagi, sahabat itu ialah ketua saya dan dia. Saya cuma mahu sahabat itu tahu kisah anak-anak buahnya. Itu sahaja.

Malang, sahabat itu sedikit emosional. Tanpa saya duga, sahabat itu menyampaikan kisah kepada insan yang menjadi subjek cerita membuatkan subjek itu tersentak dan sakit hati. Selepas mengetahui dirinya menjadi sasaran, subjek itu bertindak di luar batasan. Dalam sedar, subjek itu terus menyakiti hati dia dan keluarga. 

Dia menemui saya dan bertanya, adakah saya telah mengongsi ceritanya dengan sesiapa? Saya terkejut amat. Rupanya sahabat itu dan subjek itu terlalu tidak rasional dalam menangani situasi. Malang sungguh, mereka itu guru lepasan universiti tetapi berperilaku umpama manusia yang tiada ilmu.

Saya buntu dan berasa bersalah. Semua kesalahan terpulang kepada saya. Jika saya tidak membuka cerita, tentu dia tidak terluka. Hanya maaf saya pohon daripadanya. Saya mengambil iktibar dan berharap ia berakhir di situ.

Memandang wajah sahabat itu dan subjek itu, ada rasa geram menyelinap di hati. Ingin saya bertanya, atas dasar apakah mereka berdua terus-terusan menambah sakit di hati dia? Pun, upaya saya tiada. Buat masa ini saya masih menanti waktu yang sesuai untuk memula bicara itu.

Kisah yang sama berulang lagi. Atas sebab yang baru, dia kembali menjadi mangsa. Saya yang tidak apa-apa ini menjadi sasaran dia. Entah kerana ingin mengongsi rasa atau kerana curiga, dia memilih saya lagi untuk bercerita. Kali ini sahabat itu membuat onar dengan menyebar cerita yang tidak sahih tentang dirinya di hadapan pelajar. Dia sungguh sakit hati, tetapi kali ini saya tahu saya tidak terlibat! Pun pengajarannya, sekali saya tidak jujur padanya dahulu, menyebabkan dia menyasar saya untuk kali kedua.

Saya tidak menyalahkannya. Telah saya jelaskan dengan bersuluh, saya tidak membawa cerita itu. 

Entahlah. Banyak sungguh onak duri dalam hidupnya. Ke mana sahaja dia pergi, ceritanya tidak pernah indah. Ada sahaja luka yang digores pada hatinya. Saya hanya mampu berdoa agar Allah memudahkan urusan hidupnya selepas ini.

No comments:

Post a Comment