Sunday, June 03, 2012

Rasa Jiwa

Setiap kali saya bersendirian di bilik, setiap kali itulah saya berasa seperti ingin mencatat sesuatu. Saya usung laptop saya, meribanya dengan kemas dan membuka Microsoft Word. Demi terpampang sahaja layar putih berlatar biru muda itu, tiba-tiba perasaan menjadi kelu. Buntu, entah mengapa. Seringnya begitulah. Pada hal betapa banyaknya peristiwa yang saya lalui saban hari yang memberi pengajaran dan sempadan, yang seharusnya mampu saya kongsi di sini. Pun, ia berlalu begitu sahaja…

Saat ini, saya bersendirian lagi. Suami saya keluar berjemaah di masjid, dan tentu sahaja akan pulang seusai solat Isya’ nanti. Hidangan malam telah saya siapkan. Walaupun ringkas – nasi putih, telur goreng sambal, ikan kering gelama goreng dan acar timun – namun saya lengkapkan ia dengan rasa kasih sayang. Semoga Allah memberkati hidangan kami malam ini.

Bersantai begini – dengan cara saya – sememangnya memberi sejuta ketenangan. Rasa bersalah juga kala menolak permintaan anak saudara saya yang manis manja, Ain Aliah tadi. Dia mohon untuk bermalam di rumah saya malam nanti namun saya memberi alasan, “rumah ummi tak ada makananlah Ain. Ain duduk sini sajalah ya! Kawan dengan Cumah dan Su..” Dia seperti kecewa, tetapi menjawab, “okay lah!”

Bukan saya ini menolak tetamu, tetapi mereka bakal bosan berada di rumah saya. Sungguh!

Selain saya, rasanya tiada yang bakal betah berseorangan di rumah ini. Suami saya tidak terkecuali. Sering sahaja dia bersantai di sisi teman dan rakannya di luar sana, demi menghilang bosan dan sunyinya di sini. Masakan tidak, kala berehat di sisi isterinya ini pun, laptop dan buku-buku turut mengisi ruang antara kami. Saya faham, dia jemu melihat saya mengadap semua itu tetapi tidak mampu dia menghalang. Itu hobi yang perlu saya layan sebagaimana dia melayan hobinya juga. Adil dan saksama, itulah persefahaman!

Alhamdulillah, saya masih mampu bersunyi-sunyi begini. Ya, sunyi yang sungguh-sungguh. TV pun tidak terpasang. Tiada bunyi-bunyian pun, hanya irama ketukan laptop inilah yang saya dengari.

Dengan apa yang saya miliki ini, saya sesungguhnya amat bersyukur. Apa yang Allah beri pada saya, saya terima penuh redha.

Saat berbicara dengan suami malam tadi, saya menyuarakan beberapa persoalan. Bila tua nanti, di mana agaknya saya berada ya? Di pondokkah? Atau di rumah orang-orang tua? Juga, jika kita dijemput Allah nanti, bakal milik siapakah rumah kita ini? Suami menjawab, akan adalah tempatnya buat kita, dan akan adalah orang yang mendapat rumah ini. Serahkan pada yang Maha Mengetahui.

Begitulah saya meneruskan hidup. Biar sunyi, biar sendiri, saya tahu perancangan Allah itu yang terbaik. Sesekali timbul persoalan seperti yang di atas itu, bukan bermakna saya bimbang akan masa hadapan saya. Tidak sesekali. Sekadar ingin tahu sahaja. Saya tidak pernah gagal menerima kenyataan yang hidup saya ini milik Tuhan. Tanggungjawab saya ialah mengemudinya berlandaskan ajaran Islam, cara hidup yang saya yakini.

Bahagia itu sesungguhnya bukan datang sendiri. Ia perlu dibina, dipupuk dan dihargai.

Doa saya, bahagia hendaknya hidup saya dan keluarga saya, di dunia dan di akhirat.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment