Jam sudah hampir 10.30 malam. TV masih terpasang kerana suami menonton bolasepak liga super antara Perak dan Johor FC di Astro Arena. Saya seperti biasa, tiada minat. Mata pun sudah layu, maka saya mohon izin daripada suami untuk tidur. Dia terus menonton, saya mula dibuai mimpi.
Tiba-tiba saya terjaga. Badan saya berpeluh-peluh. Saya lihat jam, baru pukul 12.40 tengah malam. Suami saya sudah lena. Saya bangun hidupkan pendingin hawa dan cuba untuk sambung tidur. Malangnya, peluh saya semakin memercik dan perut saya pula terasa tidak selesa. Bagai ada angin yang menendang-nendang. Saya mengurut perut saya dengan minyak angin dan terasa ingin ke tandas. Sangka saya, selepas ini tentu saya selesa dan boleh tidur kembali.
Malangnya, perut saya makin sakit. Jam sudah pun menghampiri 1.30 pagi. Saya masih tidak mampu baring dengan sempurna kerana kesakitan. Saya duduk sambil memeluk bantal, pun tiada perubahan.
Suami saya terjaga dan bertanya kenapa. Bila saya kata saya sakit, dia urut-urutkan belakang saya. Tak semena-mena, saya rasa seperti ingin sendawa tetapi rupanya saya muntah! Mujurlah hanya terkena bantal, dan saya terus ke bilik air untuk menyelesaikannya.
Habis keluar segala makanan saya yang saya makan malam tadi. Rasa seperti tiada apa yang tinggal dalam perut. Tetapi kesakitan masih bersisa. Suami saya teruskan memicit dan mengurut perut dan belakang saya, dan alhamdulillah, lama-lama ia berkurang. Jam 2.15 pagi, saya mampu baring kembali dan tertidur.
6.04 pagi, saya bangun untuk mandi dan solat subuh. Alhamdulillah, badan rasa agak segar walaupun perut berkeroncong. Suami saya tanya, mahu ke sekolahkah? Atau ingin berehat di rumah? Oh! Saya ini sangat sayangkan sekolah saya, jadi saya mahu juga ke sekolah hari ini.
Jam 6.58 pagi saya tiba di sekolah, dan terus menuju ke bilik untuk menyelesaikan apa yang patut. Perut saya lapar sungguh! Tetapi kerana hari ini Ahad, maka terpaksalah saya melalui perhimpunan dahulu sebelum ke kantin.
Jam 8.35 pagi barulah saya makan. Nasi putih campur mi goreng, berlaukkan gulai telur itik dan kerabu pucuk paku ditemani teh o ais. Alhamdulillah, saya kekenyangan.
Seharian di sekolah hari ini, mujurlah kesakitan itu tidak berulang. Saya mampu menyelesaikan pengajaran dan pembelajaran saya dengan baik cuma tekak saya kerap dahaga. Sempat lagi saya membungkus teh o ais dan membeli sebotol air mineral untuk bekalan.
Jam 2.20 tengah hari, saya pulang ke rumah. Dua bungkus nasi dari restoran Baruh menjadi santapan tengah hari saya dan suami. Selepas makan dan solat zohor, saya menatap akhbar sekejap, kemudian tidur.
Jam 5.00 baru saya bangun. Itu pun masih bermalas-malasan di katil. Selesai solat Asar, saya melayari internet dan menggosok baju untuk ke sekolah esok. Suami saya sudah keluar kembali untuk urusan haiwan ternakannya selepas membawa pulang dua biji tembikai untuk santapan petang saya. Hampir jam 7.00 baru dia pulang dan bersiap-siap untuk ke surau. Katanya ada majlis sambutan Isra' Mikraj di surau malam ini jadi saya tak perlu memasak. Alhamdulillah.
Selepas dia turun ke surau, saya mandi, bersolat maghrib dan mengaji. Jam 8.15 saya kembali menghadap laptop untuk berinternet. Perut lapar kembali, tetapi tak tahu nak makan apa.
Jam 9.00 malam, saya berhenti untuk solat Isya' dan kembali menyambung berinternet. Enggan ke dapur, saya mahu menahan lapar malam ini!
Jam 9.35 malam, suami saya pulang. Katanya sudah kenyang, tetapi dia ada jemputan solat hajat pula. Ah, lebai sungguh suami saya ini. Dia pulang untuk mengambil kunci motor sahaja, dan terus turun untuk solat hajat di rumah jiran.
Saya kembali ke bilik, berinternet semula - menulis blog inilah!
Hai, tak tahan lapar sebenarnya ni. Saya kena stop. Saya mahu masak maggi kari sekejap. Jumpa lagi!
kakti, better aawak gi klinik la check apa kena dengan perut awak..
ReplyDeleteTak de apa rasanya, angin je. Petang tu k.ti g makan sotong dan udang celup tepung di pantai irama dgn abe di. Makan sampai tak leh nak makan dah! Penuh perut dgn makanan. Sbb tu la agaknya jadi macam tu...
ReplyDelete