Petang tadi, suami saya mendapat jemputan tahlil di rumah jiran. Maknanya saya tidak perlu memasak untuknya malam ini. Hajat di hati, hendak makan maggi sahaja. Maklumlah, masak-memasak ini bukan jiwa saya!
Tetapi entah macam mana saya terasa seperti ingin makan bubur ayam. Kalau ke McDonald, bubur ayam adalah menu yang pasti untuk saya. Saya suka sangat bubur ayam yang panas-panas itu. Lazat sungguh! Pun, malam-malam begini, siapa yang mahu bawa saya ke McD?
Saya ke dapur. Saya ingin memasak sendiri bubur ayam saya malam ini. Walaupun tiada pengalaman, apa salahnya saya mencipta resepi bubur ayam saya sendiri? Mana tahu, akan lebih sedap daripada bubur ayam McD.. hehe!!
Setengah cawan beras saya masukkan dalam periuk. Saya jerang dengan air yang banyak (tak pasti berapa liter). Seterusnya saya masukkan hirisan halia, garam dan sedikit kiub ayam. Saya potong isi ayam kecil-kecil dan campakkan ke dalam beras yang sedang menggelegak itu. Sedikit lada sulah dan bawang goreng saya masukkan. Airnya mengering, saya tambah lagi. Dan tambah lagi hingga saya nampak rupanya sudah menyamai bubur ayam McD. Daun bawang, daun sup dan bawang goreng saya sediakan untuk ditabur selepas ini.
Bubur ayam saya sedang mendidih di atas dapur |
Hmmm, boleh tahan. Dalam setengah jam saya menunggu, bubur ayam saya sudah menyerupai bubur ayam McD. Sekarang masanya untuk saya santap. Seorang diri sahaja, tetapi tidak mengapa....
Daun bawang, daun sup dan bawang goreng |
Sedia untuk dinikmati |
Alhamdulillah, rezeki saya malam ini sungguh menyelerakan!
No comments:
Post a Comment