Friday, June 15, 2012

Idola

Sebenarnya, saya tidak berapa gemar menggunakan perkataan ini. Ia diambil daripada perkataan bahasa Inggeris – idol – yang bermaksud patung sembahan atau dewa. Sungguh ia tidak islamik! Apabila dimelayukan, maksudnya mungkin sedikit berbeza – orang yang dijadikan inspirasi kerana kejayaan dalam sesuatu bidang – tetapi dek kerana telah tahu maksud sebenarnya, saya tidak mahu menggunakan perkataan ini. Biarlah apa pun tafsiran barunya.

Saya lebih gemar menggunakan perkataan role model atau Melayunya ‘watak contoh’. Itu lebih tepat bagi saya.

Dan, bila berbicara hal ini, sentiasa sahaja sebagai orang Islam, kita meletakkan junjungan kita Nabi Muhammad S. A. W sebagai watak contoh yang paling agung. Pun, tidak salah untuk mencari watak-watak contoh lain yang masih ada di sekitar kita, sebagai panduan dan rujukan dalam ilmu-ilmu tertentu.

Di negara Malaysia ini, saya mengagumi dua orang figura yang bagi saya, mereka telah memberi kesan tersendiri kepada pemikiran saya. Pertamanya, Dr. Danial Zainal Abidin dan yang kedua, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.


Tidak perlulah saya bercerita panjang tentang pencapaian dan laluan perjalanan mereka untuk berada di tahap ini, juga biodata mereka, kerana semua itu mudah dicari melalui enjin Google. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah tentang idea dan pemikiran mereka yang sangat kritis dan sesuai dengan suasana. Sentiasa sahaja pendapat mereka menjadi rujukan saya.

Buku-buku mereka insyaallah, semuanya ada dalam koleksi saya. Bukan sahaja idea, malah gaya penulisan mereka yang tip top itu turut saya gemari. Pun, bukanlah bermakna saya bersetuju dan menerima secara pasif setiap buah fikiran mereka, cuma setakat ini belum ada lagi yang boleh saya bangkang. Mereka bernas berkata-kata, bernas juga menulis. Saya bersyukur dengan kewujudan mereka berdua di bumi Malaysia ini.

Seorang saya ini hanya tahu membaca bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, tidak bahasa Arab. Itu kekurangan yang gagal saya atasi. Dek kekurangan itu, naskhah-naskhah mereka berdualah yang boleh membantu saya menjelajah lebih jauh walaupun tidak tahu bahasa Arab.

Ramai lagi sebenarnya watak contoh kegemaran saya, cuma mereka berdua ini yang mendahului senarai. Saya doakan agar lebih ramai ilmuwan di Malaysia mampu memberi impak yang positif kepada pemikiran masyarakat.

No comments:

Post a Comment