Sunday, June 10, 2012

Takdir


Dalam hidup, kita tidak mungkin akan dapat semua yang kita inginkan. Sekuat mana pun usaha yang kita lakukan, namun jika Allah tidak mentakdirkannya, kita tetap tidak akan mencapai atau mendapat apa yang kita usahakan itu. Ringkasnya, semua perkara dan kejadian adalah dalam genggaman Allah. Kita hamba, diberi ruang untuk berusaha tetapi jika gagal, terimalah penuh redha.
Sukar bukan, mendidik hati menerima pasrah takdir Ilahi?

Konsep takdir ini, sememangnya agak komplikated untuk difahami. Ramai yang tersalah tafsir dalam menterjemah apa itu takdir dalam kehidupan di dunia ini. Mereka enggan berusaha kerana kata mereka, jika Allah mentakdirkan mereka gagal, usaha macam mana pun akan tetap gagal juga akhirnya. Itu sudah takdir buat mereka. Juga, dalam kes lain, mereka yang melakukan kesilapan akan berkata, sudah ditakdirkan berlaku begitu. Sudah ditakdirkan mereka menjadi jahat. Apa nak buat, terima sajalah. Padahal, mereka sebenarnya yang mencari onar!

Begitukah?

Memang komplikated, sehingga konsep takdir ini dijadikan bahan jenaka bagi kumpulan free-thinker­ apabila menghina Islam. Kata mereka, “Well, Allah works in mysterious way, right?” dengan sinisnya. 

Sebagai umat Islam, kita wajar berasa marah dan terhina dengan kumpulan ini tetapi memulangkan penghinaan dengan penghinaan juga sememangnya tidak memberi apa-apa hasil. Mereka ketawa gembira kerana berjaya menjadikan kita marah, kerana memang itu tujuan mereka. Sepatutnya kita jangan marah, jangan menentang secara membuta tuli tetapi menjawab dengan hujah ilmiah. Pun, mampukah kita?

Itulah persoalan yang yang bermain di minda saya.

Saya memang gemar membaca blog-blog kumpulan ini. Jika mereka itu asalnya bukan Muslim, tidaklah saya terlalu sakit hati. Malangnya, ramai daripada mereka asalnya Islam dan mengubah pegangan kepada free-thinker a.k.a atheist kerana pergaulan dan pemikiran sendiri-sendiri yang tidak dipandu guru. Mereka berasa mereka bijak, menaakul dengan bukti-bukti saintifik, lalu menafikan wujudnya Tuhan lantas mempersenda-sendakan agama yang menyembah Tuhan, terutama agama Islam.

Mereka sebenarnya seronok mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati Muslim, dan lebih seronok lagi jika kenyataan itu dijawab dengan nada marah dan menghentam oleh Muslim yang membacanya. Mereka berasa berjaya menambah sakit hati dan jiwa Muslim.

Tugas kita sekarang (jika berasa bertanggungjawab ‘mengajar’ kumpulan ini yang sebahagian besarnya Melayu Malaysia dan Singapura) ialah memberi hujah yang bersesuaian dengan cara fikir mereka, yang ada bukti-bukti saintifik dan mampu membuat mereka merenung kembali kedangkalan ilmu mereka itu. Persoalannya, siapa yang mampu?

Ilmuwan agama kita tersangat ramai tetapi tidak pernah mahu mengambil kisah tentang kes seperti ini. Mungkin kurang penting, kerana apa yang lebih penting ialah berbahas tentang perkara furu’ yang kecil-kecil itu. Murtad itu tidak masuk dalam agenda pemikiran golongan ini. Saya sungguh sedih….

Entahlah. Siapalah saya untuk mengupas isu sebegini. Saya tiada sijil, tiada tauliah. Apa nak buat, itu takdir saya!

No comments:

Post a Comment