Kesihatan suami saya semakin baik akhir-akhir ini. Walaupun belum seratus peratus sihat, dia kelihatan lebih bertenaga dan semakin ceria hari ke hari. Sewaktu temujanji di HUSM Ahad lalu, keputusan imbasannya positif. Tiada batu dalam hempedu, cuma gastrik dan hipertiroidisme yang masih perlu dirawat. Alhamdulillah.
Dengan keputusan itu, suami saya berasa sangat bersyukur. Sebagai meraikannya, dia telah berpakat dengan jiran-jiran untuk mengadakan majlis tahlil dan jamuan kesyukuran di surau di hadapan rumah kami pada malam ini. Suami saya sudi menyumbang seekor biri-biri sederhana besar, berharga RM300.00 dan dua kilogram daging lembu untuk dimasak kari dan dimakan dengan roti.
Petang semalam, suami saya membawa pulang biri-biri yang bakal disembelih hari ini, dan malam tadi beberapa orang jiran lelaki telah datang mengupas kelapa di rumah kami. Pagi ini, suami saya membeli daging, dan tugas saya untuk memotongnya. Selepas solat Jumaat tadi, biri-biri itu selamat disembelih, disiang dan digulai. Semua tugas itu dilaksanakan dengan jayanya oleh kaum lelaki.
Alhamdulillah, sekarang, semua sudah masak dan menunggu masa sahaja untuk dijamu pada malam nanti. Semoga Allah memberkati.
No comments:
Post a Comment