Friday, June 22, 2012

Cuti Rehat

Anak saudara suami saya, Nurul Afiqah mendapat tawaran latihan amali di Kolej Teknologi Bestari, Setiu dan perlu melapor diri pada Rabu, 20 Jun. Tiada pilihan lain, suami saya menawarkan diri untuk menghantar beliau ke sana dan tentu sekali, saya akan turut bersama-sama.

Selasa, 19 Jun, saya mengisi borang Cuti Rehat Khas. Kesempatan seperti ini jarang-jarang ada, jadi saya mohon cuti dua hari terus. Maknanya, Rabu dan Khamis, bersambung dengan Jumaat dan Sabtu. Saya tidak sabar untuk menikmati cuti pada saat orang lain bekerja!

Seperti dirancang, jam 6.45 pagi Rabu itu, saya, suami, Afiqah dan Kak Rohaini bertolak ke Setiu. Perjalanan hanya memakan masa selama satu jam tiga puluh minit. 8.15 pagi, kami tiba di Kolej Teknologi Bestari. Alhamdulillah.

Selepas sarapan, kami menunggu Afiqah menyelesaikan urusan pendaftarannya. Kira-kira jam 10 pagi, segalanya selesai dan kami bertolak pulang. Juga selama satu jam tiga puluh minit, kami tiba di Batu 8 pada 11.30 pagi.

Esoknya, saya masih bercuti.

Suami turun ke sekolah jam 7.00 pagi. Saya mengambil peluang cuti ini untuk berpuasa, dan menyelesaikan markah SAPS yang bakal ditutup pengisiannya pada esok hari. Pun, saya ini tidak berapa kuat. Jam 7.35 pagi, saya rasa sangat mengantuk. Saya sambung tidur dan hanya bangun pada jam 11.15 pagi!

Rupa-rupanya, bercuti begini mengundang sunyi yang luar biasa. Saya kehabisan rasa. Tidak tahu apa yang bergelodak dalam jiwa apabila bersendirian begini lama-lama. Memenuhi masa dengan tidur sungguh tidak seronok!

Jam 2.00 petang, suami saya pulang bersama sebungkus nasi ayam untuk hidangan tengah harinya. Saya cuma membancuh teh o ais limau sebagai penghilang dahaganya. Dia makan, saya kembali ke bilik.

Aduh! Hari ini menjadi sangat panjang! Itulah, siapa suruh bercuti tanpa sebab? Baru tahu betapa bosannya bersendirian di rumah tanpa teman dan tanpa kerja. Saya sangka, sunyi itu sangat indah bagi saya, rupanya tidak. Ada juga waktu-waktunya saya bosan bersendirian. 

Tetapi saya tidak menyesal 'mencutikan' diri pada hari ini. Sekurang-kurangnya, saya tidak penat walaupun berpuasa. Alhamdulillah, selesai puasa ganti saya yang ke-7 dan ada lagi dua hari perlu saya langsaikan sebelu 1 Ramadan tiba.

No comments:

Post a Comment