Bulan ini - pada setiap tahun - kaum ibu dirai. Mereka diberi penghargaan yang tinggi, bukan sahaja daripada anak-anak tetapi juga media dan masyarakat. Bulan ini, bulan untuk ibu dikenang dan dihargai.
Alhamdulillah, saya masih punya ibu. Ibu saya ialah ratu di hati saya. Benar, saya tidak mampu untuk mengunjunginya setiap hari tetapi ibu tetap dekat di jiwa saya. Jasa baktinya terlalu besar, tidak mampu saya balas sampai bila-bila. Pengorbanannya membesarkan kami berlapan, dalam kehidupan yang menghimpit, tidak akan mampu saya tandingi.
Tersentuh hati dengannya? Oh! Tidak pernah sama sekali. Jika pun ada, saya tidak mungkin akan menyimpannya dalam hati kerana statusnya sebagai ibu terlalu tinggi untuk saya membiarkan rajuk saya berpanjangan.
Terima kasih ibu, kerana mendidik saya ke tahap ini. Menjaga segalanya - makan pakai, sakit pening, budi akhlak, pelajaran dan semuanya - tanpa keluhan. Tanpa meminta balasan.
Terima kasih ibu, kerana memahami dan mengerti, menjadi pendengar dan penasihat, memberi perangsang dan semangat, pada saat kami memerlukan.
Maafkanlah, kerana ada ketikanya kami gagal memberi yang terbaik buat ibu. Ada ketikanya kami menggores luka di hati ibu. Ada ketikanya kami biarkan kesedihan bersarang di jiwa ibu. Maafkanlah, kami ini ada waktunya mengikut perasaan dan lupa menjaga adab terhadap ibu. Maafkanlah!
Terima kasih Tuhan, mengurniakan kami ibu yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Lindungilah ibu kami Ya Allah, dalam perlindungan-Mu yang tidak pernah lalai!
No comments:
Post a Comment