Thursday, May 24, 2012

Zaman

Terseksakah menjadi pelajar pada zaman sekarang?

Seorang ibu bertanya saya siang tadi, mahukah saya mengadakan tuisyen peribadi di rumah? Dia ingin saya mengajar anaknya subjek Matematik Tambahan. Malangnya, saya menolak. Pun, saya mempelawa anaknya ke sekolah Khamis nanti untuk sesi tutorial jika dia mahu.

Sejenak saya terfikir, cuti yang tiba selama dua minggu ini rupa-rupanya menjadi satu kerisauan pada sesetengah ibu bapa. Risau kerana selama dua minggu ini anak-anaknya akan berehat dari belajar dan memenuhi masa dengan bermain dan berkawan. Itu perkara yang tidak berfaedah, bukan?

Saya rasa sengsara. Belajar itu sesungguhnya terlalu wajib hingga apa-apa sahaja selain belajar menjadi tidak berfaedah. Memang, jika saya pelajar masa kini, saya sangat sengsara!

Mujurlah pada era saya, perkara sebegini belum keterlaluan. Arwah ayah yang begitu mengambil berat dan prihatin itu pun tidak pernah memaksa saya belajar semasa cuti sekolah. Cuti bagi ayah ialah cuti. Buatlah apa sahaja kerana saya sedang bercuti. Tetapi, apabila tamat cuti, teruskan tanggungjawab sebagai pelajar. Dan alhamdulillah, cara ayah yang sebegitu telah menjadikan anak ayah ini tidak tergolong dalam golongan yang rugi... Saya belajar, tetapi saya tetap mampu melayan hobi saya yang lain pada masa cuti. Saya menonton TV, saya membaca bahan bacaan yang bukan buku pelajaran, saya menghafal lagu, saya menulis diari, dan segalanya yang saya suka semasa cuti. Terima kasih ayah kerana terlalu memahami jiwa seorang anak seperti saya!

Sekarang, saya simpati pada anak-anak didik saya. Dunia mereka disempitkan walaupun pada zaman yang tiada sempadan ini. Mungkin juga kerana zaman ini ada facebook, ada smartphone, ada internet, ada cyber cafe dan pelbagai lagi, maka pemantauan ibu bapa menjadi keterlaluan. 

Entahlah. Saya tidak tahu. Mereka yang ber'title' ibu dan bapa mungkin lebih mengerti.



1 comment:

  1. Perfect!

    Akan nanti lahirlah anak2 yg hanya tunduk mengadap buku akademik di meja 25jam setiap hari menjadikan mereka yg kononnya cemerlang dalam akademik (itupun kalau cemerlang), tetapi sempit.

    "Irshad Manji tu siapa?"

    lebih teruk, "Ambiga tu APA?"

    *jahilness overload*

    Kesian. Tertipu dalam mengejar keputusan 'warna-warna yang berterbangan'.

    Lucky we have ayah and ma!

    ReplyDelete