Wednesday, December 31, 2014

Penutup

Hari ini pengakhirannya. Rabu 31hb Disember 2014 menjadi penutup satu tahun yang penuh ujian. Esok, Khamis 1hb Januari 2015 hanya membuka sebuah diari baru, sedang kisah dan cerita dari 2014 masih terus bersambung dan berulang, mungkin.

QZ8501 menjadi tragedi ngeri melibatkan pesawat Malaysia yang ketiga pada tahun ini. Tragedi menyayat hati yang meragut 162 nyawa ini sungguh memilukan. Terbayang-bayang suasana hingar dan kelam kabut saat pesawat menjunam ke laut. Tuhan! Ampunilah mereka.

Selain banjir yang menginsafkan, kemalangan pesawat yang menakutkan, ekonomi negara yang merudum, ada banyak lagi kisah yang iktibarnya perlu dihayati. Bukan semua membawa duka, kerana seperti selalu kita perlu mencari hikmah yang pasti terselindung di sebalik segala itu.

2015, jelmalah dengan sinar dan cahaya. Biarpun hari-harimu masih sama dan serupa, namun kami tetap mengharap sebuah kedamaian dan ketenangan. 

Amin.

Sent from Samsung Mobile

Kg Laloh

Pagi Selasa, 30hb Disember. Suami saya mengajak saya menziarah abang Awang dan keluarganya di Kg Laloh dan Manek Urai yang semua tahu, dilanda banjir yang luar biasa sejarahnya. Saya teruja dan terus bersetuju.

Kami cuba menghubungi mereka tetapi talian sangat teruk. Mujur sms boleh dihantar dan anak perempuan mereka, Suraya meminta kami membawa pakaian dan tikar.

Jam 10 pagi, kami turun ke PKT dahulu untuk membeli sedikit keperluan buat mereka. Yang ada cuma beras, susu, biskut dan air kotak. Sardin, bawang, gula, lilin, air mineral sudah kehabisan. Mujur di Nilam Puri, gula masih kedapatan.

Sekitar 11 pagi, kami memulakan perjalanan menuju ke sana. Awalnya ia lancar tetapi siapa sangka menjadi semakin sesak setiba di Kuala Krai. Kami singgah makan tengah hari di kedai kecil di Kg Keroh sekitar jam 12.30 tengah hari. 

Perjalanan seterusnya menjadi semakin panjang dan panas. Dek jalan rosak, kami bersesak-sesak selama 3 jam dari Guchil ke Laloh yang sepatutnya cuma setengah jam! Mencabar sekali, tetapi kami tidak mahu mengeluh. Abang Awang dan keluarganya sedang menunggu kedatangan kami. 

Apabila jam ke angka 4, barulah kami tiba di rumah Suraya. Sedih melihat suasananya. Ia bukanlah rumah, cuma warung kedai tempat Suraya berniaga nasi setiap pagi. Suami Suraya waktu itu sedang mengepam tilam yang diberi anaknya, untuk ayahnya tidur. Dengan hanya bertuala, dia melakukan kerja itu kerana kain sarung tidak ada sehelai pun! Abang Awang cuma terduduk lesu, manakala Kak Wan masih di dapur (jika boleh dikatakan dapur) memanaskan air.

Suami saya mengambil kotak-kotak pakaian dan makanan dari kereta untuk mereka. Segera Suraya mencari kain pelekat dan diberi kepada suaminya, sambil membelek-belek pakaian lain di dalam kotak itu. Saiz badannya lebih kurang saya, harapnya dia selesa memakai baju-baju pemberian saya itu.

Tidak lama kami di situ. Walaupun dalam keadaan sebegitu, Kak Wan tetap menghidangkan teh o bersama biskut dan roti buat kami. Terima kasih. 

Abang Awang pula meminta sedikit duit dari kami kerana dia sangat memerlukan. Suami saya menghulur sejumlah RM300 untuk mereka.

Sedih melihat suasana yang sehiba itu. Saya hanya mampu berdoa agar mereka diberi kekuatan untuk menghadapi masa hadapan.

Jam 5 petang kami pulang, dan jalan dari Laloh ke Manek Urai masih sesak. Hampir 3 jam kami terperangkap di situ dan saya sudah mula berasa pening. Almaklumlah, naik Pajero....

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah pada jam 11.03 malam. 


Sent from Samsung Mobile

Monday, December 29, 2014

Berkongsi

Jumaat 26hb Disember, sekitar jam 5 pagi,  bekalan elektrik di Batu 8 dan Kampung Kor diputuskan. Rumah yang terlibat adalah di kawasan rumah ma dan sekitarnya. Saya di Kampung Chenok masih ok.

Waktu begini, saya diberi ruang oleh Allah untuk berkongsi. Sempatlah mereka datang untuk mengecas telefon di rumah saya.

Jam 3 petang, rumah kami juga terputus bekalan elektrik. Sangka saya ia akan berpanjangan tetapi cuma sejam lebih sahaja. Menjelang Asar ia kembali berfungsi.

Dan malam itu, rumah kami dimeriahi dengan kehadiran mek, Nozah, Udin, Hani, Atiyah, Haziq dan Joe yang mahu menumpang tidur. Saya berbesar hati menerima kehadiran mereka dan sungguh, berkongsi begini memberi satu perasaan yang indah.

Pun, jam 3.30 pagi Sabtu itu saya dikejut suami mengatakan elektrik terputus lagi. Dan kali ini, ia membawa ke malam.

Kebetulan,  kakak ipar saya kak Rohaini akan berkenduri hari ini. Bukanlah kenduri besar, sekadar majlis makan-makan untuk keluarga dan jiran sempena pernikahan anak keduanya Zulhusni. Bayangkan, tanpa elektrik kenduri tetap diteruskan!

Tanpa perlu memanjangkan cerita, Alhamdulillah kenduri berlangsung sempurna walaupun ketibaan besan dari Sabah tertunda dek penerbangan Air Asia KK - KB yang tiba-tiba berpatah balik. Pasangan dari Sabah itu kami bawa menginap di rumah kami juga kerana hotel berdekatan tiada bekalan elektrik. 

Selesai majlis, sekitar jam 10.30 malam, elektrik pun kembali tetapi hanya di rumah kami. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk mengecas telefon dan bermandi manda. Telaga di rumah lama mek itu cuma satu, sedang penggunanya sangat ramai. Tentu sahaja rumah kami menjadi pilihan terbaik. Kami mengalu-alukan semua.

Ahad, masih begitu. Sudah masuk hari ketiga elektrik tiada. Hanya di rumah kami mereka mampu mencari penyelesaian. 

Urusan masih belum selesai. Selain melayan tetamu dari Sabah, Nozah juga akan kembali ke Perak hari ini. Kami perlu menghantarnya ke airport yang jalan alternatifnya memakan masa 75 minit. Begitulah keadaannya apabila banjir melanda. Jalan biasa yang tidak sampai 40 minit perjalanan itu tidak mampu kami redahi.

Dan hari ini, Isnin, pagi-pagi lagi saya menerima dua berita gembira. Pertama, rumah ma, mek, dan semua di seberang sana sudah ada elektrik dan kedua, sesi persekolahan 2015 ditangguhkan ke tarikh 11 Januari. Alhamdulillah.


Sent from Samsung Mobile

Friday, December 26, 2014

Tenggelam

Ya Allah, belum pernah seumur empat puluh dua tahun hidupku melihat bah yang sebegini menakutkan. Belum pernah Ya Allah aku terfikir betapa bah kali ini menjadi sangat luar biasa. Pun siapalah aku, akalku terlalu kecil untuk mencapai ilmu-Mu.

Sahabat dan saudaraku, pada saat segetir ini aku tahu kepayahan yang kalian lalui. Biar pun aku belum bertemu gilirku, tetapi menyaksikan tenggelamnya bandar kesayanganku bersama-sama sekalian penghuni yang terpaksa bertarung nyawa mencari perlindungan, aku hulurkan jutaan doa. Semoga ujian ini menjadi penyebab sucinya diri kalian dan selepas ini, satu permulaan baru yang penuh garapan harapan akan kalian bina.

Aku hanya mampu menghulur doa dan sedikit bantuan yang tidak seberapa. Berat mataku melihat, tidak akan pernah sama berat bahu kalian yang menggalas. Namun percayalah, ujian ini sesungguhnya penuh dengan pengiktibaran. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu dilalui. Yakinlah.

Biar semua tenggelam, kerana sinar mentari pasti menanti selepas ini. Cuma, jangan tenggelamkan kesabaran dan keimanan kalian. Kami akan terus mendoakan agar Allah memberi keampunan dan mempermudah segala kesukaran kalian pada saat ini.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 24, 2014

Banjir

Ujian banjir kali ini kelihatannya amat mencabar. Betapa besar kuasa-Mu Tuhan, kami pasrah menerima.

Semoga seluruh mangsa banjir tabah menghadapi setiap dugaan. Yakinlah, ada hikmah di sebalik segalanya. Allah mengetahui sedang kita tidak mengetahui.

Ya Allah, lindungilah kami seluruhnya. Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 23, 2014

Tiba

Jumaat, 19hb Disember 2014

Malam itu, saya tidur lena sekali. Belum jam 10.00 saya sudah dibuai mimpi, dan terjaga pada jam 5.08 pagi. Syukur pada Allah, kenikmatan tidur saya tidak terganggu sedikit pun dengan pelbagai peristiwa luar jangka yang berlaku. Alhamdulillah.

Sabtu, 20hb Disember 2014

Jam 7.30 pagi, kami turun bersarapan di kedai mamak berhampiran. Nasi goreng berteman papadom dan teh tarik cukup memberi kesegaran. Sarapan kami percuma, kerana Al Quds Travel memberi peruntukannya. Terima kasih.

Seterusnya, tanpa perlu menunggu lama kami menaiki bas ke KLIA 2. Hampir jam 10 pagi kami tiba di sana dan terus berurusan di kaunter check in. Memang agak memakan masa kerana barang-barang kami sangat banyak, tetapi kami ceria seadanya.

Kisah rumah kami dipecah masuk pagi semalam rupanya sudah diketahui teman-teman seumrah kami. Masing-masing ingin mengetahui dengan terperinci. Saya dan suami bercerita seadanya.

Jam 12.30 kami bersedia di balai berlepas dan 12.55 tengah hari pesawat kami berlepas ke Kota Bharu. Penerbangan cuma empat puluh minit dan saya lena lagi. 

Di Lapangan Terbang Kota Bharu, keluarga kami telah sedia menunggu. Cuaca kelihatan mendung dan hujan menyambut ketibaan kami. Tiba di rumah Kak Zan, kami menikmati hidangan tengah hari. Mereka rancak bercerita tentang kisah kelmarin, dan kami rancak bertanya.

Hanya pada jam 4.30 petang barulah saya sempat melihat rupa rumah saya yang dipecah masuk itu. Hanya dua buah TV, sebuah laptop buruk yang saya sudah mahu campak ke tong sampah, satu kabel pengecas laptop dan buku akaun Tabung Haji yang diambil. Kerugian tidak sampai RM2000 pun pada perkiraan saya. Mujurlah dua biji laptop yang kami simpan dalam almari pakaian tidak diambil penjahat itu. Allah menghalang pandangan mereka daripadanya. Alhamdulillah!

Selepas maghrib, kami keluar makan nasi tomyam di restoran selera Batu 4 dan seterusnya singgah di G-Orange untuk membeli TV baru. Samsung 40'' menjadi pilihan dengan hara RM1199. Sempatlah suami saya menonton 30 minit terakhir perlawanan final Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Thailand yang menyaksikan kekalahan pasukan Malaysia dengan agregat 3 - 4.

Tidur saya malam ini masih lena seperti biasa.

Sunday, December 21, 2014

Pulang

Khamis, 18hb Disember 2014

Langkah kami meninggalkan Tanah Suci kali ini menjadi satu cerita baru. Begitulah hidup dan kehidupan, perancangan dan aturan, segalanya tetap dalam genggaman Tuhan. Kita hamba cuma, terimalah dengan redha. Tuhan menguji dan kita wajib melalui.

Apabila penerbangan Air Asia dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang dijadualkan berlepas pada jam 7.30 malam waktu Arab Saudi tertunda hampir empat jam, memang ada resah mengganggu hati dan jantung saya. Berada dalam mode menunggu memang sangat menyeksa, apatah lagi di tempat yang tiada langsung keselesaannya. Alhamdullillah, Allah memberi kesabaran buat kami. 

Jumaat, 19hb Disember 2014

Seperti saya jangka, penerbangan ke Kota Bharu jam 3.30 petang tidak sempat kami gapai dek kelewatan kami tiba. Tidak mengapa, jalannya tentu ada.

Dalam masa yang sama, keluarga di rumah memaklumkan yang kediaman kami diceroboh orang awal pagi tadi. Dalam cemas dan bimbang, berita itu mereka sampaikan. Pun, kami menerima segala tanpa gundah. Ada hikmah tentunya di sebalik semua ini. Kami enggan terjerat dalam perasaan yang tidak menentu. Biar ada rasional dalam setiap penaakulan. 

Wajah suami saya tidak berkerut sedikit pun. Malah dia lagi bertanya saya, "Ti stressed?"

"Tidak." Saya menjawab ikhlas. Dan dia menyambung, "Jangan stressed ya, tak elok. Saya pun tak suka tengok... "

Agensi umrah kami, Al-Quds yang diwakili mutawif Ustaz Termize ternyata cemerlang dalam menangani masalah yang tiba. Kasihan juga pada ustaz yang nampak penat menguruskan segala tetapi Alhamdulillah, kami tidak dibiar begitu saja. Menginaplah kami di hotel City, Banting malam itu kerana penerbangan pulang ke Kota Bharu hanya akan berlepas pada 12.30 tengah hari esok.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 17, 2014

Pandangan

Di mana-mana dalam masyarakat kita, seruan menutup aurat tidak pernah tiada. Menutup aurat itu wajib ke atas semua perempuan yang beragama islam dan telah akil baligh.

Dalam kebanyakan ceramah agama, perkara inilah yang acap diberi penekanan. Molek, kerana itu suruhan Tuhan. Saya tidak mungkin menafikannya dan saya sehingga kini masih berusaha menutup aurat dengan sempurna agar lengkap ciri muslimah saya ini.

Cuma terasa juga berat sebelah dalam lontaran suara para penceramah ini. Sungguh saya rindu untuk mendengar seruan penceramah ini menyeru kaum muslimin untuk menjaga pandangan mereka juga. Insyaallah aurat mereka sempurna terjaga kerana ia tidak sesukar mana tetapi bab mata dan bicara sering dibiar sepi. Mungkin ada, tetapi jarang-jarang.

Ingatkanlah juga kepada lelaki-lelaki ini wahai penceramah, kalau pun wanita itu berbogel di hadapan mereka, mereka tetap haram memandang apa lagi melakukan apa-apa. Beritahu kepada kaum lelaki ini wahai penceramah, wanita untuk dihormati dan dilindungi, bukan objek seks semata-mata.

Ada satu cerita, seorang wanita mabuk tidak mampu berjalan pulang ke apartmennya. Seorang lelaki A yang tidak dikenalinya membawanya menaiki lif dan menghantar ke apartmen hingga wanita itu selamat. Di dalam lif, ada seorang lelaki lain memerhati perbuatan lelaki A itu dan bertanya, kenapa tidak diambil peluang sahaja pada wanita mabuk itu? Lelaki A menjawab, saya menghormati wanita.

Jika minda lelaki sebegitu, tentunya kes jenayah rogol tidak akan menjadi-jadi. Tapi bagaimana mahu membina minda lelaki sebegitu?

Tentu sekali dengan pendidikan. Didiklah lelaki kita menghormati dan melindungi wanita. Bukan hanya mendidik wanita untuk menutup aurat. Kita seolah-olah tidak memberi keseimbangan dalam mendidik masyarakat.

Saya pernah terbaca, menundukkan pandangan itu bukan bermaksud pejam mata dari memandang aurat wanita semata-mata tetapi lebih kepada menjaga nafsu sendiri. Jika nafsu pun tidak mampu dikawal, apalah kuatnya seorang lelaki?

Takkan nampak betis wanita sahaja terangsang sudah tidak tertanggung?

Bicara lelaki juga ada kala memualkan. Di tempat kerja, saya mengelak berbicara dengan lelaki yang fikirannya tiada lain, wanita itu seks dan seks itu wanita. Bodoh leleaki seperti ini. Mereka tidak langsung ada rasa hormat pada wanita malah menjadikan wanita bahan gurauan semata-mata! Apakah tiada perkara lain dalam kepala mereka selain memikirkan untuk memenuhi keperluan kepala yang satu lagi?

Kadang-kadang saya mahu memberitahu wanita, kita menutup aurat kerana itu perintah Allah. Allah mahu imej wanita muslimah ini sopan dan berbeza daripada jahiliah, dan sesiapa yang melihat akan tahu dia wanita muslimah. Sesiapa yang melihat akan berasa aman. Berasa mahu menghormati. 

Tidak perlu timbulkan tentang takut dirogol, atau bimbang lelaki berdosa kerana melihat aurat kita. Juga tidak perlu samakan wanita menutup aurat dengan gula-gula yang berbalut yang tidak dihinggapi lalat. Kami bukan gula-gula. Kami manusia seperti lelaki juga. Itu tokok tambah yang melucukan hingga dijadikan bahan senda orang-orang kafir.

Menonton ceramah seorang ustaz tersohor yang mengatakan wanita ialah kanak-kanak yang tidak akan dewasa cukup menghenyak perasaan saya. Kami dianggap tidak matang dan suka menipu suami. Tidak sangka serendah itu pandangan orang agama terhadap kami. Apa dalilnya, saya pun tidak tahu.


Sent from Samsung Mobile

Untuk Kali Ini

Siapa sangka, saya akan uzur juga di sini. Sebelum ke sini saya sudah pun mengambil suntikan provera untuk meniadakan haid tetapi sungguhlah, kita hanya merancang. Ini anugerah Allah lalu saya redha.

Bohong jika saya tidak kecewa tetapi itu tidak mengubah apa-apa. Setiap kali bersendirian di bilik, hati saya disentuh pilu lebih-lebih lagi apabila menonton siaran langsung dari masjidil haram. Pun, saya wajib redha. Ini bahagian saya untuk kali ini dan saya tahu Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya.

Semoganya, akan ada lagi ruang buat saya ke sini pada tahun-tahun mendatang. Betapa saya tidak puas mendakap waktu di sini. Sungguh saya belum mahu pergi tetapi tempoh buat saya kali ini telah tamat.

Ya Allah, terima kasih memberi aku ruang biar pun tidak panjang. Terima kasih menghadirkan aku ke sini dan jemputlah aku lagi nanti. Hanya pada-Mu Allah aku meminta.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 16, 2014

Pasrah

Betapa sukarnya memahami sesuatu yang kita tidak mahu tetapi ia berlaku. Betapa payahnya mendidik hati menerima pasrah segala ketetapan Tuhan!

Di sini aku menjadi pilu. Terasa dosa menggunung tidak terpikul olehku! Tetapi wajarkah aku mencari kesimpulan sendiri atas hakikat yang aku alami ini?

Tuhan, tulisan takdirku di tangan-Mu. Betapa kerap aku meminta, pun kenyataan tetap wajib aku terima. Janganlah Engkau jadikan aku hamba-Mu yang rugi.


Sent from Samsung Mobile

Makkah al Mukarramah

Kami memulakan perjalanan menuju Mekah sekitar jam 2.45 petang. Tiba di Bir Ali, kami singgah berniat dan bersolat sunat ihram sebelum kembali meneruskan perjalanan. 

Ada sedikit sedih dalam diri. Kesihatan saya kelihatannya tidak seperti biasa. Tetapi saya terima dan redha dengan segala pemberian-Nya. Dia lebih tahu sedang saya tidak tahu.

Hampir jam 7.00 malam, bas berhenti untuk solat jamak dan makan malam. Saya cuma menjamah dua potong murtabak dan secawan teh o panas.

Hampir jam 10 malam tibalah kami di hotel Anwar Deafah yang cuma beberapa ratus meter dari masjidilharam. Kami makan dahulu sebelum dibawa menyelesaikan kerja umrah sekitar jam 11.30 malam.

Tawaf, saie dan bercukur. Perkiraan saya ia tidak selama mana tetapi mutawif kami mahu semua bergerak serentak menyebabkan penantian menjadi panjang. Ya Allah, ampunilah saya!

Semuanya selesai hampir jam 3 pagi. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Allah!

Semoga umrah ini mabrur. Amin.

Sent from Samsung Mobile

Madinah al munawarah

8 - 9 Disember 2014.

Pesawat kami mendarat di lapangan terbang Jeddah hampir jam 10 malam waktu tempatan. Cuaca tidak sesejuk mana tetapi sedang elok dengan suasana. Tidak berpeluh. 

Urusan imigresen kelihatannya lancar. Sebenarnya, untuk menghadapi urusan di sinilah yang merisaukan saya sejak dari rumah lagi. Saya risau dengan kesesakan manusia dan kelambatan proses. Alhamdulillah ia tidak begitu kali ini. Hanya selepas sejam, kami sudah boleh menaiki bas menuju ke Madinah.

Rasa lega saya dapat berehat di atas bas. Apa tidaknya, ruangnya lebih luas berbanding di atas pesawat tadi dan saya mampu lena sebentar sebelum bas berhenti di R n R untuk solat jamak dan makan. Orang pun tidak ramai dan saya sempat bersalin pakaian lagi.

Perjalanan ke Madinah dari Jeddah sebenarnya tidak sampai lima jam pun. Dicampur lena, saya rasa ia sangat sebentar. Kami tiba di hotel Madinah Concorde sebaik masuk waktu Subuh dan sempatlah kami bersolat Subuh di masjid nabawi.

Lengang Madinah ini rupanya. Ruang solat banyak yang kosong dan jalanan juga sangat selesa. Indah sekali jika sentiasa begini!

Hari ini kami mengambil peluang berehat dan tidur untuk memulih tenaga yang banyak hilang sepanjang perjalanan.

Jam 9 malam, kami dibawa ke raudhah oleh ustazah dari indonesia. Berhimpit sekali di sini tetapi syukur, saya dapat berada di raudhah kali ini setelah tidak mampu ke sini pada kehadiran tahun lepas kerana uzur.

10 Disember 2014

Hari kedua. Lawatan diatur oleh pihak agensi kelihatannya sama dengan apa yang pernah saya lalui dalam dua perjalanan lepas. Kami ke masjid quba', bukit uhud dan ladang tamar. 

Selebihnya, kami berulang alik ke masjid dan meneroka sendiri kawasan sekitar.

11 Disember 2014

Usai solat Zohor, kami bergerak ke Mekah. Selamat tinggal Madinah. Selamat tinggal Rasulullah. Insyaallah aku akan kunjungimu lagi...


Sent from Samsung Mobile

Sunday, December 14, 2014

Aku Di Sini

Isnin, 8 Disember 2014. 10.30 malam.

Mata saya tetap enggan pejam. Sudah lebih separuh penerbangan ini namun entah mengapa kantuk yang mencengkam tidak mahu menghadirkan lena. Jam waktu Malaysia sudah menghampiri 10.30 malam.

Pagi tadi saya bangkit seawal 5.15 pagi. Segala persiapan sudah hampir seratus peratus, cuma dapur sahaja yang masih belum dikemas elok. Seusai solat beberapa rakaat, sebelum azan subuh berkumandang, saya usaikan tugas di dapur sambil
membiar mesin basuh bekerja.

Alhamdullillah, hasrat untuk menghilang rindu pada bumi kecintaan ini hampir menjadi nyata. Sebentar lagi kami akan berangkat menuju ke sana. Ya Allah, permudahkanlah.

Jam 9.00 pagi, keluarga tersayang menghantar kami ke lapangan terbang. Bermulalah cabaran perjalanan yang sangat panjang dan memenatkan ini buat kami berempat.
Di KLIA, kami tidak sempat makan pun. Semuanya umpama mengejar masa. Menanti jam ke angka enam untuk berlepas ke Jeddah, kami sungguh tergesa-gesa. Mujur semuanya berlangsung lancar walaupun kepenatan sangat dirasai.

Kini, kami selamat berada di atas pesawat Saudi Airlines ini. Tempat duduk kelas biasa beginilah, sempit dan kecil. Tetapi kami pasrah. Bukan keselesaan yang kami cari tetapi keredhaan Allah dan mensyukuri nikmat-Nya mengizinkan kami ke sini lagi.



Sent from Samsung Mobile

Sunday, December 07, 2014

Kukunjungi-Mu

Hampir lapan belas bulan yang lalu aku meninggalkan jejak di bumi itu, kali ini aku mahu kembali menyahut lagi panggilan-Mu. Aku mahu berada di sana lagi. Jika mampu, berkali-kali aku ingin pergi. Semoga ini bukan yang terakhir buatku. Semoga kali ini, aku lebih tekun mendekati-Mu.

Tuhan, aku tahu Engkau ada. Biar di mana aku meminta, aku tahu Engkau mendengar. Biar di mana aku berada, aku tahu Engkau dekat. Biar di mana aku berdoa, aku tahu Engkau melihat.

Cuma, aku rindu semerbak bumi Haramain. Aku rindu Masjid Nabawi, Baitullah dan Masjidil Haram. Aku rindu. Aku rindu.

Tuhan, terimalah aku.




Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 03, 2014

Saudara

Pagi Isnin itu, saya dan suami bertolak ke Kampung Laloh, Kuala Krai untuk menziarahi abang sulungnya yang tinggal di sana.

Kami memanggilnya abang Awang. Rasa saya, usianya sudah menjangkau 70 tahun, hampir sebaya dengan arwah ayah. Dia abang sulung sebapa tetapi berlainan ibu dengan suami saya. 

Dulu, sekitar tahun 1970-an, abang Awang berjiran dengan kami di Batu 8. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, dia dan keluarga berhijrah ke Kampong Laloh dan menetap di sana hingga sekarang. 

Jarak Kampung Laloh dengan Batu 8 hampir 80 kilometer. Perjalanan kami memakan masa satu jam setengah. Kami tiba pada jam 10.40 pagi, disambut mesra oleh Kak Wan, isteri abang Awang yang sangat peramah.

Abang Awang tiada di rumah. Kata Kak Wan, abang ke kebun, mencari pucuk paku. 

Mulanya, kami berhajat untuk singgah sekejap sahaja. Sekadar bertemu dan berbual serta memohon maaf atas kesilapan sebelum kami berumrah nanti. Tetapu Kak Wan beria-ia mengajak kami makan tengah hari di sini. Kami tidak upaya menolak.

Lama juga menunggu abang pulang. Hampir pukul 12 tengah hari baru dia tiba. Rupanya, selain pucuk paku, abang membawa pulang seekor ayam kampung yang baru disembelih. Saya membantu Kak Wan memasak gulai darat ayam kampung itu. 

Selesai solat zohor, kami sama-sama menikmati makan tengah hari yang sungguh lazat. Gulai darat ayam kampung sentuhan Kak Wan enak sungguh. Diteman pula pucuk paku celur cecah budu, ikan kerisi goreng dan sayur campur. Sedap! Saya dan suami makan bertambah-tambah.

Jam 3.00 petang, kami meminta diri. Insya Allah kami akan datang lagi jika ada ruang waktu dan keizinan-Nya.



Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 27, 2014

Bacalah


Selasa baru-baru ini saya ke HUSM untuk temujanji dengan doktor pakar. Seperti biasa kami akan keluar awal, sekitar 12.30 tengah hari walaupun temujanji itu akan berlangsung pada jam 2.00 petang.

Kami tidak terus ke HUSM tetapi singgah makan tengah hari dahulu di gerai berdekatan. Selepas itu suami saya akan tinggalkan saya di HUSM dan dia pulang menunggu di rumah. Bukan apa, menunggu di HUSM sangat lama dan tentu membuang masa. Lagi pun, saya selesa sendirian. Saya resah kalau ada yang menunggu saya dalam tempoh lama.

Si HUSM, solat zohor boleh sahaja di surau yang sangat dekat dengan klinik pakar sakit puan saya itu. Kemudian menantilah saya untuk dirawat.

Kebetulan saya tiba awal maka saya yang pertama dipanggil. Rawatan masih yang sama. Saya diimbas dan disuntik. Selesai.

Jam baru ke angka 3. Selalunya sekitar jam empat baru selesai. Saya mengambil peluang ini untuk meninjau-ninjau gerai di sekitar situ.

Dan hasilnya, saya berbelanja sebanyak RM130 untuk lima buah buku baru, seperti gambar di atas.

Saya bakal mencari masa untuk membaca buku-buku tersebut. 

Sent from Samsung Mobile

Selamat Bersara

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
Yang terkhilaf dimaafi,
Yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka titik berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu rindu,
Selamanya pun bergelar guru

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa
Bilik darjah dan anak-anak keletah
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuat tempat bernama sekolah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat tinggal dalam doa berkat
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya
Pasti beroleh keredaanNya

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir! 

(Ghazali Lateh)

Selamat bersara buat dua orang guru yang sangat memberi makna kepada SMK Kampong Chengal.

Tuan Pengetua - Tuan Haji Sudin bin Harun yang bersara wajib, genap 60 tahun pada 2 Januari 2015 nanti. Pun kerana tarikh itu tidak memungkinkan sebuah sambutan disebabkan sesi persekolahan 2015 belum bermula maka kami sepakat meraikan beliau pada hari terakhir persekolahan baru-baru ini. Ia meriah sekali. Bermula dengan perarakan guru mengiringi Tuan Pengetua yang segak berbaju melayu songket lengkap bertanjak dan berkeris, dipersembahkan pula acara silat dan seterusnya Tuan Pengetua dibawa bersemayam di singgahsana.

Acara seterusnya tentulah ucapan-ucapan, bacaan biodata, tayangan slaid, penyampaian hadiah dan akhir sekali kami berarak lagi dengan sepuluh buah kereta antik menuju ke rumah beliau dan dihidangkan makan tengah hari di sana.

Semuanya berjalan seperti dirancang, Alhamdulillah.

Empat hari sebelum itu, kami telah pun meraikan persaraan Tuan Haji Mohd Salleh bin Yaacob, seorang guru Fizik yang kami kasihi. Biar cuma sebentar di sini, namun kehadirannya pada tahun 2012 memberi sesuatu yang bersinar indah. Sejak beliau menjadi tenaga pengajar Fizik, pencapaian Fizik SPM sekolah kami meningkat dengan ketara sekali. Begitulah penangan insan berpengalaman ini dalam mendidik anak-anak Kampong Chengal. Terima kasih daripada kami, seikhlas hati.

Selamat bersara buat kedua-dua insan berjasa ini. Semoga hari-hari mendatang memberi kerehatan yang tiada tandingnya.

Segak sekali Tuan Haji Sudin bin Harun




Tuan Haji Salleh tenang memberi ucapan

Wednesday, November 26, 2014

Penilaian Darjah Lima

1983.

Penilaian darjah 5.

Waktu itu, ia tidak segah sekarang. Bukan semua ibu bapa cakna dengan peperiksaan ini. Jika di bandar, mungkin wujud juga kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke tuisyen tetapi di kampung-kampung kecil seperti kampung saya, kelas tuisyen bagai ada dalam tiada.

Arwah ayah menghantar saya ke kelas tuisyen cikgu Zakaria, dengan bayaran cuma RM20 sebulan untuk enam subjek. Waktu itu kami belajar enam subjek untuk lima kertas kerana Sejarah dan Geografi digabungkan.

Saya masih ingat kelas tuisyen itu berlangsung dia sebuah rumah kayu sahaja. Pelajar pun tidak ramai. Kami sebenarnya lebih kepada bermain, bukannya belajar sangat. Tetapi ia seronok. Cikgu-cikgu yang mengajar pun cuma dua tiga orang dan mereka merupakan jiran-jiran kami juga.

Apabila peperiksaan berlangsung, kami jujur menjawab. Cikgu tidak mengajar kami meniru atau memberi tiru. Apa pun keputusan kami, sememangnya itulah keupayaan kami. Ia benar-benar tulen.

Hari keputusan diumumkan, ada sedikit debar dalam dada. Saya ke sekolah berjalan kaki berdua dengan kawan saya yang juga jiran saya. Ayah dan emak tidak ikut serta. Masih saya ingat lagi pakaian saya waktu itu. Baju kurung dan kain sarung tanpa tudung.

Saya menuju ke pejabat dan Cikgu Wan Yusoff mengusik saya. "Noorhayati, kenapa result awak macam ni?"

Entah kenapa, saya cuma tersenyum. Saya harap dia bergurau. Dan benarlah. Alhamdulillah saya mendapat 5A. Saya tidak lama di sekolah kerana tidak sabar-sabar untuk pulang memberitahu emak.

Di sekolah saya, lima orang berjaya mendapat 5A dan semuanya mendapat tawaran asrama penuh atau MRSM. Cuma, ada yang menerima dan ada yang menolak.

Yang mendapat 4A dan 3A pun ada yang layak ke asrama penuh.

Kini, ia tinggal kenangan. Saya tidak nampak keseronokan saya belajar pada 1983 itu dalam diri pelajar-pelajar UPSR sekarang. Persaingan yang semakin tinggi sebenarnya bukanlah memberi kesan yang positif. Ramai benar yang kecewa dan menangis beria-ia apabila tidak mendapat 5A kerana tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Kasihan mereka. Ibu bapa, berilah semangat, bukan tekanan kepada anak-anak anda. Ini baru UPSR. Perjalanan mereka masih sangat jauh.

Tahniah kepada semua yang berjaya. Ingatlah, ini baru pembukaan. Pastikan langkah anda selepas ini tidak melencong.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, November 23, 2014

Empat Puluh Lima Hari

Bermula Jumaat 21hb November 2014 dan berakhir pada Ahad 4hb Januari 2015. Empat puluh lima hari. 

Kami para guru yang berkhidmat di seluruh negara diizin bercuti selama empat puluh lima hari termasuk hari minggu. Jika ditolak hari kelepasan am dan hujung minggu, jumlah cuti kami yang sebenarnya hanyalah dua puluh sembilan hari. Dan apabila ditolak dengan jumlah hari yang kami perlu ke sekolah dalam cuti itu, ia berkurang kepada cuma lebih kurang dua puluh hari. Tidak panjang pun, tetapi syukurlah.

Waktu inilah peluang buat kami para guru untuk bercuti sesungguhnya. Biarpun tidak akan mungkin ia berlaku begitu. Esok, Isnin saya perlu ke sekolah juga. Rabu nanti pun. Kemudian mesyuarat setiap unit bersusun-susun dalam cuti. Belum lagi dikira hari pendaftaran pelajar. Begitulah cuti kami yang tidak serupa cuti ini, tetapi syukurlah.

Selamat bercuti semua. Bersyukurlah kerana dalam tekanan kerja yang tidak pernah mahu luak ini, kita masih mampu mengisi masa cuti kita dengan apa yang kita suka. Ikhlaskanlah segalanya. Moga Allah redha.

Tuesday, November 18, 2014

Di Rumah Ma

Apabila suami saya memberitahu dia diarahkan berkursus di Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands dari 15hb November (Sabtu) hingga 17hb November (Isnin), saya tahu saya bakal berada di rumah ma selama tempoh itu.

Saya tidak mahu bersendirian di rumah saya. Bukan takut atau bosan, tetapi saya tidak akan mampu bergerak ke mana-mana kerana kegagalan saya memberanikan diri memandu kereta. Akhir-akhir ini, saya jadi jemu dan malas memikirkan kekurangan saya yang satu ini. Sejujurnya, saya menyerah. Bukan menyerah kalah, tetapi menyerah segalanya kepada takdir. Jika tiba waktu yang dikira terdesak, saya berharap saya mampu membina kekuatan itu.

Di rumah ma, saya tentu sekali akan menyusahkan pemandu wanita kesayangan saya, adinda Ismah untuk menghantar saya ke sekolah. Jika suami saya mendapat arahan itu lebih awal, rasanya saya akan mengisi borang cuti dan berehat sahaja selama dua hari ketiadaan suami itu. Apakan daya, surat arahan hanya tiba pada Khamis, dan saya hanya diberitahu sebaik pulang dari sekolah.

Sememangnya, berada di rumah ma adalah peluang untuk saya mencari kerehatan. Kebetulan, minggu terakhir persekolahan ini menghadirkan situasi yang berbeza untuk saya lalui. Majlis persaraan, kelas tambahan SPM, menanda kertas, menyediakan slideshow, menyiapkan buku rekod dan buku kedatangan, adalah perkara-perkara yang perlu saya lalui pada minggu ini.

Dua hari di rumah ma, saya lapang sekali. Ada anak-anak saudara yang memberi keriuhan, juga makanan-makanan kegemaran yang lama tidak ditemui. Ma memasak putu halba dan kuih poli, yang sesungguhnya sangat saya gemari.

Alhamdulillah, dua hari sudah mencukupi. Terima kasih ma dan Ismah atas bantuan dan kesediaan memberi apa yang saya perlu.


Friday, November 14, 2014

Nasi Goreng

Pagi ini hujan mencurah-curah lagi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam, sejuk menikam-nikam dan selimut saya yang nipis itu tidak mampu menghalang tubuh saya daripada digigit kesejukan itu.

Suami saya bangun sebaik azan berkumandang. Dia bersiap untuk berjemaah Subuh di surau. Saya pula, rasa mahu menyambung lena tetapi apakan daya, waktu untuk berbakti kepada-Nya sudah tiba. 

Sebaik suami saya turun ke surau, saya menyuci diri dan bersedia mengadap Ilahi. Sempat saya mengaji beberapa muka surat Al Quran sebelum suami saya pulang.

Rupanya dia dijemput ke majlis cukur jambul pagi ini. Mulanya dia mahu keluar membeli sarapan dahulu buat saya dan mek sebelum dia ke majlis itu, tetapi hujan renyai-renyai yang belum mahu berhenti itu membataskannya.

Saya tidak kisah. Memasak untuk diri sendiri sebenarnya sangat mudah. Saya menyediakan nasi goreng daging pagi ini.

Saya jerang nasi dengan air yang kurang dari biasa supaya nasi itu tidak lembik. Nasi lembik apabila digoreng rasanya kurang sedap.

Sementara menunggu nasi masak, saya mencuci pinggan mangkuk yang memenuhi sinki itu sambil menanti daging yang saya rendam itu lembut.

Saya kupas bawang merah dan bawang putih, dan menumbuknya bersama-sama serbuk cili Baba's. Daging pula dipotong kecil, dan sedikit sayur sawi sebagai pelengkap hidangan.

Saya panaskan minyak dan menumis bahan tumbuk tadi. Wanginya! Apabila garing sedikit saya masukkan daging, dan kacau hingga empuk. Tak lama pun sebab daging itu dipotong kecil-kecil.

Nasi pun sudah masak. Saya masukkan sayur sawi dahulu, sedikit garam dan sos ikan. Seterusnya saya sendukkan nasi yang masih panas itu ke dalam kuali. 

Sekejap sahaja, tidak sampai sejam, nasi goreng daging saya siap untuk dinikmati bersama teh o panas.

Biar sendirian, lazatnya tiada berbeza.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 13, 2014

Sunyi

Yang ingin saya ceritakan, tentang sebuah kesunyian. 

Hujan sudah mula mencurah menandakan tengkujuh kian menghampiri. Sejuk dan nyaman adalah suasana yang saya nanti-nantikan. Sentiasa saya menggemari suasana sebegini kerana ada ketenangan di sisinya.

Sendirian lagi saya malam ini. Selalunya begitulah. Apabila malam Jumaat terisi dengan majlis tahlil, suami saya akan bersama-sama menyertainya. Hakikatnya, saya tidak apa-apa ditinggal sendiri malah terasa lebih relaks. Tenang. Bebas. Walaupun sunyi.

Kesunyian bagi kebanyakan orang adalah satu penyeksaan tetapi tidak pada saya. Saya tenang menyendiri dan harapnya akan sentiasa tenang begini.

Biar sunyi, saya tidak sepi.


Sent from Samsung Mobile

Monday, November 10, 2014

Emosional

"Saya hairan mengapa orang kita suka pergi umrah berkali-kali. Yang wajib cuma sekali saja."

Setiap kali lelaki ini bersuara, saya sentiasa tidak sudi menyampuk. Saya biarkan dia berkata-kata. Memandang wajahnya pun saya enggan.

"Di luar sana, berapa ramai orang miskin yang nak beli baju anak pun tak mampu. Bersedekah kepada mereka itu pahalanya lebih besar. Orang kita silap, tak tahu cara nak dapat pahala yang banyak. "

Sambungnya lagi, tetapi saya masih diam. 

Sahabat di sebelah saya menjawab acuh tak acuh  "sedekah kita sedekah juga.." Ringkas.

"Ya lah." Katanya, dan berlalu.

Begitu manusia. Mudah benar menjatuh hukum. Pada hal perkara sebegini pada saya tidak perlu digegerkan. Islam itu kan luas, mengapa nampak yang sempit sahaja?

Jika dia mahu panjangkan lagi syarahannya tadi, tentu saya akan angkat punggung dan berlalu pergi. Saya tidak teruja pun untuk mendengar, apatah lagu berbahas dengannya. Sejak dulu, saya cukup pantang dengan manusia yang gemar menilai orang lain tetapi diri sendiri hancur. Saya sedikit emosional, maafkanlah.

Saya tidak pernah mahu menilai dia. Walaupun saya nampak cara dia bekerja bagaimana, tetap saya tidak mahu menilai. Itu kerja Tuhan, bukan kerja saya memberi dosa atau pahala. Dan dia pula lebih alim tentang ini kerana status yang dipegangnya bukan calang-calang.

Cuma, apabila dia berkata begitu saya jadi semakin enggan mendekatinya. 

Saya emosional, ya.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, October 26, 2014

Mr Istikharah


Lamanya saya tak tengok cerekarama atau mana-mana cerita Melayu. Selalunya kerana saya tak punya kesempatan atau asyik-asyik cerita yang klise. Bosan juga.

Malam tadi tanpa sengaja tertonton TV3. Masa tu dah 9.15 dan cerita dah start hampir 15 minit. Nampak kelibat Amyra Rosli bertudung, nampak cantik. Pelakon lelakinya saya tak cam tapi nampak menarik orangnya. Saya teruskan menonton.

Kisahnya tentang Aisyah yang minat gila dengan Ustaz Kamal Shah yang popular dan selalu keluar kat TV. Aisyah memang jatuh hati dengan ustaz ni sampai dia tolak semua pinangan semata-mata nak tunggu ustaz. Dalam Istikharah nya pun dia nampak ustaz!

Rupa-rupanya teman sepejabat dan serumah Aisyah, Mastura pun menyimpan perasaan yang sama. Memang kelakarlah sebab masing-masing begitu bersungguh nakkan ustaz tu pada hal ustaz tu tak tau apa-apa pun.

Kat pejabat, boss mereka Hj. Aliff ni berkenan dengan Aisyah. Dia sudah pun meminta emaknya meminang Aisyah tapi Aisyah menolak tanpa mengetahui yang meminangnya itu ialah bossnya.

Punyalah best cerita ni, ada part saya tergelak, ada part saya tersentuh. Penyudahnya, kedua-dua Aisyah dan Mastura tak dapat ustaz tu. Mastura bertunang dengan abang ustaz, dan Aisyah bertunang dengan bossnya.

Pengajarannya ada, dan lakonan semua pelakon sangat bagus. Mulanya saya cuma kenal Amyra Rosli je sebagai Aisyah. Yang jadi Mastura tu saya tak tau pun siapa. Jarang tengok dia berlakon, tapi best lakonannya. Rupanya dialah Cristina Suzanne Stockstill.

Yang jadi ustaz ialah Ammar Asyraf.  Abang ustaz pula Ashraff Muslim. Boss yang macho tu Fikhree Bakar.

Produksi drama ni milik Ashraff Muslim. Patutlah semua pelakon menutup aurat. Drama patuh syariah rupanya. 

Saya suka drama ini. Lain daripada lain. Siapa yang tak sempat menonton boleh ke www.tonton.com.my


Sent from Samsung Mobile

Thursday, October 23, 2014

Melenting

Membaca komen-komen daripada manusia rakyat Malaysia berbangsa Melayu tentang isu semasa di ruang maya, sangat membakar hati saya. Bukan sahaja bahasa mereka yang tidak mencerminkan hati budi seorang Muslim, juga cara mereka yang seolah-olah akulah penentu dosa pahalamu wahai manusia, tetapi juga sifat enggan mengakui kesilapan dan sentiasa berasa mereka itu benar dan tidak akan pernah tidak benar melainkan benar belaka!

Pada masa yang sama, mereka mengakui mereka mencintai Islam!

Saya geram, menyampah, dan malu.

Inilah suara-suara manusia yang akan lebih memburukkan keadaan. Tiada hemah, hanya menampakkan kebodohan tetapi berkata-kata atas nama Islam.

Cukuplah. Saya bagai mahu sekali menyeru, pergilah belajar. Kalau malas sangat pun, cuba-cubalah menggunakan Mr. Google dan Uncle Youtube.

Saya bukan cendekiawan, kerana itu saya cukup tidak suka mereka yang berlagak sedemikian.

Thursday, October 16, 2014

Kesyukuran Ini

Biar getir sekali saya melaluinya, saya tahu ada lagi yang berdepan ujian lebih getir daripada saya. Biar pedih kesakitan yang melanda, saya tahu itu baru sekuman cuma. Selagi hidup, selagi itulah saya wajib bersedia menerima segala kemungkinan. Bila mati nanti, barulah semuanya selesai dan bakal saya berdepan dengan perhitungan pula.

Tuhan, saya mahu menjadi hamba-Mu yang tahu bersyukur, saat menerima nikmat-Mu ataupun mendepani ujian-Mu. Bukan sekadar sabar, tetapi syukur dan redha.

Alhamdulillah, sejak beberapa hari yang lalu saya mendapat kembali apa yang saya hilang sejak dua bulan. Saya menikmati semula kenyamanan rasa kurniaan Allah dan mampu tidur dengan lena setiap malam. Sirna sudah kesakitan dan ketidakselesaan yang saya rasai sebelum ini.

Alhamdulillah.

Pun, saya tahu segalanya masih belum pulih sepenuhnya. Akan ada nanti waktunya saya akan berdepan semula kegetiran ini. Saya bersedia kerana itu juga menjadi penawar buat saya. Penawar segala dosa yang ada.

Untuk hari ini, saya hadapi dengan bahagia. Hari esok yang akan tiba, biarlah menjadi rahsia.

Saturday, October 11, 2014

Kisah

Dahulu, dia pernah merintih sedih. Katanya, usianya sudah semakin menua tetapi masih bersendirian. Apakah masa depannya akan terus begitu?

Saya berkata, jangan diratapi nasib diri. Apa yang Allah beri pada kita adalah yang terbaik. Berfikir biarlah positif. Lihat segala yang indah kurniaan-Nya, dan ketepikan yang sedih-sedih. Kadang-kadang, kita nampak yang buruk sahaja pada diri kita dan yang indah semua pada orang lain sedangkan, kesedihan orang mungkin lebih daripada apa yang kita rasa.

November 2013, dia bertemu jodohnya. Dalam usia 41 tahun akhirnya dia dimiliki jua oleh seorang jejaka berusia yang berstatus duda. Saya menghadiri kendurinya dan bahagia terserlah di wajah putih bersihnya.

Beberapa hari lepas dia memaklumkan yang dia sudah selamat bersalin dan dianugerah cahaya mata perempuan yang comel. Walaupun laluan semasa mengandung amat berliku kerana pelbagai komplikasi penyakit dan terpaksa bersalin awal melalui proses pembedahan, dia tabah sekali.

Kini, dia bahagia bersama permata hatinya, dan itulah anugerah paling bernilai sepanjang hidupnya.

Tahniah, sahabat. Siapa pun tidak menyangka akan ada sinar buatmu pada waktu-waktu sebegini getir. Aku yakin ketabahanmu dan keyakinanmu pada Allah memberimu kekuatan yang berganda. Aku tidak sempat mengunjungimu tetapi dari jauh, aku sentiasa mengirim doa agar bahagia milikmu ini berkekalan hingga ke jannah.

Amin.

Wednesday, October 08, 2014

Aidil Adha

5 Oktober 2014 / 10 Zulhijjah 1435H / Ahad

Seawal 5.30 pagi saya bangun untuk menyediakan sarapan pagi. Nasi lemak sambal sotong, sambal bilis, telur rebus dan ulam timun. Lama benar rasanya saya tidak memasak sarapan begini. Selasa minggu lepas saya berjanji pada suami untuk memasak nasi lemak sebagai sarapan tetapi tiba-tiba pagi itu perut saya tidak selesa. Jadi hari ini, ada kesempatan begini, saya luangkan masa untuk memasak.

Sakit seperti saya ini nampaknya tidak, tetapi berdiri lama di dapur menyediakan bahan-bahan sangat meletihkan. Sesekali saya merebahkan diri di atas sofa untuk memulihkan tenaga. Sungguh, apabila bacaan hemoglobin darah menjadi rendah, oksigen tidak mampu deibekal sempurna ke jantung. Kerja sedikit sahaja, mengahnya berganda.

Tetapi semangat saya pagi ini berbeza. Alhamdulillah, nasi lemak saya siap juga walaupun tidak sesempurna mana. Saya bekalkan sedikit untuk dibawa ke rumah ma dan mek.

Solat Aidil Adha berlangsung 8.30 pagi. Saya tidak ke masjid, hanya berdua dengan Afnan di rumah ma. 

Jam 11.45 pagi, daging korban ma siap dibawa ke rumah. Kami bersama-sama menyiapkan makan tengah hari berupa daging goreng dan daging rebus air asam. Jam 1.30 tengah hari sudah selesai semuanya.

Saya pulang bersolat Zohor di rumah dan mencuri sedikit ruang untuk lena.

Jam 5.30 petang, sepupu suami saya, Mazlan dan isterinya kak Anita datang berkunjung. Dia membawa sedikit daging korban buat kami. Terima kasih.

Menjelang malam, saya cuma menyediakan nasi putih berlaukkan ikan goreng dan telur cecah kicap. Sedap juga.

Seterusnya, saya melayari mimpi di peraduan saya.

Saturday, October 04, 2014

Muzdalifah dan Mina

Dari Arafah ke Muzdalifah tidaklah sejauh mana, tetapi entah mengapa saya kepeningan di atas bas. Seperti mabuk kenderaan waktu kecil-kecil dulu.

Sebaik tiba di kawasan kami, saya mencari ruang untuk membentang tikar. Beg pakaian saya jadikan bantal. Berbaringlah saya buat menghilangkan rasa yang tidak selesa itu. Jemaah lain sibuk mencari anak-anak batu sebagai bekal ke Mina nanti tetapi saya tidak upaya. Mujur ada suami di sisi, yang sudi mencari anak-anak batu itu buat saya.

Mata saya tidak juga mahu lena. Beratapkan langit, saya melihat bintang-bintang dan bulan. Berdoa dan berzikir tetap diteruskan walau sekadar dalam hati cuma. Kak Zaiha juga tidak berapa sihat, sakit kepala katanya. Dia mengambil panadol dan kelihatan terlena di sebelah saya. Kak Zan dan abang Man berada sedikit ke hadapan dari tempat kami. Suami saya pun cuma berbaring, tidak mampu lena juga dalam suasana sebegini. Mujur tidak sesejuk mana. Saya terasa ingin ke bilik air tetapi jauh sungguh tempatnya. Saya bertahan sahaja.

Jam 1.45 pagi, bas kami tiba untuk ke Mina pula.

Sekitar 3.45 pagi, kami tiba di khemah Mina. Saya bergegas ke bilik air, dan mujur masih lengang. Sebentar kemudian kami dibawa ke Jamrah untuk melontar. Jauh sungguh perjalanan. Hampir 7 km pergi dan balik. Sekitar 6.00 pagi baru kami tiba di khemah semula. Usai solat Subuh, terus saya tidur. Malam tadi memang tidak mampu lena sepicing pun, jadi inilah waktunya untuk saya mencari kerehatan itu. 



Tiada apa-apa aktiviti lain di Mina selain melontar. Untuk hari ini saya sudah pun selesai, dan sudah pun betahallul awal. Sementara menanti esok, saya hanya berehat. Badan saya sudah mula berasa lemah. Hidung tersumbat dan batuk makin menjadi-jadi. Khemah di sinni lebih padat dari di Arafah. Kami berkongsi 14 orang satu khemah. Tetapi begitulah, kesabaran dalam menempuh setiap ketetapan itulah yang utama.

Makanan tidak menjadi masalah di sini. Selain sarapan, lunch dan dinner, banyak sekali makanan lain yang dihantar. Berbungkus-bungkus mi segera, buah-buahan, biskut, roti, air kotak dan air mineral diterima tanpa putus-putus. Air panas pula disediakan di luar khemah. Pendek kata, tidak langsung sempat berasa lapar. Cuma masalah bilik air yang agak kritikal. Tempoh masa beratur tidak akan kurang dari sejam jika menjelang waktu solat. Pandai-pandailah mengurus masa jika tidak mahu terluput waktu, terutama Subuh.

Friday, October 03, 2014

Hari Wukuf

Subuh pagi Isnin, 15hb November 2010. Saya terjaga sekitar jam 4 pagi dengan rasa yang tidak selesa. Selalunya, rasa begini adalah petunjuk badan saya kekurangan air. Selesai solat, saya minum air mineral hampir dua botol dan menyambung tidur kembali.

Jam menghampiri 8 pagi, saya terjaga kerana pundi kencing saya sudah penuh! Alhamdulillah, rasa yang tidak selesa pagi tadi sudah hilang. Selesai ke tandas, saya menikmati sarapan pagi pula dan kali ini nasi goreng dan telur rebus yang boleh tahan rasanya.

Sementara menanti masuknya waktu wukuf, saya mengaji, berzikir dan tidur juga. Sungguh aman sekali perasaan di sini. Tiada apa yang perlu difikir selain memenuhi masa dengan aktiviti untuk diri sendiri. Tidak perlu memikirkan kerja, tidak perlu memikirkan rumah tangga, keluarga, apa sahaja malah keadaan suami sendiri di khemah sebelah pun tidak saya ambil tahu! Semuanya saya serah pada Allah, dan hari ini saya mahu menjadi diri saya sahaja.

Menjelang zohor, maka menjelanglah wukuf. Kami berjemaah zohor dan asar secara jamak tamam, mendengar khutbah Arafah dan berdoa dengan penuh kekhusyukan. Inilah waktu yang dinanti-nantikan, dan saya cuba memanfaatkan ia sepenuhnya. Tuhan! Terimalah!

Sehingga petang, pelbagai cara para jemaah lakukan dalam memanfaat waktu ini. Ada yang bersama-sama suami berdoa di luar khemah, ada yang cuma setia berada di dalam khemah (seperti saya) dan tak kurang juga yang cuma berbual-bual dan tidur. Masing-masing sudah diberitahu kelebihan hari ini, maka terpulanglah cara yang bagaimana mereka mahu lakukan.


Ya, saya cuma berada di dalam khemah. Saya membaca buku doa yang diberi, membaca doa yang saya tulis sendiri, juga memohon segala apa yang saya terlintas di fikiran dengan penuh perasaan. Saya juga mengaji dan berzikir tanpa menghiraukan sesiapa lagi. Entah bila pula saya akan berpeluang berada di sini, hanya Allah tahu.

Sejurus sebelum maghrib, barulah saya mengambil peluang keluar dari khemah sebentar untuk mengambil angin. Seperti biasa, saya ditemani Kak Zaiha.

Malam tiba, tamatlah waktu wukuf kami. Usai solat maghrib dan Isyak, kami makan malam dan bersedia menaiki bas untuk ke Muzdalifah pula.

Kenangan Arafah

Kami dijadualkan bergerak ke Arafah pada jam 11 pagi Ahad, 14 November 2010.

Seperti biasa, jam 3.30 pagi itu saya dan Kak Zaiha menuju ke Masjidilharam  untuk menunaikan fardu Subuh. Sebenarnya, petugas Tabung Haji berpesan, jika boleh berehat sahaja untuk hari ini dan tidak perlu ke masjid kerana jemaah perlu menyimpan tenaga untuk urusan Masha'er yang akan berlangsung selama enam hari berturut-turut. Pun, saya yang baru suci dari haid terasa sangat rindu untuk berjemaah dan memandang baitullah. Kak Zaiha juga kelihatannya bersemangat. 

Di masjid, memang jemaah kurang daripada biasa. Ada yang sudah sampai di Arafah agaknya. Lengang begini memberi ruang untuk kami berlama-lama di masjid. Hampir jam 7 pagi baru kami pulang ke hotel.

Segala persiapan telah pun selesai. Dengan hati tenang dan penuh pengharapan, kami berihram dan bersedia untuk bergerak ke Arafah. Jam 11 pagi kami berkumpul di lobi menuggu bas yang hanya tiba pada jam 12.15 tengah hari.

Alhamdulillah perjalanan kami sungguh lancar. Saya selesa sekali di atas bas kerana ada tempat duduk walaupun ramai juga yang berdiri, kebanyakannya jemaah lelaki. Sempat pun saya lena sebentar sebelum tiba di khemah maktab 78 sekitar jam 1.45 tengah hari.

Kami antara yang terawal tiba.

Pertama kali memasuki khemah, terasa bahang yang amat menyengat. Panas. Saya mencari-cari nama saya yang ditampal di dinding khemah, dan kelihatannya tempat saya agak strategik. Saya mendapat khemah di bahagian tepi dan hampir dengan pintu. Kami bersepuluh ditempatkan di situ. Tandas cuma berhadapan dengan khemah kami, sangat dekat.

Segera saya meninjau-ninjau tandas, tetapi air masih belum ada. Kembali ke khemah, saya berehat. Bekalan air mineral yang ada di dalam tong di luar khemah hampir habis. Sempat saya mengabil sebotol dua untuk menjadi santapan tengah hari. Hanya epal dan biskut saya jamah tengah hari ini.

Menjelang petang, air di tandas sudah tersedia. Jemaah juga sudah semakin ramai tiba. Walaupun di dalam khemah agak panas, tetapi angin di luar sungguh nyaman. Saya seronok sekali berada di luar khemah menikmati sejuknya angin yang berhembus.

Tiba malam, usai solat maghrib dan isyak secara jamak tamam, saya menanti ketibaan nasi. Perut saya lapar sungguh. Tapi entah mengapa nasi ke khemah kami lambat sekali. Saya keluar bertemu suami di luar khemah, katanya dia sudah selesai makan. Oh!

Jam 8.45 baru saya menerima sebungkus nasi berlauk daging. Walaupun lapar, saya gagal menghabiskannya.

Saya bersedia untuk tidur tetapi sedikit tidak selesa kerana beberapa orang jemaah lelaki bagai bebas sekali memasuki khemah kami untuk menemui isteri mereka. Budaya di kampung halaman mereka dibawa hingga ke mari! Tolonglah pakcik, panggil sahaja isteri pakcik keluar ya, kami mahu tidur....

Alhamdulillah, saya lena juga menanti ketibaan hari wukuf keesokannya. Saya benar-benar tidak sabar. Saya mahu menikmati sendiri pengalaman berwukuf yang selama ini hanya dibaca dan didengar sahaja.


Saturday, September 27, 2014

Khamis Cuti

Berharga sekali cuti hari ini. Ia menjadi penawar pada segala keserabutan yang membelenggu. Terima kasih Dato' MB Kelantan kerana memberi kami hadiah sebegini.

Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubor N01 menjadi sebab cuti ini. Siapa menang, siapa kalah, jujur saya akui saya tidak mengambil tahu. Entah mengapa kali ini mood untuk berpolitik tidak hadir dalam jiwa. Mungkin kerana kesihatan saya yang tidak begitu indah suasananya, menyuramkan rasa dalam mengikuti perkembangan. Surat khabar pun tidak ditatap, begitu jualah berita tv dan radio.

Apa yang menjadi kesukaan saya ialah menonton Salam Baitullah, Khabar Haji dan Labbaikallah. Di situ ada semangat yang membara jiwa. Di situ ada rindu yang meruntun rasa.

Pertengahan Disember ini kami akan ke sana lagi, Insya Allah. Tetapi entah mengapa saya bagai terasa-rasa entah sempat entah tidak. Bagai terasa-rasa yang waktu saya seperti di penghujung. Bagai terasa-rasa yang saya bakal pergi jauh. Lebih jauh daripada itu.

Apa pun, saya tetap mahu redha. Redha dengan setiap kemungkinan. Semoga Allah juga redha pada saya.

Kecemasan

Pagi Sabtu itu, saya mencari penyelesaian. Entah mengapa kesakitan kali ini sengatnya begitu berbisa, dan bisanya menular ke serata tubuh saya, bagai tiada simpati!

Kami akhirnya menuju ke Wad Kecemasan di HUSM pada jam 10 pagi, 20hb September itu.

Nyatanya, wad itu dipenuhi pesakit yang sungguh ramai. Saya tidak mahu berkira banyak, saya tetap mahu berjumpa doktor biar pun harus menunggu berjam-jam.

Sekitar jam 12 tengah hari, nama saya dipanggil. Saya dikategorikan sebagai pesakit separa kritikal maka penantian saya lebih pendek daripada pesakit lain. Alhamdulillah.

Seorang doktor wanita yang saya kira berusia sekitar awal 30-an, bertubuh kurus tinggi, berkulit hitam manis dan berkaca mata menyapa saya. Dia meminta saya bercerita tentang sakit saya. Seterusnya, saya dibawa ke katil untuk diimbas.

Rupanya, dia meminta saya menanti di situ, di atas katil, sambil berbaring. Dia mahu menelefon doktor pakar untuk memastikan apakah saya perlu diwadkan. Lama benar dia mencari jawapan.

Tiba-tiba peluh sejuk dan peluh panas mula memercik. Memikirkan suasana wad, dan perasaan yang akan saya alami apabila berada di situ, saya mula seram sejuk. Tidak, saya enggan masuk wad!

Seorang pembantu perubatan lelaki datang menghampiri. Setelah mengesahkan nama saya, dia mula mencucuk tangan saya dengan drip seperti mahu ke wad layaknya!

"Encik, saya kena masuk wad ke?"

"Belum tahu lagi, kak." Jawabnya ramah. "Kita ambil darah dulu."

Lamanya!

Beberapa minit kemudian, seorang jururawat pula datang mengambil tekanan darah saya."

"Saya kena masuk wad ke?"

"Belum tahu kak. Kak tunggu ya, nanti doktor akan cakap."

Tuhan! Mengapa lama sungguh mereka mencari jawapan? Saya tidak berhenti-henti berdoa agar saya boleh saja pulang ke rumah dan tidak perlu masuk wad. Dapat saya bayangkan betapa seksanya hari-hari saya di wad nanti. Betapa ramainya orang yang akan saya susahkan jika saya berada di wad. Sungguh saya tidak mahu masuk wad!

"Kak, doktor pakar kata ambil ubat dahulu, dan temujanji akak di klinik OnG akan dipercepatkan."

Tiba-tiba suara doktor wanita itu menyapa telinga saya.

"Saya tak perlu masuk wad?"

"Tak."

"Alhamdulillah!"

Saya rasa sihat serta merta. Terus saya turun dari katil dan menuju ke kerusi di meja doktor. Saya minta jarum drip saya dibuka. Jururawat mencatat tarikh temujanji baru saya pada kad saya dan saya boleh saja beredar. Alhamdulillah! Entah berapa kali saya melafazkannya dan saya benar-benar lega!

Pulang ke rumah, saya cuak juga kalau-kalau sakit itu menyerang lagi. Alhamdulillah petang ini segalanya berlangsung nyaman. Tiada kesakitan yang keterlaluan dan saya mampu berehat seperti yang saya mahu.

Kini saya menanti 30hb September untuk menuju ke klinik Pakar OnG HUSM pula.

Friday, September 19, 2014

Aku begini 2

Sesungguhnya ia masih bersisa.

Khamis pagi itu, saya terjaga dengan rasa yang lega. Kesakitan semalam hilang sudah. Sangka saya ia benar-benar hilang tetapi tidak. Menjelang tengah hari ia kembali. Sama seperti semalam.

Perut rasa membengkak, urat saraf menegang. Kesakitan menjangkau ke serata tubuh. Saya kembali bergelumang dengannya.

Lama benar menanti suami saya sampai. Tidak sanggup rasanya menghadapi kesakitan ini dalam keadaan begini. Saya mahu pulang. Saya mahu bergolek di atas katil saya sendiri!

Jam 6.15 petang akhirnya suami saya tiba membawa saya pulang. Benarlah, bergolek di atas katil sendiri lebih melegakan walaupun tidak juga mampu menghilangkan kesakitan.

Usai solat maghrib, suami saya keluar membeli ubat dan makanan. Arcoxia dan Buscopan serta nasi goreng cina menjadi santapan saya malam ini.

Tetapi mengapa sakit ini masih enggan pergi? Hingga jam 11 malam saya masih menderitainya!

Akhirnya, saat jam menghampiri 12 tengah malam barulah sakit ini beransur-ansur hilang. 

Pagi ini saya berasa lega. Harapnya ia tidak kembali berulang sekurang-kurangnya untuk bulan ini.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, September 17, 2014

Aku Begini

Sungguh ia tiada gambaran. Mungkin inilah kesakitan yang menjadi penebus segala dosa saya pada Tuhan.

Tuhan, saya ini banyak dosa. Jika Engkau hadirkan rasa yang begini mencengkam demi sebuah kesucian, saya amat redha. Sucikanlah diri ini, ya Allah!

Sejak semalam saya menempuhinya. Tiada kata dapat saya suarakan, tiada siapa dapat saya kongsikan. Sakit. Sungguh sakit!

Terpaksa saya batalkan hasrat untuk menemani suami berehat di Tanah Tinggi Cameron yang telah kami rancang berbulan lalu. Saya tidak meminta begitu, tetapi saya terima sebagai satu kurnia.

Alternatifnya, suami saya ke sana bersama-sama tiga orang anak saudaranya. Mulanya dia bagai bersalah kerana meninggalkan saya yang kesakitan, tetapi saya yakinkan dia saya tidak akan apa-apa. Saya pun kasihan padanya. Jika perancangan ini tidak melibatkan orang lain tidak mengapa, tetapi segala acara telah diatur rapi oleh sahabat-sahabatnya dan saya tidak tergamak membuatkan mereka di sana hampa.

Pergilah. Bawalah budak-budak itu kerana mereka pun sedang bercuti sekolah. Saya tidak apa-apa. Insya Allah.

Pagi ini, sekitar jam 9.00 mereka bergerak menuju ke Tanah Tinggi itu. Saya pula, menuju ke rumah ma.

Sehingga tengah hari, sakit tidaklah terlalu menyengat. Sempat saya lena beberapa minit di ruang tamu rumah ma.

Tetapi menjelang petang, kesakitan itu datang lagi. Kali ini lebih teruk daripada semalam. Pil diclofenac 100mg saya telan, tetapi tiada perubahan. Saya mencuba untuk tidur, tetapi gagal.

Ma memberi saya tungku panas untuk membantu melegakan saya. Selesa sedikit rasanya tetapi sakit tetap enggan hilang.

Melihat gelagat anak-anak saudara yang mengujakan - Muiz, Areef, Amal, Nasih, Wajih, Iman, Awwahah dan Imtinan sedikit menghiburkan tetapi sungguh ia tidak mengubah apa-apa!

Sekali lagi macmemanaskan tungku untuk saya. Terima kasih ma. Saya mencuba lagi menekan-nekan perut dan pinggang dengan tungku panas itu.

Alhamdulillah, sekarang saya rasa lega sedikit. Harapnya saya mampu lena malam ini.

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, September 16, 2014

Malaysia

Pada saat kelahiran saya, Tanah Melayu sudah bebas merdeka hampir lima belas tahun lamanya. Malaysia pula sudah sebati di jiwa rakyatnya hampir sedekad lamanya. Saya lahir pada waktu yang penuh ketenangan dan kemakmuran.

Kata emak, saya lahir di sebuah rumah di bandar Kota Bharu. Dua orang jururawat yang membantu emak waktu itu, seorang Melayu dan seorang lagi berbangsa Cina.

Saya bangga juga kerana kelahiran saya disambut dua bangsa.

Hari ini, rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia sebagai tanda kebersatuan seluruh isi negara ini di bawah satu panji.

Doa saya, semoga Malaysia sentiasa dalam keamanan, penuh kemakmuran dan dilindungi daripada segala bala bencana.

Amin.

Sent from Samsung Mobile

Friday, September 12, 2014

Mencari Kekuatan

Apalah  yang anak-anak ini tahu tentang jenayah integriti. Sejak awal tahun mereka dibebankan dengan tekanan demi tekanan untuk UPSR yang cuma UPSR itu. Sejak awal tahun mereka korbankan segala keriangan alam kanak-kanak mereka kerana mahu merasai manisnya 5A itu. Sejak awal tahun mereka diasak dengan latihan, kelas tambahan, seminar dan kem.

Sangka mereka semua itu akan tamat semalam. Sangka mereka percutian bersama keluarga untuk meraikan kemerdekaan mereka akan tiba seperti dirancang. Sangka mereka waktu untuk melayan keinginan sendiri dan bebas dari kelas dan sekolah akan menjadi kenyataan.

Benarlah kita hanya merancang. Kebodohan manusia lain memangsakan anak-anak ini yang belum tahu banyak tentang hidup dan kehidupan. 

Sungguh saya simpati. Air mata mereka selaju air mata saya jua.

Sabarlah. Kalian insan terpilih sebenarnya. Semuda ini kalian diuji, insyaallah akan menambah kecekalan dan kekuatan hati-hati kalian. Allah ada. Dia akan memberi jalan. Mohonlah.

Tidak perlu kalian menyimpan rasa tertekan itu. Campakkan ia jauh-jauh. Tawakkal dan doa, insyaallah semua akan berlangsung selesa.

Terima seadanya.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, September 11, 2014

UPSR vs Education System

UPSR paper leaked. Why?
It may be a lot of reason, one of them can be some parents paid for the paper?

The education system is in the crisis.

Society and parents have been value grade more than ever. Instead of helping children to learn and to find their interest, we teach them how to score good grade.

I remember when I was a kid in school, some teachers and home tuition teachers taught me how to do well in the exam but not to learn what is all about in the text book. Not to learn how to use the knowledge. They taught me how to write in order the paper marking teacher will give me the marks.

Some teachers make study seems hard and boring, because they just teach the children how to score so the teachers can keep their kpi in shape. Teaching the children how to follow the system of scoring A is what most of the teacher did.

Parents and teachers, why a lot of people not bother to even pick up a book and stop learning after they left the school?

Knowledge seeking is a life process. Education is important when you know the purpose of education.

At last, never blame your children to cheat in exam,

When students cheat on exam it is because our school systems value grade more than students value learning. - Neil deGrasse Tyson

Don't blame the next generation while we lead them to the wrong path.

(From KHAI YUAN SEE Facebook)

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, September 10, 2014

Panas

Hati saya panas membara. Betapa tidak mampu akal seorang manusia bernama guru ini menilik dan mencari rasional mengapa soalan UPSR mesti bocor? Mengapa guru tergamak membekalkan jawapan untuk murid-muridnya dalam dewan peperiksaan? Sebenarnya, dia mahu muridnya menjadi apa?

Gila sungguh mereka!

UPSR hanyalah satu ujian. Cemerlang UPSR memang diimpikan semua orang tetapi ia bukanlah segala-galanya. UPSR hanyalah UPSR. Sekadar itu.

Banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk dititikberatkan. Moral dan akhlak, keinginan mencari dan meneroka, sahsiah diri juga penjagaan kesihatan. Semua itu jauh lebih penting daripada hanya UPSR!

Saya tidak tahu siapa yang perlu disalahkan. Sistem pendidikankah, ibu bapakah, atau persekitarankah? Mereka menyangka mereka sedang bersaing tetapi sesungguhnya mereka sedang menjahanamkan masa depan murid-murid darjah enam itu. Mengapa mereka sebuta itu dalam mengenali erti hidup? 

Berubahlah. Saya semakin risau memikirkan perkara ini.

Sent from Samsung Mobile