Jumaat 26hb Disember, sekitar jam 5 pagi, bekalan elektrik di Batu 8 dan Kampung Kor diputuskan. Rumah yang terlibat adalah di kawasan rumah ma dan sekitarnya. Saya di Kampung Chenok masih ok.
Waktu begini, saya diberi ruang oleh Allah untuk berkongsi. Sempatlah mereka datang untuk mengecas telefon di rumah saya.
Jam 3 petang, rumah kami juga terputus bekalan elektrik. Sangka saya ia akan berpanjangan tetapi cuma sejam lebih sahaja. Menjelang Asar ia kembali berfungsi.
Dan malam itu, rumah kami dimeriahi dengan kehadiran mek, Nozah, Udin, Hani, Atiyah, Haziq dan Joe yang mahu menumpang tidur. Saya berbesar hati menerima kehadiran mereka dan sungguh, berkongsi begini memberi satu perasaan yang indah.
Pun, jam 3.30 pagi Sabtu itu saya dikejut suami mengatakan elektrik terputus lagi. Dan kali ini, ia membawa ke malam.
Kebetulan, kakak ipar saya kak Rohaini akan berkenduri hari ini. Bukanlah kenduri besar, sekadar majlis makan-makan untuk keluarga dan jiran sempena pernikahan anak keduanya Zulhusni. Bayangkan, tanpa elektrik kenduri tetap diteruskan!
Tanpa perlu memanjangkan cerita, Alhamdulillah kenduri berlangsung sempurna walaupun ketibaan besan dari Sabah tertunda dek penerbangan Air Asia KK - KB yang tiba-tiba berpatah balik. Pasangan dari Sabah itu kami bawa menginap di rumah kami juga kerana hotel berdekatan tiada bekalan elektrik.
Selesai majlis, sekitar jam 10.30 malam, elektrik pun kembali tetapi hanya di rumah kami. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk mengecas telefon dan bermandi manda. Telaga di rumah lama mek itu cuma satu, sedang penggunanya sangat ramai. Tentu sahaja rumah kami menjadi pilihan terbaik. Kami mengalu-alukan semua.
Ahad, masih begitu. Sudah masuk hari ketiga elektrik tiada. Hanya di rumah kami mereka mampu mencari penyelesaian.
Urusan masih belum selesai. Selain melayan tetamu dari Sabah, Nozah juga akan kembali ke Perak hari ini. Kami perlu menghantarnya ke airport yang jalan alternatifnya memakan masa 75 minit. Begitulah keadaannya apabila banjir melanda. Jalan biasa yang tidak sampai 40 minit perjalanan itu tidak mampu kami redahi.
Dan hari ini, Isnin, pagi-pagi lagi saya menerima dua berita gembira. Pertama, rumah ma, mek, dan semua di seberang sana sudah ada elektrik dan kedua, sesi persekolahan 2015 ditangguhkan ke tarikh 11 Januari. Alhamdulillah.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment