Friday, February 28, 2014

Hari Keluarga

Petang nanti saya akan mengikut suami menyertai program hari keluarga sekolahnya, SMK Kadok yang akan berlangsung di Pantai Senangin, Tumpat.

Kami hanya berdua. Itulah saiz keluarga kami yang ada.

Lalu, bagaimana nanti perjalanan acaranya? Saya hanya menunggu untuk melihat. Tiada keterujaan langsung kerana saya orang tua.

Semoga segalanya baik-baik sahaja.

Wednesday, February 26, 2014

Bernyawa

Barulah terasa ku bernyawa...

Semalam saya bercuti rehat sempena temujanji di HUSM. Kebetulan, pegawai pemantau dari PPD  akan melakukan pemantauannya di sekolah saya pada hari tersebut. Mujur sungguh rasanya!

Banyak cerita dan kisah yang berlaku sepanjang minggu-minggu belakangan ini yang menyentap sedikit rentak nafas dan degupan jantung seorang manusia seperti saya. Pun begitulah, apa sahaja yang berlaku, hidup mesti diteruskan. Sebesar mana pun masalah menghimpit, carilah penyelesaian. Tidak mahu saya terperangkap dalam situasi yang bakal merosakkan segala perasaan tenang yang sedang saya damba ini.

Idea untuk dikongsi kelihatannya tiada.

Semoga nanti waktu dan kesempatan saya berbicara di maya ini tiba jua.

Thursday, February 13, 2014

Tugas

Minggu ini kepadatannya sangat luar biasa. Bukan sekadar padat jadual waktu harian yang membawa sehingga ke petang, tetapi padat juga dengan tugasan yang seringkali datangnya tiba-tiba.

Lima hari bekerja, hanya sehari saya pulang jam 2.15 petang iaitu pada Ahad. Hari lain, membawa kepada azan Asar.

Isnin jadual saya padat sungguh. Kelas sebanyak enam waktu, dan waktu luang saya terisi dengan kerja-kerja perkeranian yang entah bila akan selesai. Saya siapkan jadual bertugas guru untuk prep malam dan diserahkan kepada PKP. Setiba di mejanya, dia mahu saya buat yang lain kerana dia lupa memaklumkan susunan guru perlu mengikut mata pelajaran. Apakah?

Pada waktu dan ketika yang sama, kerja saya ditambah lagi dengan arahan pengisian data SPS yang tarikh akhirnya pada 15 Februari. Dengan capaian internet yang sangat teruk, mana mungkin saya menyiapkannya di sekolah?

Tengah hari, saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Maklumat Sekolah yang tamatnya pada jam 3.15. Saya tidak terus pulang, kerana latihan merentas desa pula menanti saya. Sudahnya, jam 5.55 petang baru kaki saya melangkah ke pintu rumah kediaman saya. Baru saya mampu merebahkan badan dan baru saya mampu menghela nafas yang kelelahan!

Selasa pula, saya tiba di rumah sekitar jam 3.40 petang kerana melunaskan tanggungjawab kelas tambahan tingkatan lima. Sempat saya tidur sebentar, sebelum dikejutkan oleh deringan telefon dari cikgu Ramli meminta saya menyerahkan program kecemerlangan SPM 2014 kepadanya esok hari. SPS masih belum mampu saya isi!

Rabu, seawal pagi PKP mencari saya meminta saya menyiapkan Target SPM 2014 kerana beliau akan bermesyuarat di PPD esok. Dalam waktu terhad itu, saya memaku diri di hadapan laptop demi sebuah target segera! Mujur sempat siap, tetapi saya tahu banyak yang saya perlu murnikan lagi selepas ini.

Seharusnya saya pulang awal hari ini tetapi suami saya pula bermesyuarat di sekolahnya. Terpaksalah saya menunggu di bilik saya dan pulang hanya pada jam 3.10 petang.

Petang ini, saya sempat mengisi SPS walaupun belum sempurna.

Dan hari ini, Khamis yang ceria, saya pulang lewat lagi kerana terlibat dengan pengagihan bantuan awal persekolahan kepada pelajar sekolah kami. Majlis usai entah pukul berapa, kerana saya meloloskan diri pada jam 4.30 petang.

Malam ini, saya bakal berdepan dengan SPS lagi. Semoga sempat saya siapkan sebelum tempohnya.

Friday, February 07, 2014

Chopp!

Entry baru ini sekadar ingin berkongsi gambar hidangan saya yang sudah pun selamat mendarat ke dalam perut saya sebentar tadi.

Jumaat

Untuk kali ketiga berturut-turut, Cikgu Rosdi kesayangan saya ada jemputan selepas solat Jumaat. Dan jika dua Jumaat yang lepas, saya 'melarikan' diri ke rumah ma untuk tumpang lunch mereka, kali ini saya tidak begitu.

Mungkin keserabutan minda yang luar biasa ini mahu saya urus sendiri-sendiri di rumah. Saya tidak akan ke mana-mana hari ini, biar pun ruang itu ada. Saya mahu tenang dengan menikmati kebersendirian di rumah saya tanpa perlu memikir apa-apa.

Sekarang, jam astro saya memapar 13:04. Cikgu Rosdi sudah pun ke masjid untuk bersolat Jumaat pada jam 12:55 tadi. Walaupun Zohor hanya akan tiba pada 13:28 nanti namun tiba awal di masjid banyak kelebihannya, kan?

Di dapur, saya sudah selesai menjerang nasi dan memasak sup ayam. Tinggal lagi saya mahu menggoreng telur dadar, menumbuk sambal belacan dan memotong ulam timun. Sempurna dan lengkap serta seimbanglah santapan tengah hari saya hari ini.

Walaupun saya bakal menikmatinya bersendirian, saya tahu selera saya tidak akan pernah kisah tentang itu semua. 

Selepas makan, saya akan bersolat Zohor, mengaji dan berehat lagi. Wahai kotak fikirku, tenangkanlah dirimu setenang-tenangnya tanpa perlu memikir apa-apa keserabutan pun selama dua hari ini. Menjelang Ahad nanti, kita lihat apa yang bakal terjadi!

Thursday, February 06, 2014

Kecundang

Dalam segala perkara pun, kebijaksanaan itu perlu. Menilai sesuatu dari satu sudut pandangan sahaja tanpa mahu mendalami duduk perkara sebenar adalah sikap yang sangat tidak seimbang. Ia memberi ketidakadilan kepada individu yang menjadi sasaran.

Sayangnya, itulah yang selalu berlaku. Apabila menerima aduan, tiada langsung siasatan. Hukuman terus dijatuhkan tanpa sebarang perbicaraan. Wajarkah demikian?

Kasihan benar saya kepada yang menjadi mangsa. Terpinga-pinga dia tidak mengetahui kenapa terhukum sedemikian rupa. Marah bagaimanapun, hukuman terpaksa diterima. Beginikah keadilan?

Dan yang lebih parah, saya yang tiada kena mengena dengan segala kisah dan cerita terpaksa menerima tempiasnya. Jika sekadar hujan gerimis, mungkin tidak menjadi masalah tetapi tempias ribut puting beliung yang datang tiba-tiba seperti ini cukup menjadikan saya sentap!

Mood saya kecundang hari ini. Di sisi saya kerja yang bertimbun, tetapi dek kerana perkara luar duga sebegini, saya gagal menyiapkan segala yang sepatutnya. Saya disumbat dengan rasa yang tidak keruan. Bukan kerana saya menurut hati dan perasaan, tetapi saya kecewa dengan cara mereka mengatasi kebuntuan. Profesionalisme yang tiada, saya yang terhukum. Gila!

Untuk masa-masa mendatang, saya berdoa agar tiada lagi insan yang tidak selayaknya menduduki sesuatu kerusi yang memerlukan tanggungjawab yang penuh kebijaksanaan dipilih tanpa sebarang penapisan yang sewajarnya. Mereka amat mencemarkan keharmonian dan kemurnian sesebuah institusi. Umpama parasit, kehadiran mereka tidak langsung memberi kebaikan selain menambah kekusutan!

Monday, February 03, 2014

Ketentuan

Anak adalah anugerah terindah dalam sebuah perkahwinan, tetapi saya tidak memilikinya. Perlukah saya menangisi sebuah ketentuan?

Setelah hampir tujuh belas tahun saya menggalas ketentuan ini, liku yang saya tempuh pada pengalaman lalu menerpa kembali tiba-tiba. Ada rasa yang mengheret saya ke situ.

Waktu itu, naluri saya amat mudah tersentuh. Mendengar cerita kehamilan rakan dan sahabat di sekitar saya bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Jujur saya akui, ada iri terbit di hati setiap kali cerita sebegitu dikongsi. Mengapa dia, bukan saya? 

Pun, dalam payah yang memberat saya didik hati untuk tidak menjadikan rasa itu raja. Saya pandu diri sendiri untuk terus berusaha dan berdoa agar waktu untuk saya tiba jua. Saya tidak mahu menjadi manusia yang berputus asa pada-Nya. 

Pada 2006, saya melalui rawatan kesuburan yang amat menekankan. Di Pusat Rawatan Annisa', saya berulang minggu ke minggu untuk di rawat pakar sakit puan Dr. Shah Reza Johan Noor. Saya diimbas, perut saya disuntik, ubat-ubatan juga tidak ketinggalan. Rasa malu saat diimbas saya abaikan sahaja kerana saya tahu saya sedang berikhtiar. 

Apa daya saya, ia tidak membuahkan hasil. Saya tidak kecewa kerana saya tahu apa itu redha.

Hujung 2006 itulah pengakhir sebuah penantian. Usai pembedahan membuang cyst dan tiub fallopian saya, tamatlah segala usaha yang ada. Kini, saya sudah tidak punya upaya menjadi ibu lagi. Saya pasrah menerimanya.

Saya berhenti merawat diri bukan kerana saya berputus asa, tetapi saya berpijak di bumi nyata. Tiada apa yang perlu saya sedihkan kerana selepas melalui pelbagai episod kehidupan, saya anggap semua ini anugerah dari Allah. Dia memilih saya untuk anugerah sebegini. Ya, saya insan terpilih. Alhamdulillah. 

Tahun ini saya melangkah ke usia 42 dan ke tahun ke-17 di alam perkahwinan. Segalanya indah, segalanya membahagiakan. Banyak perkara dalam hidup ini yang nilainya hanya kita dan Dia yang tahu.

Yang orang lain tidak akan mampu merasainya.

Rangkuman Cuti

Masih bercuti saya hari ini untuk hari yang kelima. 

Bermula Khamis, saya diberi ruang untuk merehatkan minda dan fizikal daripada segala bebanan kerja. Biarpun cuma enam hari dan akan berakhir esok, saya amat menghargainya.

Walaupun baru sebulan - atau lebih tepatnya dua puluh hari - saya bergelumang dengan segala tugasan di sekolah untuk tahun ini, saya berasa sungguh penat. Penat dengan segala ragam dan karenah manusia-manusia ciptaan Tuhan, dari yang bergelar guru hinggalah kepada anak-anak didik kesayangan saya. Saya sayang mereka kerana Allah, tetapi saya tetap seorang wanita yang kaya emosi. Ada waktunya, saya berasa sangat penat dan mahukan satu kerehatan yang panjang.

Alhamdulillah, saya menikmati kerehatan yang saya ingini.

Sepanjang lima hari yang lalu, setiap hari saya dan suami ada jemputan. Ada yang berdua kami hadiri tetapi pada kebanyakannya suami saya pergi bersendirian. Saya pula, mohon untuk bersama-sama keluarga di rumah emak. Tidak sehari pun dalam cuti ini saya memasak untuk makan pagi atau tengah hari. Hanya sekali dua untuk makan malam, itu pun ringkas sahaja.

Percaya atau tidak, enam hari ini tidak satu lauk pun saya beli di kedai, sama ada lauk masak atau lauk mentah. Jimat juga jika begini selalu, kan?

Pada Khamis, kami ke KB Mall untuk berurusan beberapa perkara. Kami ke Celcom untuk menamatkan Celcom Broadband kami. Seterusnya ke kedai buku Popular untuk membeli buku-buku sebagai hadiah kecemerlangan pelajar sekolah saya pada Ahad nanti. Di Pacific pun kami berbelanja juga. Akhir sekali, kami ke kedai komputer Monaliza untuk membeli printer baru menggantikan printer lama kami yang berusia hampir sembilan tahun itu, yang kerap benar meragamnya. Printer Laserjet monochrome jenama Brother model DCP1510 menjadi pilihan kami. Sangat berbaloi rasanya kerana harganya cuma RM299. Tonernya pula RM98 sahaja. Dan printer lama kami itu akan kami hantar ke kedai untuk dibaiki.

Tengah hari ini, kami makan tengah hari di rumah mek dengan nasi yang dibeli di kedai nasi Kak Wook di Tunjung, Lazat juga, alhamdulillah. Sebelah malam, saya mengambil peluang berehat dan berdiet kerana suami saya ada jemputan Maulidurrasul.

Jumaat tiba, saya memenatkan diri sendiri dengan mengemas dan membersih dapur saya yang sudah sangat lama tidak diservis itu. Dalam kepenatan, saya mencari ruang untuk ke rumah emak. Kebetulan suami saya ada jemputan kenduri tengah hari ini, saya tidaklah perlu memasak. Mujur Ismah mahu menjemput saya, terima kasih!

Sabtu pula, kami berkenduri asing-asing. Suami ke rumah Haji Nawi di Berangan, saya pula ke rumah ibu saudara Hawari di Kota Bharu. Sebenarnya saya sedikit kurang sihat hari ini. Kepala saya sakit dan kepeningan. Berdenyut-denyut. Berpusing-pusing. Hajatnya mahu berehat sahaja tetapi apabila Husna menelefon, saya ubah fikiran. Rupanya, apabila berjalan-jalan ke tempat kenduri kepala saya hilang pula sakitnya.

Ahad, kami berkenduri di Tendong. Dan sebelah malam, saya masak nasi berlaukkan ayam goreng potong kecil-kecil dan sayur kulat masak serai.

Hari ini, saya sedang menikmati cuti saya bersendirian di rumah. Rancang saya hari ini ialah untuk membalut buku-buku yang saya beli pada Khamis lalu untuk majlis Ahad nanti. Selepas Zohor nanti saya akan ke kenduri lagi di rumah Tok Imam Shukri dan Wahid Gas. Rasanya, sudah jemu saya dengan lauk pauk kenduri, Insya Allah esok, cuti saya yang terakhir sempena Tahun Baru Cina ini akan saya sudahi dengan berpuasa.