Masih bercuti saya hari ini untuk hari yang kelima.
Bermula Khamis, saya diberi ruang untuk merehatkan minda dan fizikal daripada segala bebanan kerja. Biarpun cuma enam hari dan akan berakhir esok, saya amat menghargainya.
Walaupun baru sebulan - atau lebih tepatnya dua puluh hari - saya bergelumang dengan segala tugasan di sekolah untuk tahun ini, saya berasa sungguh penat. Penat dengan segala ragam dan karenah manusia-manusia ciptaan Tuhan, dari yang bergelar guru hinggalah kepada anak-anak didik kesayangan saya. Saya sayang mereka kerana Allah, tetapi saya tetap seorang wanita yang kaya emosi. Ada waktunya, saya berasa sangat penat dan mahukan satu kerehatan yang panjang.
Alhamdulillah, saya menikmati kerehatan yang saya ingini.
Sepanjang lima hari yang lalu, setiap hari saya dan suami ada jemputan. Ada yang berdua kami hadiri tetapi pada kebanyakannya suami saya pergi bersendirian. Saya pula, mohon untuk bersama-sama keluarga di rumah emak. Tidak sehari pun dalam cuti ini saya memasak untuk makan pagi atau tengah hari. Hanya sekali dua untuk makan malam, itu pun ringkas sahaja.
Percaya atau tidak, enam hari ini tidak satu lauk pun saya beli di kedai, sama ada lauk masak atau lauk mentah. Jimat juga jika begini selalu, kan?
Pada Khamis, kami ke KB Mall untuk berurusan beberapa perkara. Kami ke Celcom untuk menamatkan Celcom Broadband kami. Seterusnya ke kedai buku Popular untuk membeli buku-buku sebagai hadiah kecemerlangan pelajar sekolah saya pada Ahad nanti. Di Pacific pun kami berbelanja juga. Akhir sekali, kami ke kedai komputer Monaliza untuk membeli printer baru menggantikan printer lama kami yang berusia hampir sembilan tahun itu, yang kerap benar meragamnya. Printer Laserjet monochrome jenama Brother model DCP1510 menjadi pilihan kami. Sangat berbaloi rasanya kerana harganya cuma RM299. Tonernya pula RM98 sahaja. Dan printer lama kami itu akan kami hantar ke kedai untuk dibaiki.
Tengah hari ini, kami makan tengah hari di rumah mek dengan nasi yang dibeli di kedai nasi Kak Wook di Tunjung, Lazat juga, alhamdulillah. Sebelah malam, saya mengambil peluang berehat dan berdiet kerana suami saya ada jemputan Maulidurrasul.
Jumaat tiba, saya memenatkan diri sendiri dengan mengemas dan membersih dapur saya yang sudah sangat lama tidak diservis itu. Dalam kepenatan, saya mencari ruang untuk ke rumah emak. Kebetulan suami saya ada jemputan kenduri tengah hari ini, saya tidaklah perlu memasak. Mujur Ismah mahu menjemput saya, terima kasih!
Sabtu pula, kami berkenduri asing-asing. Suami ke rumah Haji Nawi di Berangan, saya pula ke rumah ibu saudara Hawari di Kota Bharu. Sebenarnya saya sedikit kurang sihat hari ini. Kepala saya sakit dan kepeningan. Berdenyut-denyut. Berpusing-pusing. Hajatnya mahu berehat sahaja tetapi apabila Husna menelefon, saya ubah fikiran. Rupanya, apabila berjalan-jalan ke tempat kenduri kepala saya hilang pula sakitnya.
Ahad, kami berkenduri di Tendong. Dan sebelah malam, saya masak nasi berlaukkan ayam goreng potong kecil-kecil dan sayur kulat masak serai.
Hari ini, saya sedang menikmati cuti saya bersendirian di rumah. Rancang saya hari ini ialah untuk membalut buku-buku yang saya beli pada Khamis lalu untuk majlis Ahad nanti. Selepas Zohor nanti saya akan ke kenduri lagi di rumah Tok Imam Shukri dan Wahid Gas. Rasanya, sudah jemu saya dengan lauk pauk kenduri, Insya Allah esok, cuti saya yang terakhir sempena Tahun Baru Cina ini akan saya sudahi dengan berpuasa.
No comments:
Post a Comment