Monday, February 03, 2014

Ketentuan

Anak adalah anugerah terindah dalam sebuah perkahwinan, tetapi saya tidak memilikinya. Perlukah saya menangisi sebuah ketentuan?

Setelah hampir tujuh belas tahun saya menggalas ketentuan ini, liku yang saya tempuh pada pengalaman lalu menerpa kembali tiba-tiba. Ada rasa yang mengheret saya ke situ.

Waktu itu, naluri saya amat mudah tersentuh. Mendengar cerita kehamilan rakan dan sahabat di sekitar saya bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Jujur saya akui, ada iri terbit di hati setiap kali cerita sebegitu dikongsi. Mengapa dia, bukan saya? 

Pun, dalam payah yang memberat saya didik hati untuk tidak menjadikan rasa itu raja. Saya pandu diri sendiri untuk terus berusaha dan berdoa agar waktu untuk saya tiba jua. Saya tidak mahu menjadi manusia yang berputus asa pada-Nya. 

Pada 2006, saya melalui rawatan kesuburan yang amat menekankan. Di Pusat Rawatan Annisa', saya berulang minggu ke minggu untuk di rawat pakar sakit puan Dr. Shah Reza Johan Noor. Saya diimbas, perut saya disuntik, ubat-ubatan juga tidak ketinggalan. Rasa malu saat diimbas saya abaikan sahaja kerana saya tahu saya sedang berikhtiar. 

Apa daya saya, ia tidak membuahkan hasil. Saya tidak kecewa kerana saya tahu apa itu redha.

Hujung 2006 itulah pengakhir sebuah penantian. Usai pembedahan membuang cyst dan tiub fallopian saya, tamatlah segala usaha yang ada. Kini, saya sudah tidak punya upaya menjadi ibu lagi. Saya pasrah menerimanya.

Saya berhenti merawat diri bukan kerana saya berputus asa, tetapi saya berpijak di bumi nyata. Tiada apa yang perlu saya sedihkan kerana selepas melalui pelbagai episod kehidupan, saya anggap semua ini anugerah dari Allah. Dia memilih saya untuk anugerah sebegini. Ya, saya insan terpilih. Alhamdulillah. 

Tahun ini saya melangkah ke usia 42 dan ke tahun ke-17 di alam perkahwinan. Segalanya indah, segalanya membahagiakan. Banyak perkara dalam hidup ini yang nilainya hanya kita dan Dia yang tahu.

Yang orang lain tidak akan mampu merasainya.

No comments:

Post a Comment