Friday, February 07, 2014

Jumaat

Untuk kali ketiga berturut-turut, Cikgu Rosdi kesayangan saya ada jemputan selepas solat Jumaat. Dan jika dua Jumaat yang lepas, saya 'melarikan' diri ke rumah ma untuk tumpang lunch mereka, kali ini saya tidak begitu.

Mungkin keserabutan minda yang luar biasa ini mahu saya urus sendiri-sendiri di rumah. Saya tidak akan ke mana-mana hari ini, biar pun ruang itu ada. Saya mahu tenang dengan menikmati kebersendirian di rumah saya tanpa perlu memikir apa-apa.

Sekarang, jam astro saya memapar 13:04. Cikgu Rosdi sudah pun ke masjid untuk bersolat Jumaat pada jam 12:55 tadi. Walaupun Zohor hanya akan tiba pada 13:28 nanti namun tiba awal di masjid banyak kelebihannya, kan?

Di dapur, saya sudah selesai menjerang nasi dan memasak sup ayam. Tinggal lagi saya mahu menggoreng telur dadar, menumbuk sambal belacan dan memotong ulam timun. Sempurna dan lengkap serta seimbanglah santapan tengah hari saya hari ini.

Walaupun saya bakal menikmatinya bersendirian, saya tahu selera saya tidak akan pernah kisah tentang itu semua. 

Selepas makan, saya akan bersolat Zohor, mengaji dan berehat lagi. Wahai kotak fikirku, tenangkanlah dirimu setenang-tenangnya tanpa perlu memikir apa-apa keserabutan pun selama dua hari ini. Menjelang Ahad nanti, kita lihat apa yang bakal terjadi!

No comments:

Post a Comment