Minggu ini kepadatannya sangat luar biasa. Bukan sekadar padat jadual waktu harian yang membawa sehingga ke petang, tetapi padat juga dengan tugasan yang seringkali datangnya tiba-tiba.
Lima hari bekerja, hanya sehari saya pulang jam 2.15 petang iaitu pada Ahad. Hari lain, membawa kepada azan Asar.
Isnin jadual saya padat sungguh. Kelas sebanyak enam waktu, dan waktu luang saya terisi dengan kerja-kerja perkeranian yang entah bila akan selesai. Saya siapkan jadual bertugas guru untuk prep malam dan diserahkan kepada PKP. Setiba di mejanya, dia mahu saya buat yang lain kerana dia lupa memaklumkan susunan guru perlu mengikut mata pelajaran. Apakah?
Pada waktu dan ketika yang sama, kerja saya ditambah lagi dengan arahan pengisian data SPS yang tarikh akhirnya pada 15 Februari. Dengan capaian internet yang sangat teruk, mana mungkin saya menyiapkannya di sekolah?
Tengah hari, saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Maklumat Sekolah yang tamatnya pada jam 3.15. Saya tidak terus pulang, kerana latihan merentas desa pula menanti saya. Sudahnya, jam 5.55 petang baru kaki saya melangkah ke pintu rumah kediaman saya. Baru saya mampu merebahkan badan dan baru saya mampu menghela nafas yang kelelahan!
Selasa pula, saya tiba di rumah sekitar jam 3.40 petang kerana melunaskan tanggungjawab kelas tambahan tingkatan lima. Sempat saya tidur sebentar, sebelum dikejutkan oleh deringan telefon dari cikgu Ramli meminta saya menyerahkan program kecemerlangan SPM 2014 kepadanya esok hari. SPS masih belum mampu saya isi!
Rabu, seawal pagi PKP mencari saya meminta saya menyiapkan Target SPM 2014 kerana beliau akan bermesyuarat di PPD esok. Dalam waktu terhad itu, saya memaku diri di hadapan laptop demi sebuah target segera! Mujur sempat siap, tetapi saya tahu banyak yang saya perlu murnikan lagi selepas ini.
Seharusnya saya pulang awal hari ini tetapi suami saya pula bermesyuarat di sekolahnya. Terpaksalah saya menunggu di bilik saya dan pulang hanya pada jam 3.10 petang.
Petang ini, saya sempat mengisi SPS walaupun belum sempurna.
Dan hari ini, Khamis yang ceria, saya pulang lewat lagi kerana terlibat dengan pengagihan bantuan awal persekolahan kepada pelajar sekolah kami. Majlis usai entah pukul berapa, kerana saya meloloskan diri pada jam 4.30 petang.
Malam ini, saya bakal berdepan dengan SPS lagi. Semoga sempat saya siapkan sebelum tempohnya.
No comments:
Post a Comment