Sunday, May 08, 2016

Headcount

Pertama kali perkataan ini menyentuh gegendang telinga saya pada sekitar 2006 lalu, ia kedengaran aneh. Kenapa mahu dikira kepala? 

Kini, sudah sepuluh tahun saya menjadi penyelaras Headcount. Dari SMK Salor hinggalah ke SMK Kg Chengal ini. Bolehlah dikatakan saya sudah mahir secara teorinya, tetapi dalam ruang amalinya saya jauh terkebelakang.

Ringkasnya, headcount ialah analisis pencapaian setiap pelajar secara individu. Bermula dari markah mula (TOV) hingga kepada markah sasaran (ETR) bagi setiap mata pelajaran yang diambil. Saya perlu bermain-main dengan markah 870 orang pelajar untuk 8 atau 9 mata pelajaran setiap seorang. 

Tidak sukar sebenarnya jika prosedur diikuti seperti yang digariskan. Malangnya ia tidak berlaku begitu. Sepatutnya ketua panitia setiap mata pelajaran yang memberi saya semua analisis dan saya cantumkan sahaja untuk menjadi sasaran peringkat sekolah. Pun ia terbalik. Dari awal mula lagi saya yang melakukan segala analisis dan apabila siap saya serahkan kepada setiap ketua panitia untuk disimpan dalam fail. 

Kenapa begitu? 

Menanti 15 orang ketua panitia menghantar analisis itu amatlah menyeksakan. Tarikh akhir dipandang sepi, dan alasan klise setiap kali ditanya ialah "tidak pandai".

Benar, bukan semua guru faham apa yang dimaksudkan dengan headcount ini. Lebih parah, ada yang tidak mahu faham. Sudahnya sayalah yang akan menyelesaikan masalah ini sendiri-sendiri.

Tentunya saya ini serba kekurangan dan banyak juga cacat celanya. Maka hasil yang diperoleh bukanlah sempurna. Penat juga saya membetulkan semuanya berkali-kali dan sehingga ke hari ini pun ia masih belum selesai.

Tabahlah. Ini perjuangan.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment