Jam 6.45 pagi kaki saya melangkah ke pagar sekolah. Hari ini hari terakhir sebelum cuti 16 hari kami ladeni.
Biarpun hari akhir, segalanya masih rutin. Tugas pertama saya setiap hari - menyediakan jadual ganti - masih saya teruskan tanpa tergendala. Tujuh orang guru tiada di sekolah hari ini dan 27 keping slip jadual ganti mula diagihkan sekitar jam 7.45 pagi. Alhamdulillah.
Hari ini kelas saya hanya akan bermula pada jam 11 pagi. Molek benarlah untuk saya menanda kertas. Sementelah saya puasa hari ini. Tidak perlu saya ke kantin.
Sedang tekun saya memeriksa, kedengaran suara PKP mencari saya. Saya menyahut. Rupanya dia mahu saya menempah tiket penerbangan untuk dia dan anaknya.
Saya tiada pilihan. Berhentilah seketika saya daripada menanda kertas-kertas itu dan mula melayari laman Firefly dan Malindo. Diringkaskan kisah, Puan PKP tidak jadi menempah dek harga yang terlalu mahal. Ada syukur terucap di hati. Saya kembali ke meja menanda kertas.
Tak lama, dia datang lagi. Kali ini mahu saya mencetak gambar-gambar dari WhatsApp nya. Lima keping sahaja. Saya meminta dia memforward gambar-gambar itu ke WhatsApp saya dan dengan segera saya mencetak semuanya.
Kembali lagi saya ke meja untuk menanda.
"Kak Ti, nak minta tolong..."
Seorang guru wanita datang menghampiri. Dia mahu lembaran markah peperiksaan akhir tahun lepas untuk semua kelas Tingkatan 1. Bergerak lagi saya ke meja komputer. Pada masa yang sama, seorang lagi guru datang meminta senarai nama semua pelajar mengikut kelas. (Sebenarnya, jawatan saya ini apa?)
Semuanya saya selesaikan seperti yang dimahu. Lalu mereka berterima kasih dan berkata, "banyak betul kami menyusahkan kak Ti."
Dan kini jam sudah 10.59 pagi. Waktu untuk saya ke kelas sudah tiba.
Assalamualaikum.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment